#4212: Memakan Sotong Kurita

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum memakan sotong kurita? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan berkenaan haiwan yang dipanggil sotong kurita ini. Dalam bahasa Arab, ia dipanggil sebagai akhtabut (أَخْطَبوط). Dinyatakan dalam Mu‘jam Matn al-Lughah (2/297) bahawa perkataan akhtabut ialah kata pinjaman Yunani yang diarabkan sebagai octopus (اكتوبوس) dengan maksud pemilik lapan kaki. Ia ialah sejenis haiwan laut berstruktur jeli dengan lapan kaki yang mempunyai takungan udara yang melekat padanya melalui proses pengosongan udara. Manakala dalam al-Mu‘jam al-Wasit (1/9), akhtabut (أَخْطَبوط) diertikan sebagai haiwan laut berbentuk silinder dengan lapan kaki menegak, digunakan sebagai perumpamaan untuk kekuatan cengkamannya.

Secara ringkasnya, sotong kurita ialah haiwan laut berbadan bulat bermata besar, dan mempunyai lapan tangan yang panjang Terdapat kira-kira 100 spesies sotong Kurita Spesies yang paling terkenal hidup di dasar laut yang berbatu, berpasir, atau berlumpur di bahagian cetek laut di seluruh dunia. Lain-lain sotong kurita hidup di perairan dalam.

Sotong kurita berbeza beza saiznya. Spesies yang terbesar, sotong kurita raksasa di Lautan Pasifik, beratnya 30 kilogram. Panjangnya lebih daripada 6 meter dari hujung satu tangan hingga ke hujung tangan satu lagi di sebelah badan yang bertentangan. Spesies yang terkecil yang terdapat di Lautan Hindi beratnya kurang daripada 28 gram dan panjangnya kira-kira 2.5 sentimeter dari hujung tangan ke hujung tangan.

Sotong kurita tergolong dalam kumpulan haiwan yang dikenali sebagai moluska. Kumpulan Ini juga termasuk kima, tiram, dan siput. Seperti sotong dan sotong katak, sotong kurita adalah moluska yang tidak bercangkerang. Badan sotong kurita lembut dan tidak bertulang. Selaputnya yang berisi dan tegap, dikenali sebagai mantel, membaluti bahagian utama badan, membentuk rongga yang membaluti insang

Sotong kurita bernafas dengan menyedut air ke dalam rongga mantel. Pusingan air membekalkan oksigen bagi insang. Mantel kemudiannya menguncup dan menolak air keluar melalui tiub yang dikenali sebagai corong atau sifon. Sotong kurita mempunyai tiga jantung. Dua jantung dihubungkan dengan insang dan dikenali sebagai jantung insang. Dua mata sotong kurita terletak di setiap sisi kepalanya. Matanya sama strukturnya dengan mata manusia dan memberi penglihatan yang baik. Lapan tangan menganjur dari kepala sotong kurita. Di pangkalnya, tangan ini disatukan oleh selaput membran. Bahagian bawah setiap tangan dilapisi oleh penyedut bulat dan berotot. Sotong kurita menggunakan tangannya dan penyedutnya untuk bergerak di sepanjang dasar lautan dan untuk menangkap haiwan kecil yang menjadi makanannya. Penyedut boleh memberikan banyak sedutan, membolehkan sotong kurita melekat kuat pada batuan. Jika sotong kurita kehilangan tangannya, tangan baru akan tumbuh di tempatnya. Mulut sotong kurita adalah struktur bak paruh yang terletak di bawah kepala di pangkal tangan.

Kehidupan sotong kurita. Sotong kurita memakan terutamanya ketam, kima, dan siput. Banyak spesies juga memakan lain-lain sotong kurita. Sotong kurita tertentu membuat lubang pada cangkerang mangsa dan menyuntik racun yang melumpuhkan haiwan itu. Banyak haiwan laut — terutamanya anjing laut, ikan paus, dan ikan tertentu menjadikan sotong kurita mangsanya. Sotong kurita mempunyai pelbagai cara untuk mengelakkan pemangsanya. la boleh berenang dengan pantas ke belakang dengan menolak air dengan kuat melalui corongnya. Sotong kurita boleh menyembunyikan dirinya dengan mengeluarkan gumpalan cecair berdakwat. Dalam sesetengah kes, bentuk gumpalan cecair berdakwat ini menyerupai sotong kurita dan dengan itu bertindak sebagai umpan.

