#4190: Benarkah Terdapat Saranan Memperbanyakkan Membaca Surah al-Kahfi pada Hari Jumaat 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada terdengar bahawa ada orang yang mengatakan bahawa selain daripada digalakkan atau dianjurkan untuk memperbanyakkan berselawat kepada Nabi SAW, turut digalakkan/dianjurkan untuk memperbanyakkan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat; sekurang-kurangnya tiga kali. Benarkah ustaz begitu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, terdapat hadith yang menyatakan pengkhususan membaca surah al-Kahfi secara keseluruhan pada hari Jumaat serta kelebihannya. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الكَهْفِ فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah akan meneranginya dengan cahaya sepanjang masa di antara dua Jumaat.”

Riwayat al-Hakim (3392) dan al-Baihaqi (5996)

Dalam riwayat lain, disebutkan bahawa Nabi SAW bersabda:

 مَنْ َقَرَأَ سُوْرَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمْعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ فِيْمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيْقِ

Maksudnya Sesiapa membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul ‘Atiq.”

Riwayat al-Darimi (3273)[1]

Imam al-Syafi‘i menyebutkan, aku suka bacaan surah al-Kahfi pada malam Jumaat serta pada siang hari Jumaat berdasarkan riwayat yang menganjurkannya. (Lihat al-Umm, 1/239).

Membaca surah al-Kahfi pada hari dan juga malam jumaat adalah sunat sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Munawi dalam menukilkan pandangan Imam al-Syafi‘i. Imam al-Munawi menyebutkan, hal ini menunjukan bahawa sunat untuk membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, begitu juga pada malamnya, sebagaimana telah ditunjukkan oleh Imam al-Syafi‘i. (Lihat al-Faidh al-Qadir, 6/198).

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan kelebihan dan keutamaan membaca surah al-Kahfi bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1598: Fadhilat Membaca Surah al-Kahfi pada Hari Jumaat[2] dan #3019: Fadhilat Surah al-Kahfi.[3]

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya tidak ada had maksimum membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat. Kita digalakkan untuk membaca surah al-Kahfi sebanyak-banyaknya pada hari Jumaat. Dalam bahasa mudahnya, semakin banyak surah al-Kahfi yang kita baca, semakin banyak pahala dan kelebihan yang akan diperolehi.

Sebahagian ulama seperti ulama Syafi‘iyyah berpendapat, dianjurkan atau disunatkan untuk membaca surah al-Kahfi sehingga tiga kali dan inilah had minimum bagi mereka yang menganjurkan untuk memperbanyakkan bacaan surah al-Kahfi. Sesiapa yang dapat membacanya lebih dari itu, tidak syak lagi ia adalah lebih baik.

Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan al-Dimyati bahawa disunatkan untuk memperbanyakkan membaca surah al-Kahfi, dan batas minimum sebanyak-banyaknya dalam membacanya itu adalah tiga kali, sebagaimana dinyatakan dalam Hawasyi al-Mahalli dan Hawasyi al-Minhaj. (Lihat I‘anah al-Talibin, 2/103).

Bahkan al-Bujairimi juga ada menyatakan bahawa dianjurkan (sunat) untuk memperbanyakkan membaca surah al-Kahfi (pada hari Jumaat) dan batas minimum sebanyak-banyaknya dalam membacanya itu adalah tiga kali. Hal itu adalah lebih baik dan afdhal daripada berselawat ke atas Nabi SAW. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 2/210).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa benar di sana terdapat sebahagian ulama yang menyarankan atau menggalakkan untuk memperbanyakkan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, sekurang-kurangnya tiga kali. Ini kerana tidak dapat dinafikan lagi akan kelebihan dan ganjaran yang akan diperoleh bagi mereka yang membaca dan melazimi bacaan surah al-Kahfi pada hari Jumaat, di samping sudah pasti mendapat pahala asal membaca surah daripada al-Quran).

Justeru, sesiapa yang berkemampuan, bacalah surah al-Kahfi sebanyak mungkin. Manakala bagi sesiapa yang tidak mampu, maka berusahalah untuk membaca dan menghabiskan bacaannya sekurang-kurangnya sekali. Moga-moga kita berjaya merebut dan memperoleh ganjaran dan kelebihan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat yang telah dinyatakan dalam hadith.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

 

Nota kaki:

[1] Hadith ini dinilai sahih dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (736)

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/1598-fadhilat-membaca-surah-al-kahfi-pada-hari-jumaat/. Diakses pada 15 November 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/3019-fadhilat-surah-al-kahfi/. Diakses pada 15 November 2023.