Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum jika kita bayar tip kepada pengurus untuk mempercepatkan urusan kita lebih lebih lagi di Mesir?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi Upah dan Rasuah
Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, upah bermaksud wang yang diberikan kepada orang yang disuruh untuk mengerjakan sesuatu atau bayaran sebagai balasan atas penat lelah orang yang di minta bantuan.
Manakala, istilah rasuah telah digunapakai dalam bahasa Melayu yang bermaksud pemberian untuk menumbuk rusuk iaitu menyogok, menyuap.
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan berkenaan tip ini, ia perlu difahami dengan baik. Sekiranya tip itu bermaksud upah atas kerja yang dilaksanakan tanpa ada unsur menindas atau mengambil hak orang lain, maka hukumnya kembali kepada hukum harus. Namun, sekiranya tip tersebut dengan maksud rasuah, maka hukumnya haram dan berdosa. Firman Allah SWT:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
(Surah al-Baqarah: 188)
Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي
Maksudnya: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.”
Riwayat Ahmad (6984) dan Ibnu Majah (2313)
Justeru, dalam isu ini, tip tersebut menunjukkan kepada rasuah dan hukumnya haram dan berdosa. Akhir kalam, marilah sama-sama kita bertekad untuk menghindarkan dari sebarang bentuk rasuah tetapi sebaliknya membina jati diri dengan integriti dan keamanahan yang unggul. Semoga negara kita bebas dari sebarang bentuk rasuah. Amin.
Wallahu a’lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”