#4201: Memakai Ihram bagi Memudahkan Urusan Tawaf Sunat 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Difahamkan tawaf sunat sekarang ini tidak boleh dilakukan di dataran Ka’bah. Ada yang melakukannya dengan memakai ihram seolah-olah sedang melalukan tawaf umrah. Adakah ini dikira menipu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.”

(Surah Ali Imran: 97)

Berihram atau berniat memulakan ibadah haji atau umrah merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun haji dan umrah. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/378.). Manakala berniat ihram di miqat pula termasuk dalam perkara-perkara wajib haji dan umrah. Dalam erti kata lain, seseorang yang ingin mengerjakan ibadah haji atau umrah wajib berniat ihram di miqat atau sebelum melepasi sempadan miqat tersebut kerana ia merupakan tempat yang telah ditentukan untuk berihram — yakni berniat memulakan haji atau umrah. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 488).

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami nyatakan ia tidaklah dikira satu penipuan, terutamanya apabila terdapat hajat atau keperluan seperti membawa ibubapa yang uzur, adik-adik yang masih kecil dan seumpamanya. Namun, suka kami nyatakan pada hari ini, sudah ada kemudahan seperti scooter bagi jemaah melaksanakan tawaf dan saie. Maka, kami berpandangan itu lebih baik.

Kami juga berpendapat, dasar kerajaan Saudi untuk memberi laluan kepada yang melakukan ibadah umrah secara khusus. Justeru, jika sekiranya kita juga berniat untuk melakukan tawaf seperti Tawaf Wada’, maka tidak mengapa kita memakai pakaian ihram kerana ketetapan yang telah dibuat oleh pihak pemerintah. Hal ini berdasarkan kaedah:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”