Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Ibu saya berumur 90 tahun dan uzur tua. Boleh tak beliau solat jamak atas keuzuran beliau itu? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Setiap solat fardhu 5 waktu yang disyariatkan mempunyai waktu-waktu khusus yang telah ditetapkan untuk setiap solat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
(Surah al-Nisa’: 103)
Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa Allah SWT menjadikan waktu solat itu ada waktu yang khusus untuk ditunaikan. Ini bermakna bahawa hukum Allah ini adalah kefardhuan yang mesti dilaksanakan dalam tempoh yang tertentu dengan segera yang mungkin. Antara hikmahnya ialah jika tiada tempoh waktu yang khusus maka manusia pasti tidak akan melakukannya ataupun melakukan dalam keadaan cuai dan leka. (Lihat Tafsir Al-Maraghi, 5/143-144)
Antara rukhsah yang Allah berikan kepada umat ini adalah dibenarkan untuk menjama‘kan di antara dua solat dalam keadaan-keadaan yang tertentu seperti musafir, hujan, sakit dan seumpamanya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”
(Surah al-Hajj: 78)
Jama‘ bermaksud menggabungkan dua solat di dalam satu waktu. Iaitu menggabung solat Zohor dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan solat Isyak. Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa harus hukumnya menjama‘kan di antara solat Zohor dengan Asar pada waktu yang dia suka dan juga solat Maghrib dengan solat Isyak menurut mazhab al-Syafi‘i, dan ini juga berdasarkan persepakatan ulama’. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab , 4/249)
Al-Mubarakfuri menyatakan bahawa sesiapa yang ada keuzuran, maka diharuskan untuk dia menjama‘kan solat. Manakala bagi mereka yang ada keuzuran akan tetapi tidak mahu menjama’kan solat, sehingga dia meninggalkan solat, maka dia berdosa tanpa syak lagi. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/205)
Namun begitu, perlu diberi perhatian bahawa individu yang dibenarkan menjama’kan antara dua solat harus menunaikan setiap solat secara sempurna sahaja tanpa menqasarkannya.
Syeikh al-Islam Taiyuddin Ibn Taymiyyah berkata, “Qasar solat adalah khusus untuk musafir, ia tidak dibenarkan dalam keadaan lain selain musafir. Adapun menjama’kan solat, sebab dibolehkan adalah dengan keperluan ataupun keuzuran. Jika seseorang itu memerlukan, maka dia boleh menjama’kan solatketika musafir yang singkat atau yang panjang, begitu juga dibolehkan jama’ hujan dan seumpamanya, ketika sakit dan lain-lain dengan sebab yang tertentu. Tujuan dibenarkan jama’ ini ini adalah untuk mengangkat kesukaran daripada umat ini.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 22/293).
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami membahagikan jawapan kepada dua keadaan:
1) Sekiranya seseorang itu terlalu tua dan uzur yang berat sehingga memerlukan bantuan untuk setiap kali masuk waktu solat, maka ketika itu dibenarkan untuknya menjamakkan solat tanpa mengqasarkan solat kerana qasar hanya dibenarkan bagi mereka yang bermusafir. Alternatif yang lain juga, dibolehkan untuk solat di akhir waktu solat bagi memudahkan untuk solat yang seterusnya seperti akhir waktu Zuhur dan awal waktu Asar.
2) Sekiranya seseorang itu sudah terlalu tua, namun kudratnya masih lagi kuat, maka ketika itu dia tidak boleh untuk menjamakkan solat kerana tidak menepati syarat yang dibenarkan untuk jamak solat.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Surah Ibrahim (40)