#4198: Menjual Barangan atas Nama Palestin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum jika sesebuah bisnes menjual barangan atas nama Palestin? Katanya untung akan diderma 100% ke sana tetapi ia dilihat tidak sensitif dengan isu semasa. Walhal boleh sahaja pembeli atau pihak bisnes derma secara terus kepada NGO yang ada. Adakah ia boleh dianggap opportunist (menunggang atas nama Palestin)?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَقُولُوا لِمَن يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَمْوَاتٌ ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَـٰكِن لَّا تَشْعُرُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu ialah orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.”

Surah al-Baqarah (154)

Ayat di atas merupakan peringatan kepada orang yang beriman agar jangan mengatakan mereka yang telah terbunuh pada jalan Allah — kerana membela agama-Nya — ialah orang-orang yang mati — yakni tiada apa-apa nilai. Bahkan mereka itu ialah orang-orang yang hidup dengan keadaan hidup yang istimewa — yakni secara khusus — di dalam kubur-kubur mereka, yang mana tidak diketahui bagaimana hidupnya itu melainkan oleh Allah SWT. Akan tetapi kamu juga tidak dapat menyedarinya. Ini adalah dalil yang menunjukkan kepada wujudnya nikmat di dalam kubur. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 24.)

Apa yang berlaku di bumi Gaza mutakhir ini dengan penjarahan oleh puak-puak Yahudi dan rejim zionis Israel merupakan satu pelupusan etnik dan pembunuhan beramai-ramai yang sedang ditalakan kepada umat Islam Gaza, Palestin. Ini mengingatkan kita kepada firman Allah SWT:

وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَن يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ

Maksudnya: “Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!

(Surah al-Buruj: 8)

Sudah hampir tiga minggu (25 Oktober 2023) berlangsungnya serangan dahsyat oleh rejim zionis tanpa ihsan dan rahmah sehingga hospital al-Ahli juga dibom, masjid, tempat belajar, sekolah dan kemudahan awam menjadi sasaran mereka.

Inilah rejim zionis yang menunjukkan belang yang sebenar dalam memusuhi umat Islam. Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada umat Islam Palestin dalam mempertahankan negaranya serta bantuan daripada umat Islam seluruh dunia dapat sampai ke bumi Palestin ini.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan kita sedia maklum pada hari ini isu Palestin menjadi bualan hangat di peringkat global, bahkan banyak demonstrasi yang telah dibuat bagi menunjukkan penentangan terhadap Israel. Dalam pada itu, ramai peniaga yang mengambil pendekatan dengan menjual barangan yang ada logo palestin dan ada yang mengambil inisiatif untuk memberi bantuan dari hasil jualan yang diperolehi. Justeru itu, dalam hal ini kami berpandangan ia tidaklah dianggap sebagai menunggang atas nama Palestin, akan tetapi ia merupakan salah satu usaha yang ditunjukkan sebagai menyokong rakyat Palestin. Oleh itu, perkara yang paling penting adalah bagaimana cara kita menunjukkan sokongan kita sebagai saudara seislam ini. Teruskanlah menyebarkan info-info berkaitan palestin dalam memberi kesedaran dan kebersamaan kita dalam memperjuangkan hak bagi rakyat Palestin. Hanya pada Allah SWT sahaja kita memohon pertolongan bagi membantu mereka yang sedang dalam perjuangan.

Akhirnya, marilah kita sama-sama mendoakan mereka agar Allah SWT membebaskan Palestin dari penjajahan Israel laknatullah dan memberi kegembiraan buat rakyat Palestin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahua`lam.