#4191: Makna Sebenar Hudud

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya masih keliru tentang maksud hudud, adakah ianya sama dengan ‘hukuman’ dalam bahasa Melayu, atau sebenarnya ada maksud khusus menurut ulama’?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Hudud menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat adalah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, dan tidak boleh diubah-ubah oleh manusia, seperti hukum zina, murtad, dan minum arak.

Ia merupakan kata pinjaman bahasa Arab (الحُدُودُ) dan juga jamak kepada kalimah al-had (الحَدُّ), yang bermaksud menghalang. Ia digunakan untuk merujuk kepada hukuman yang telah ditetapkan oleh syara‘ ke atas pelaku jenayah. Ia dinamakan demikian kerana hukuman ini menjadi sebab yang menghalang pesalah itu dari mengulangi kesalahan tersebut, serta menghalang sesiapa sahaja yang berhasrat untuk melakukannya.

Kalimah al-had (الحَدُّ) juga digunakan untuk merujuk kepada maksiat-maksiat yang dilarang, sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا

Maksudnya: “Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu  menghampirinya.”

(Surah al-Baqarah: 187)

Yakni, itulah maksiat-maksiat yang telah Allah SWT larang dari kita melakukannya, oleh itu janganlah kita mendekatinya. Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat di atas berkata, (حُدُودُ اللَّهِ) dalam ayat ini bermaksud, hukum-hakam yang disebutkan dalam ayat ini merupakan batas-batas larangan Allah, maka janganlah melanggarnya. Dan (تِلْكَ) pula sebagai isyarat kepada perintah-perintah serta larangan-larangan yang disebutkan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/337)

Dan kalimah al-had (الحَدُّ) juga merujuk kepada apa yang telah Allah SWT tetapkan dari hukum-hakam-Nya, sepertimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

مَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: “Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Imam Abu Bakar al-Jaza’iri berkata, (حُدُودَ اللَّهِ) yang dimaksudkan adalah apa yang wajib dilakukan oleh seseorang hamba itu seperti mentaati perintah Allah dan tidak menyelisihinya. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/213)

Dan maksud hudud dalam firman Allah SWT ini dapat dilihat penggunaannya dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Tha‘labah al-Khusyani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وحَدَّ حُدُودًا فَلا تَعْتَدُوها

Maksudnya: “Dan Allah telah menetapkan batasan-batasan hukum maka janganlah kalian melampuinya.”

Riwayat al-Daruqutni dalam Sunannya (4/183-184)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji pula mendefinisikan al-had (الحَدُّ) sebagai suatu hukuman yang telah ditetapkan oleh syara‘, dan ianya tidak boleh ditokok tambah atau dikurangkan ketetapannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/54)

Sebagai contoh, telah thabit riwayat daripada Abu Burdah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يُجْلَدُ فَوْقَ عَشْرِ جَلَدَاتٍ إِلَّا فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ

Maksudnya: “(Seseorang) tidak boleh disebat lebih daripada sepuluh kali sebatan melainkan dengan had yang telah ditetapkan oleh Allah (hukuman hudud).”

Riwayat al-Bukhari (6848) dan Muslim (1708)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, maksud sabda Rasulullah SAW (حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ) adalah apa sahaja yang telah disebutkan oleh syara‘ kadarnya, sama ada sebatan atau pukulan yang dikhususkan, dan disepakati tentangnya, seperti zina, mencuri, minum arak, al-hirabah, tuduhan qazaf , membunuh, qisas, atau murtad. (Lihat Fath al-Bari, 12/177)

Syeikh ‘Abdullah al-Bassam di dalam kitabnya Taudhih al-Ahkam (6/319) pula membawakan perbincangan ulama’ mengenai maksud hudud (الحُدُودُ) yang datang dalam banyak nas-nas al-Quran serta Sunnah al-Nabawiyyah. Sebahagian mereka berpandangan bahawa yang dimaksudkan adalah apa telah yang ditentukan hukumannya oleh syara‘, seperti hukuman zina, qazaf, mencuri, qisas kerana membunuh atau mencacatkan anggota atau mencederakan. Maka selain dari maksiat-maksiat yang disebutkan ini, hukuman ke atas pelakunya adalah ta‘zir[1].

Sebahagian ulama’ lain berpandangan bahawa yang dimaksudkan dengan hudud (الحُدُودُ) ini adalah perintah serta larangan Allah SWT. Dinukilkan kalam Imam Ibn al-Qayyim, katanya: “Sebetulnya, yang dimaksudkan dengan hudud adalah hak-hak yang merupakan perintah-perintah Allah SWT serta larangan-larangan-Nya.” Dan inilah yang dimaksudkan dalam firman Allah SWT:

وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Berdasarkan perbincangan para ulama’ ini, kami menyimpulkan bahawa makna kalimah hudud (الحُدُودُ) ini bergantung kepada konteks penggunaannya, dan ia maksudnya tidak akan jauh dari 3 hakikat di bawah:

  • Dalam konteks penggunaannya pada perihal hukum-hakam, ia merujuk kepada umum perintah serta larangan Allah SWT yang wajib ditaati.
  • Dalam konteks penggunaannya dalam hukuman jenayah, ia merujuk kepada hukuman bagi kesalahan jenayah tertentu yang telah Allah SWT tetapkan kadarnya, dan tidak boleh ditokok tambah atau dikurangkan ketetapannya.
  • Dalam konteks penggunaannya dalam menerangkan tentang perbuatan maksiat, ia merujuk larangan-larangan Allah SWT yang tidak boleh dihampiri.

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada kita, di samping menjadikan kita lebih teguh di atas jalan ketaqwaan kepada-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Wallahu a‘lam.

Nota kaki:

[1] Ta‘zir merupakan hukuman yang tidak ditetapkan oleh syara‘, bahkan ditentukan sendiri oleh pemerintah berdasarkan kebijaksanaannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/62)