#4204: Potong Tangan Kerana Mencuri Buah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Di kampung saya sering berlaku kecurian buah kelapa, dan pada akhirnya kami dapat menangkap pencuri tersebut. Orang kampung seperti bersetuju untuk memotong tangan lelaki tersebut sebagai hukuman baginya. Cuma saya agak risau kerana hukuman itu seakan-akan terlalu dahsyat hanya untuk beberapa biji kelapa yang dicuri sahaja. Mohon pencerahan dari ustaz.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, hukuman potong tangan bagi pencuri ini disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Ma’idah: 38)

Di dalam ayat di atas, Allah SWT mendatangkan perbincangan berkaitan satu lagi bentuk hukum hudud yang wajib dilaksanakan iaitu, memotong tangan terhadap mereka yang mencuri sekiranya telah cukup syarat-syarat yang ditentukan oleh syara‘. Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa hukuman hudud bagi pencuri adalah salah satu bentuk hukuman pada zaman Jahiliah yang kemudiannya diperakui oleh Islam. Antara hukuman lain pada zaman Jahiliah yang diperakui oleh Islam ialah Diyah dan Qasamah. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/757)

Keduanya, dalam menjawab persoalan yang diajukan ini, kami katakan bahawa pencuri tidak akan dikenakan hukuman melainkan dipenuhi beberapa syarat, seperti:

  • Perbuatan mencuri itu secara rahsia atau dalam keadaan tersembunyi.
  • Barang yang dicuri adalah barangan yang mempunyai nilai dan kehormatan.
  • Nilai harta yang dicuri perlu melebihi nisab, iaitu tiga dirham Islam atau seperempat dinar Islam, atau nilai yang setara dengan salah satu daripadanya dalam mata wang lain.
  • Harta yang dicuri perlu diambil dari tempat yang dijaga.
  • Perbuatan mencuri perlu dibuktikan dengan adanya saksi yang adil atau pengakuan pencuri terhadap dirinya sendiri sebanyak dua kali.
  • Pemilik harta yang dicuri perlu menuntut harta tersebut daripada pencuri.

Sekiranya pokok itu di kawasan yang tidak dijaga, seperti tidak dibuat pagar di sekeliling kawasan tersebut, atau tidak meletakkan sebarang tanda larangan di kawasan itu, maka tidak boleh dikenakan hukuman hudud potong tangan menurut majoriti fuqaha’. (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 4/99; Kasyaf al-Qina‘, 14/151; al-Umm, 6/143; al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 7/182)

Inilah yang difahami daripada hadith yang diriwayatkan daripada Rafi‘ bin Khadij R.A, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 لَا قَطْعَ فِي ثَمَرٍ وَلَا كَثَرٍ

Maksudnya: “Tidak dipotong orang yang mencuri buah dan mayang kurma.”

Riwayat Ahmad (15804), Abu Dawud (4388), al-Tirmizi (1449), al-Nasa’ie (4962), Ibn Majah (2593) dan Ibn Hibban (1505)

Imam al-Tahawi mengatakan bahawa umat telah bersepakat menerima hadith ini, dan yang dimaksudkan dengan buah di sini adalah buah yang masih di atas pokok, belum dikait dan disimpan. Inilah seperti yang ditakwilkan oleh Imam al-Syafi‘i. (Lihat Subul al-Salam, 4/433)

Oleh yang demikian, hukuman potong tangan ke atas pencuri buah ini bergantung kepada satu perkara, iaitu sama ada buah itu diambil dari tempat yang dijaga atau tidak. Pandangan ini dikuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَصَابَ بِفِيهِ مِنْ ذِي حَاجَةٍ غَيْرَ مُتَّخِذٍ خُبْنَةً فَلَا شَيْءَ عَلَيْهِ وَمَنْ خَرَجَ بِشَيْءٍ مِنْهُ فَعَلَيْهِ غَرَامَةُ مِثْلَيْهِ وَالْعُقُوبَةُ وَمَنْ سَرَقَ مِنْهُ شَيْئًا بَعْدَ أَنْ يُؤْوِيَهُ الْجَرِينُ فَبَلَغَ ثَمَنَ الْمِجَنِّ فَعَلَيْهِ الْقَطْعُ وَمَنْ سَرَقَ دُونَ ذَلِكَ فَعَلَيْهِ غَرَامَةُ مِثْلَيْهِ وَالْعُقُوبَةُ

