#4208: Buah Delima Tidak Dikenakan Zakat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah buah delima dikenakan zakat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan berkenaan buah delima. Ringkasnya, delima (nama botani: Punica granatum) merupakan sejenis pokok renek atau pokok kecil dalam keluarga Lythraceae. Ia berdaun luruh yang berbuah dan boleh membesar sehingga ketinggian lima hingga lapan meter. Tumbuhan ini berasal daripada Asia Barat Daya dan telah ditanam secara semulajadi di seluruh kawasan Lembah Mediterranean dan Kaukasus sejak zaman purba.

Ia ditanam secara meluas di seluruh Afghanistan, Algeria, Armenia, Azerbaijan, Iran, Iraq, India, Pakistan, Syria, Turki, bahagian-bahagian lebih kering di Asia Tenggara, Semenanjung Malaysia, India Timur, dan kawasan bertropika di Afrika. Pokok delima dibawa masuk ke Amerika Latin dan California oleh para peneroka Sepanyol pada tahun 1769; pokok delima kini ditanam di sebahagian kawasan California dan Arizona untuk pengeluaran jus.

Pokok delima renek, ia tumbuh setinggi 5–10 m. Daun-daun pokok disusun saling berhadapan dan para-hadapan. Helai daunnya kecil dan ringkas oblong sempit, panjangnya 3–7 sm dan lebarnya 2 sm. Ia mempunyai permukaan yang berkilat atau bersinar. Sisi helai daun pula jenis menyeluruh.

Bunga pokok delima tumbuh dalam gugusan 5 hingga 7 kuntum di hujung ranting pokok. Setiap kuntum bunga terdapat 4 hingga 5 kelopak berwarna merah cerah atau kuning dengan diameter 3–5 sm. Terdapat beberapa baka pokok delima yang ditanam hanya untuk menumbuhkan bunganya sahaja yang berwarna bunga merah cerah dan banyak kelopak seperti bunga kekwa.

Buah delima lebarnya 5–12.5 sm, besarnya antara buah lemon dan limau gedang. Ia mempunyai kulit tebal dan keras berwarna dari kuning, jingga, merah jambu hingga ke merah pekat; buah yang ranum berwarna merah. Di Hemisfera Utara, pokok delima biasanya mula berbuah dari bulan September sehingga Februari, manakala pokok-pokok yang ditanam di Hemisfera Selatan mula berbuah dari bulan Mac sehingga Mei.

Isi buah dibahagikan dinding membran padat dengan banyak butir yang berbentuk heksagon, berkilat dan lutsinar dengan rasa yang manis. Jumlah butiran isi buah adalah antara 200 hingga 1400 biji, setiap satu buah mempunyai bilangan biji yang berbeza dan tidak serupa. Butir-butir ini merupakan 52% berat keseluruhan buah delima. Setiap satu butir dikelilingi isi selaput berjus berwarna merah dan lutsinar. Benih dalamnya juga rangup, seperti span putih dengan membran pedar.[1]

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, buah delima termasuk dalam jenis buah-buahan. Pada asasnya, buah-buahan dikecualikan daripada dikenakan zakat. Ini kerana menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, buah-buahan, sayur-sayuran dan kekacang, tidak diwajibkan zakat padanya kerana ia tidak boleh disimpan lama dan tidak dapat disukat. Selain itu, ia adalah hasil yang diperoleh dengan cepat, dan manfaatnya juga adalah bersifat segera. Begitu juga hasil daripadanya juga kebiasaannya adalah sedikit dan ia hanyalah untuk keseronokan dan kesedapan (yang bersifat tambahan).

Bahkan di sana terdapat hadith yang secara jelas mengecualikan buah delima daripada dikenakan zakat. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Mu‘az R.A, katanya:

فَأَمَّا القِثَّاءُ، وَالبِطِّيخُ، وَالرُّمَّانُ، وَالقَصَبُ، فَقَدْ عَفَا عَنْهُ رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: “Adapun timun, tembikai, buah delima dan tebu, maka Rasulullah SAW telah memaafkannya (mengecualikannya daripada zakat).

Riwayat al-Daraqutni (2/97)[2]

Sekalipun hadith ini dinilai sebagai lemah (dha‘if) tetapi ia selari dengan hukum asal iaitu tidak dihukumkan sebagai wajib pada benda yang didiamkan mengenainya dan ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan oleh syarak. Nabi SAW bersabda:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ مِنْ غَيْرِ نِسْيَانٍ، فَلَا تَسْأَلُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Sesuatu yang didiamkan mengenainya (hukumnya) adalah rahmat buat kamu dan bukannya kerana lupa, maka janganlah kamu bertanya mengenainya (hukumnya itu).

Riwayat al-Tabarani dalam al-Ausat (8938) dan al-Daraqutni (4/298); Imam al-Nawawi dan al-Sam‘ani menilai sanadnya sebagai hasan. Al-Hakim menyebutkan, sanadnya adalah sahih dan padanya terdapat syawahid pada lafaz dan maknanya.

Faktor yang mewajibkan zakat bagi apa atau hasil yang keluar dari tanah ialah ia boleh disukat dengan sukatan syar‘i. Adapun buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan seumpamanya, maka ia adalah benda yang dibilang (bukannya disukat). Oleh itu, ia tidak termasuk dalam apa yang diwajibkan zakat.

Al-Khattabi menyebutkan, hadith ini juga menunjukkan bahawa zakat tidak diwajibkan pada sayur-sayuran, buah-buahan, dan seumpamanya. Ini merupakan pendapat yang dipakai oleh seluruh ulama. Oleh itu, Nabi Muhammad SAW dan para khalifah Baginda meninggalkannya  (daripada dikenakan zakat), sedangkan mereka juga ada menanamnya di sekeliling mereka dan ini menunjukkan bahawa zakat tidak wajib atas tanaman seperti itu, dan meninggalkannya adalah sunnah yang diikuti.

Bahkan Imam Malik dan al-Syafi‘i berpendapat, zakat tidak diwajibkan pada hasil tanaman melainkan pada kurma dan kismis, serta tidak diwajibkan pada biji-bijian kecuali ia menjadi makanan ruji (asasi). Manakala Imam Ahmad pula berpendapat, zakat diwajibkan pada hasil tanaman yang boleh disimpan lama dan disukat, dan begitu juga diwajibkan pada semua jenis biji-bijian meskipun ia bukan sebagai makanan ruji (asasi).

Tambahan lagi, Syeikh al-Islam cenderung kepada pendapat bahawa faktor yang mewajibkan zakat hasil yang keluar dari tanah ialah ia boleh disimpan lama dan tidak yang lain kerana terdapat makna yang sesuai bagi mewajibkan zakat padanya, berbeza halnya dengan sukatan kerana ia hanyalah perkiraan semata-mata, sedangkan timbangan (الوزن) pada maknanya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/343-345).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa buah delima termasuk dalam jenis hasil tanaman yang tidak diwajibkan zakat. Ini kerana ia termasuk dalam jenis buah-buahan, dan jenis seperti ini tidak dikenakan zakat padanya sebagaimana yang kami telah jelaskan di atas.

Selain itu, faedah dan manfaatnya bersifat segera, diperlukan buat sementara waktu, dan bukan makanan ruji (asasi) yang diperlukan, sebaliknya ia hanyalah untuk keseronokan dan kesedapan (yang bersifat tambahan).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.

Nota kaki:

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Delima. Diakses pada 16 November 2023.

[2] Al-Hafiz Ibn Hajar menilai sanadnya sebagai dha‘if. (Lihat Bulugh al-Maram, hlm. 177).