#4193: Beberapa Cara Ketika Sujud 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangakan berkenaan beberapa cara ketika sujud sebagaimana yang ditunjukkan oleh nas?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada al-Barra’ bin ‘Azib, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 إِذَا سَجَدْتَ، فَضَعْ كَفَّيْكَ، وَارْفَعْ مِرْفَقَيْكَ

Maksudnya: “Jika engkau sujud, letakkanlah kedua telapak tanganmu dan angkatlah kedua sikumu.”

Riwayat Muslim (494)

Begitu juga diriwayatkan daripada Wail bin Hujr R.A, katanya:

أنَّ النَّبِيَّ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ إذَا رَكعَ فَرَّجَ بَيْنَ أصَابِعِهِ، وَإِذَا سَجَدَ ضَمَّ أَصَابِعَهُ

Maksudnya:  Sesungguhnya Nabi SAW apabila rukuk, baginda membuka (merenggangkan) jari-jarinya dan apabila sujud Nabi merapat-rapatkan jarinya.

Riwayat al-Hakim (1/224). Hadith ini dinilai hasan sebagaimana yang disebut dalam Taudhih al-Ahkam (2/235)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Hadith ini menunjukkan bahawa yang wajib bagi orang yang solat adalah meletakkan kedua tapak tangan ke atas tanah, dan kedua tapak tangan ini merupakan dua anggota dari tujuh anggota yang menyentuh tanah semasa sujud, sebagaimana disebutkan dalam hadith Ibnu Abbas yang telah disebutkan sebelum ini. Hadith ini juga memperkuat asas bahawa yang dimaksudkan dengan “kedua tangan” adalah kedua tapak tangan. Telah dijelaskan sebelum ini bahawa cukup meletakkan sebahagian dari kedua tapak tangan ke atas tanah adalah sah, tetapi yang lebih utama ialah meletakkan seluruh tapak tangan dan menghadap kiblat dengan jari-jari tangan.

Hadith ini juga menunjukkan disunnahkan mengangkat kedua belah lengan dari tanah dan makruh merendahkan mereka seperti merendahkan ketujuh anggota tubuh semasa sujud. Ini juga menunjukkan supaya menjauhkan daripada menyerupai keadaan binatang yang najis semasa solat, yang merupakan doa dan munajat kepada Allah yang maha Suci, dengan menunjukkan aktiviti dan kekuatan dalam mengangkat tangan, dan keinginan untuk beribadah.

Mengenai hadith Wail bn Hujr pula, ia menunjukkan disunnahkan memberi ruang di antara pangkal paha semasa rukuk. Demikian juga, ia menunjukkan disunnahkan memberi ruang di antara jari-jari tangan di atas lutut. Ini memudahkan rukuk dan menstabilkan posisi belakang dengan kepala. Hadith ini juga menunjukkan disunnahkan meletakkan jari-jari tangan rapat semasa sujud untuk mencapai kelengkapan menghadap kiblat, yang juga membantu menanggung berat badan semasa sujud.

Apa yang telah disebutkan mengenai memberi ruang di antara tangan, menjauhkan siku dari badan, dan perut dari paha semasa sujud, adalah khusus untuk lelaki. Adapun bagi wanita, para fuqaha’ berkata: “Wanita hendaklah menyelaraskan dirinya dalam rukuk, sujud, dan perkara-perkara lainnya. Dia tidak perlu menjauhkan siku atau menutup tubuhnya semasa sujud. Kaki wanita boleh disusun ke sisi sebelah kanan semasa duduk, kerana itu lebih baik baginya, sebagaimana yang disebutkan oleh Abu Dawud dalam al-Marasil (hlm. 118) daripada Yazid ibn Abi Habib: “Bahawa Nabi SAW berlalu di depan dua wanita yang sedang solat, lalu baginda bersabda: ‘Apabila kamu sujud, kumpulkan sedikit daging ke tanah, kerana perempuan dalam perkara itu tidak sama seperti lelaki’.” (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/235-236)

Berkenaan dengan kedudukan kaki ketika sujud pula, Imam al-Nawawi menyatakan: Imam al-Syafi’i dan ulama’ mazhabnya berkata: Adalah disunnahkan bagi orang yang sujud untuk memberikan ruang di antara lutut dan kedua kakinya. Al-Qadi Abu al-Tayyib berkata dalam komentarnya: “Para ulama kami mengatakan bahawa jarak di antara kedua kakinya sebaiknya sepanjang satu jengkal, dan sunnahnya adalah untuk meletakkan jari kaki dengan mengarah ke kiblat, dan arahnya dapat dicapai dengan menekan dan bergantung pada ujung-ujung jari kaki. Imam Al-Haramain mengatakan: zahir nas adalah, dia meletakkan hujung jari kakinya di atas tanah ketika sujud.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/431)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa beberapa keadaan dalam sujud adalah dengan meletakkan kedua telapak tangan di tanah dan mengangkat kedua siku, manakala jari pula perlu dirapatkan ketika sujud sebagaimana nas dan perbahasan yang kami kemukakan di atas.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)