Maksudnya: “Barangsiapa makan dari pokok tersebut kerana sangat memerlukan, tanpa menyembunyikan (buah yang lain), maka tidak ada hukuman ke atasnya. Barangsiapa keluar dari (kebun) tersebut dengan mengambil sesuatu darinya, maka dia perlu mengganti dua kali ganda berserta hukuman tambahan. Barangsiapa mencuri sesuatu darinya setelah dikumpulkan di tempat pengeringan dan menyamai harga perisai, maka baginya hukuman potong tangan. Dan barangsiapa mencuri sesuatu yang kurang dari nilai tersebut, maka harus mengganti dua kali lipat beserta hukuman tambahan.”

Riwayat Abu Dawud (4390), al-Nasa’ie (4958), al-Tirmizi (1289) dan Ahmad (7094)

Adapun dalam hadith Rafi‘ bin Khadij R.A di atas, Imam al-Syafi‘i mentakwilkan, di Madinah ketika itu tidak dikira pagar-pagar di sekelilingnya sebagai tempat menjaga, maka tidak dipotong tangan kerana hilangnya syarat harta yang dicuri perlu diambil dari tempat yang dijaga. Sekiranya pagar-pagar di sekelilingnya diambil kira sebagai menjaga, maka hukumannya sama seperti jenayah mencuri yang lain. (Lihat Minhah al-‘Allam, 8/473; al-Umm, 7/333; Syarh Ma‘ani al-Athar, 3/173; Ma‘alim al-Sunan, 6/221)

Berbeza dengan Imam Abu Hanifah, beliau berhujjah dengan umum lafaz hadith Rafi‘ bin Khadij R.A dan tidak mengenakan hukuman potong tangan ke atas pencuri buah secara mutlak. Penentuan hukum ini di sisi mereka bergantung kepada jenis buah tersebut, sama ada ianya boleh dikeringkan atau tidak. Hal ini kerana buah yang tidak dikeringkan akan mudah rosak, maka tidak dikenakan hukuman potong tangan. Adapun buah yang boleh dikeringkan, ianya boleh disimpan lama dan lambat rosak, oleh itu dikenakan hukuman potong tangan. (Lihat al-Mabsut, 9/153; Bada’i‘ al-Sana’i‘, 7/69; Syarh Fath al-Qadir, 5/130)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan ini, majoriti fuqaha’ berhujjah dengan umum nas-nas syara‘ dalam masalah hudud potong tangan ke atas pencuri buah, bahawa ianya diwajibkan kepada mereka yang mencuri jika mencukupi syarat-syaratnya.

Maka, sekiranya pokok itu di kawasan yang dijaga, seperti dibuat pagar di sekeliling kawasan tersebut, atau diletakkan tanda larangan di kawasan itu, maka dikenakan hukuman potong tangan. Tetapi sekiranya pokok buah itu di kawasan yang tidak dijaga, maka terangkatlah hukuman potong tangan ini kerana hilang satu syarat.

Mazhab Hanafi pula mengambil kira hukuman potong tangan ini berdasarkan jenis buah yang dicuri. Sekiranya buah tersebut telah dikeringkan dan disimpan, maka dikenakan hukuman potong tangan. Dan jika buah tersebut dari jenis yang basah dan mudah rosak, maka tidak dikenakan hukuman potong tangan ini.

Beginilah serba ringkas perbahasan tentang jenayah mencuri buah ini. Kami cadangkan kepada saudara untuk merujuk terus kepada kitab-kitab para fuqaha’ tentang perbincangan ini bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.

Semoga, kita semua beroleh manfaat dari perbincangan ini. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam