Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya perlukah adakan undian untuk isteri-isteri jika suami ingin musafir ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً
Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja,”
(Surah al-Nisa’:2)
Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya: Sesiapa yang takut untuk berlaku adil, maka cukuplah baginya seorang isteri sahaja. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/185)
Ibn Arabi al-Maliki menyatakan di dalam Ahkam al-Quran: Sekiranya seorang lelaki mampu dari sudut hartanya dan keinginannya untuk berkahwin, maka lakukanlah. Tetapi sekiranya dia tidak pasti dan tidak mampu mengenai kemampuan hartanya dan kemampuannya untuk menanggung untuk berkahwin lebih, maka cukuplah dengan seorang isteri sahaja. (Lihat Ahkam al-Quran, 1/409)
Amaran yang dinyatakan syarak jika tidak berlaku adil dalam berpoligami sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ كَانَتْ لَهُ امْرَأَتَانِ فَمَالَ إِلَى إِحْدَاهُمَا جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَشِقُّهُ مَائِلٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri dan cenderung kepada seorang daripadanya (tidak berlaku adil), pada hari Kiamat, dia datang dalam keadaan yang senget.”
Riwayat Abu Daud (2133), al-Tirmizi (1141), al-Nasa’ie (3942), Ibn Majah (1969) dan Ahmad (7936). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sunan Abi Dawud.
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini Jika seorang lelaki yang memiliki lebih dari seorang isteri ingin bermusafir, dia tidak boleh membawa salah seorang daripada isterinya tanpa yang lainnya kecuali melalui undian atau dengan persetujuan yang lain, sama ada perjalanan itu jauh atau dekat. Ini adalah pendapat Maliki, Syafi’i, dan Hanbali. Yang demikian sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa beliau berkata:
كانَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ إذا أرادَ سَفَرًا أقْرَعَ بيْنَ نِسائِهِ، فأيَّتُهُنَّ خَرَجَ سَهْمُها خَرَجَ بها معهُ
Maksudnya: Apabila Rasulullah SAW hendak melakukan permusafiran belaiu akan adakan undian antara isteri-isterinya, siapa diantara mereka yang keluar undiannya, maka Baginda pergi bersamanya.
Riwayat Bukhari(2593) dan Muslim(2770)
Dapat difahami melalui hadith ini adalah kewajipan untuk berlaku adil di antara isteri-isteri sehingga jika seseorang itu ingin melakkan permusafiran, hendaklah dia membawa sebahagian isterinya bersamanya dalam perjalanan. Jika seorang suami tidak mahu bermusafir dengan semua isterinya, maka yang diwajibkan ke atasnya ialah melakukan undian di antara mereka. Isteri yang terpilih melalui undian tersebut akan pergi bersamanya dalam perjalanan. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/462-463)
Dalam isu ini juga imam al-Nawawi di dalam kitabnya Syarh al-Muslim menyatakan : Barangsiapa yang ingin bermusafir bersama sebahagian isterinya, hendaklah baginya melakukan pengundian di antara mereka. Melakukan pengundian di sisi kami adalah wajib melainkan nabi Muhammad SAW. (Lihat Syarh Muslim, 15/210 )
Dalam isu ini Ibn al-Munzir menyatakan bahawa: Menggunakan cara pengundian merupakan ijma para ulama, maka tidak ada keperluan untuk membantahnya. (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 10/99)
Justeru kami katakan di sini, seorang lelaki yang berpoligami adalah menjadi kewajipan ke atasnya untuk berlaku adil terhadap isteri-isteri baik dari segi nafkah, layanan dan lain-lain. Dalam Islam, pengundian di antara isteri-isteri diwajibkan apabila suami merancang untuk melkukan permusafiran. Isteri yang terpilih melalui undian akan menemani suaminya dalam perjalanan tersebut. Langkah ini diambil untuk mencegah sebarang perselisihan yang berlaku di antara mereka.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.
Wallahua’lam