#4188: Mengqadha’kan Bacaan Surah al-Kahfi pada Hari Lain Selain Jumaat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Menjadi kebiasaan untuk saya membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat. Namun, kadang-kadang saya terlupa atau tidak sempat untuk menghabiskannya disebabkan oleh kesibukan bekerja dan aktiviti seharian. Soalan saya, bolehkah saya menggantikan (qadha’) bacaan surah al-Kahfi itu pada hari lain, misalnya pada esoknya hari Sabtu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, terdapat hadith yang menyatakan pengkhususan membaca surah al-Kahfi secara keseluruhan pada hari Jumaat serta kelebihannya. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الكَهْفِ فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah akan meneranginya dengan cahaya sepanjang masa di antara dua Jumaat.”

Riwayat al-Hakim (3392) dan al-Baihaqi (5996)

Dalam riwayat lain, disebutkan bahawa Nabi SAW bersabda:

 مَنْ َقَرَأَ سُوْرَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمْعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ فِيْمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيْقِ

Maksudnya Sesiapa membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul ‘atiq.”

Riwayat al-Darimi (3273)[1]

Imam al-Syafi‘i menyebutkan, aku suka bacaan surah al-Kahfi pada malam Jumaat serta pada siang hari Jumaat berdasarkan riwayat yang menganjurkannya. (Lihat al-Umm, 1/239).

Membaca surah al-Kahfi pada hari dan juga malam jumaat adalah sunat sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Munawi dalam menukilkan pandangan Imam al-Syafi‘i. Imam al-Munawi menyebutkan, hal ini menunjukan bahawa sunat untuk membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, begitu juga pada malamnya, sebagaimana telah ditunjukkan oleh Imam al-Syafi‘i. (Lihat al-Faidh al-Qadir, 6/198)

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan kelebihan dan keutamaan membaca surah al-Kahfi bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1598: Fadhilat Membaca Surah al-Kahfi pada Hari Jumaat[2] dan #3019: Fadhilat Surah al-Kahfi.[3]

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas berkenaan orang yang tidak sempat membaca atau menghabiskan bacaan surah al-Kahfi pada hari Jumaat, bolehkah menggantikannya (qadha’) pada hari lain seperti hari berikutnya. Sebahagian ulama membolehkan untuk menggantikannya pada hari lain.

Ini adalah sebagaimana dinukilkan daripada Dr. Majdi ‘Asyur (Penasihat kepada Mufti Mesir dan Ahli Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah), di mana beliau ditanya berkenaan adakah dibolehkan untuk membaca surah al-Kahfi pada waktu lain, jika tidak sempat membacanya pada hari Jumaat?

Beliau menjawab, afdhalnya (sebaik-baiknya) adalah membaca surah al-Kahfi pada waktunya iaitu bermula dari terbenam matahari pada hari Khamis sehingga terbenamnya matahari pada hari Jumaat. Namun, jika seseorang terlepas untuk membacanya pada waktu tersebut, maka dia boleh mengqadha’kannya (menggantikannya) setelah masa/waktu yang ditetapkan berlalu, dan insya-Allah akan turut mendapat pahala.[4]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa sebahagian kelebihan dan keutamaan membaca surah al-Kahfi adalah terikat dengan waktu dan tempoh-tempoh tertentu sebagaimana hadith yang disebutkan di atas. Justeru, kami berpendapat bahawa bagi memperoleh ganjaran dan kelebihan yang terikat dengan waktu tertentu sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith, maka seseorang itu hendaklah mendatangkannya yakni membacanya pada waktu sebagaimana yang telah ditentukan iaitu pada hari Jumaat. Inilah pendapat yang dilihat lebih kuat dan jelas berdasarkan hadith yang menyebutkan mengenainya.

Dalam erti kata lain, seseorang yang terlepas daripada membacanya pada hari yang sudah ditentukan iaitu hari Jumaat, secara tidak langsung dia telah terlepas daripada mendapatkan ganjaran atau kelebihan yang diberikan yang berkait dengan tempoh/waktu tersebut. Hal ini dikuatkan lagi oleh pendapat sebahagian ulama seperti Imam al-Ramli yang menyatakan, seseorang yang membacanya secara separuh-separuh iaitu separuh pada waktu malam dan separuh lagi pada waktu siang juga tidak mendapat ganjaran yang dikhususkan tersebut, sebaliknya dia hanya mendapat pahala asal (membaca surah daripada al-Quran). (Lihat Hasyiah al-Bujairimi, 2/210; I‘anah al-Talibin, 2/103).

Justeru, dapat difahami daripada kenyataan di atas, jika seseorang yang membacanya pada hari yang ditentukan tetapi tidak secara sekali gus juga tidak mendapat ganjaran yang dikhususkan itu, maka orang yang membacanya pada hari lain selain hari Jumaat adalah lebih-lebih lagi bahkan jauh untuk mendapatkan ganjaran dan kelebihan itu.

Sekalipun begitu, tidak dinafikan di sana terdapat dalam kalangan ulama yang membolehkan untuk mengqadha’kan (menggantikan) bacaan surah al-Kahfi itu setelah masa/waktu yang ditetapkan berlalu, bagi orang yang terlepas untuk membacanya pada waktu yang telah ditetapkan, dengan mengharapkan mudah-mudahan dia turut mendapat fadhilat/ganjaran sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadith. Ini kerana ganjaran/fadhilat yang disebutkan itu ada ihtimal (kemungkinan) untuk diperolehinya; boleh jadi dia berjaya memperolehinya dan boleh jadi tidak berjaya memperolehinya kerana membacanya di luar waktu yang ditetapkan. Namun, hal itu sedikitpun tidak merugikan dirinya. Meskipun jika benar dia tidak berjaya memperoleh ganjaran yang disebutkan, sekurang-kurangnya secara pasti dia mendapat pahala asal membaca surah daripada al-Quran.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Nota kaki:

[1] Hadith ini dinilai sahih dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (736)

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/1598-fadhilat-membaca-surah-al-kahfi-pada-hari-jumaat/. Diakses pada 15 November 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/3019-fadhilat-surah-al-kahfi/. Diakses pada 15 November 2023.

[4] Lihat https://www.elbalad.news/4977880. Diakses pada 15 November 2023.