#4196: Isteri Meminta Khulu’

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bolehkah isteri meminta khulu’ daripada suami tanpa adanya sebab ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Khulu’ bermaksud perpisahan antara suami isteri dengan sesuatu gantian (bayaran) yang diberikan oleh isteri kepada suami dengan lafaz talak atau khulu’. Umumnya, masyarakat Malaysia lebih maklum dengan istilah ‘tebus talak’.

Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ  فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ  وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَن يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ  فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ  تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا  وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّـهِ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿229﴾ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.”

(Surah al-Baqarah: 229-230)

Perbezaan antara talak biasa dan khulu’ ialah talak berlaku dengan kehendak suami manakala khulu’ berlaku dengan kemahuan isteri dan nekad untuk bercerai disertai dengan gantian atau pampasan. Oleh itu, dia disyariatkan untuk menebus diri daripada suaminya, dengan gantian memberi suatu kadar jumlah daripada mas kahwin yang dipersetujui bersama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/127)

sekiranya telah berlaku tiga kali penceraian secara khulu’ maka haram untuk lelaki itu menikahi isterinya selagi wanita itu tidak berkahwin dengan lelaki lain. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/202)

Dalam menjawab persoalan di atas kami katakan di sini, pada asalnya isteri boleh meminta cerai daripada suami dengan cara khulu’ iaitu tebus talak sekiranya terdapat alasan-alasan yang dibenarkan oleh syara’ seperti khuatir tidak dapat melaksanakan hak-hak suami atau tidak menyukai suami pada akhlak atau fizikalnya.

Firman Allah SWT:

  فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ يُقِيمَا حُدُودَ اللّهِ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ

Maksudnya: kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu)  

(Surah al-Baqarah:229)

Namun meminta khulu’ tanpa adanya  alasan yang kukuh adalah tidak dibolehkan dan tiada hak ke atasnya untuk meminta talak bahkan perbuatan tersebut diharamkan oleh syara’.  Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Thauban Maula Rasulullah SAW bahawa Baginda bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا مِنْ غَيْرِ بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الجَنَّةِ

Maksudnya: “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga.”

Riwayat al-Tirmidzi (1187)

Syeikh Muhammad Hasan Abd al-Ghaffar di dalam kitabnya al-Qawaid al-Fiqhiyah menyatakan: Sekiranya perempuan itu meminta untuk ditalakkan tanpa alasan, ianya boleh menyebabkan kemudharatan terhadap suaminya, sedangkan kaedah menyatakan:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh memberi mudharat dan tidak boleh membalas kemudharatan dengan kemudharatan. (Lihat Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asolah wa al-Taujih, 10/8 )

Begitu hadith yang diriwayatkan daripada  Abu Hurairah R.anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda :

المُخْتَلِعَاتُ هنَّ المُنَافَقَاتُ

Maksudnya:  Wanita-wanita yang memintai cerai dengan mengembalikan hak-haknya adalah munafik.

Riwayat Nasa’i (3461)

Telah dinyatakan dalam Tuhfah al-Ahwazi bahawa: “المُخْتَلِعَات” adalah perempuan yang meminta cerai dari suami tanpa adanya sebab yang jelas . (Lhat Tuhfah al-Ahwazi,3/272)

Justeru kami katakan di sini tidak dibolehkan bahkan ia diharamkan bagi isteri untuk meminta khulu’ daripada suami melainkan terdapat alasan-alasan yang kukuh sebagaimana yang dibenarkan oleh syara’. Penceraian sememangnya dibolehkan dalam Islam sekiranya terdapat alasan dan sebab yang kuat. Akan tetapi, ia bukanlah suatu perkara yang disukai malah dibenci syara‘. Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”

Riwayat Abu Daud (2178) dan al-Hakim (2/197)

Imam al-Khattabi menyatakan, makna benci pada hadith itu ialah pada sebab yang membawa kepada perceraian itu seperti pergaulan yang buruk sesama suami isteri dan bukannya pada perkara talak itu sendiri, kerana Allah telah mengharuskan perbuatan talak itu. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 3/231)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.

Wallahua`lam.