Sotong kurita juga boleh melepaskan diri daripada bahaya dengan menukar warna dengan cepat. Kulitnya mengandungi sel yang dikenali sebagai kromatofor, yang setiap satu-satunya mengandungi pigmen berwarna tunggal. Apabila sotong kurita terangsang, sel-sel ini mengecut atau mengembang, menghasilkan perubahan warna yang boleh mengejutkan pemangsa atau membantu menyamarkan sotong kurita.

Sotong kurita membiak secara seks. Sotong kurita betina boleh bertelur lebih daripada 100 000 biji. la menjaga telur-telurnya sehingga menetas menjadi anak sotong kurita yang kecil. Anak sotong kurita berenang di permukaan air atau berdekatan dengannya selama beberapa minggu sebagai sebahagian daripada plankton. Banyak anak sotong kurita dimakan oleh ikan dan lain-lain haiwan laut. Jangka hayat sotong kurita tidak lama. Banyak yang hidup setahun atau kurang daripada setahun. Spesies yang terbesar hidup kira-kira tiga tahun.

Sotong kurita dan manusia. Kebanyakan sotong kurita tidak dianggap berbahaya kepada manusia. Walau bagaimanapun, sotong kurita kadangkala menggigit, oleh itu perlu berhati-hati apabila mengendalikannya. Di sesetengah negara, sotong kurita adalah makanan yang penting. Terdapat industri sotong kurita di banyak bahagian di dunia, terutamanya di luar pantai Jepun, di Mediterranean, dan di luar pantai barat laut Afrika. Dari segi pengelasan saintifik, sotong kurita tergolong dalam order Octopoda dalam kelas Cephalopoda dan filum Moluska. Banyak spesies tergolong dalam genus Octopus. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 20/244-245)

Memakan sotong kurita

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, hukum asal bagi apa-apa yang keluar dari laut yang terdiri daripada makanan adalah halal. Hal ini adalah berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Selain itu, semua haiwan yang dianggap termasuk dalam jenis ikan secara bahasa dan ‘uruf adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf. Bahkan turut dinukilkan ijma‘ ulama berkenaan keharusan memakan ikan berserta semua jenis-jenisnya daripada ramai ulama. Di antaranya adalah seperti yang disebutkan oleh Ibn Hazm dalam Maratib al-Ijma‘ (hlm. 148), para ulama telah bersepakat bahawa ikan yang ditangkap dari laut, sungai, kolam dan mata air, apabila ditangkap hidup-hidup, disembelih, dan tangkapan itu dilakukan oleh seorang Muslim yang sudah baligh, berakal dan tidak mabuk, maka memakannya adalah halal (dibolehkan).

Begitu juga Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa kaum Muslimin telah berijma‘ akan keharusan memakan ikan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/86). Selain itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menyatakan bahawa tidak ada khilaf di antara ulama berkenaan kehalalan untuk memakan ikan tanpa mengira jenis-jenisnya. (Lihat Fath al-Bari, 9/619).

Akan tetapi para ulama berselisih pendapat berkenaan apa yang keluar dari laut yang terdiri daripada haiwan bukan ikan kepada sekurang-kurangnya dua pendapat.

Ulama mazhab Hanafi berpendapat, jenis hidupan air yang halal dimakan hanyalah ikan sahaja. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam Mukhtasar al-Quduri (hlm. 207) bahawa tidak dimakan haiwan/hidupan air melainkan hanya ikan dan makruh (tahrim) memakan yang terapung daripadanya (ikan tersebut), serta tidak mengapa memakan al-Jarith (الْجِرِّيثُ – ikan keli) dan al-Maramahi (المارماهي – belut).[1] Begitu juga al-Sarakhsi daripada kalangan ulama  Hanafiyyah turut menyebutkan bahawa semua jenis ikan adalah halal dimakan. Al-Jarith (الْجِرِّيثُ – ikan keli) dan al-Maramahi (المارماهي – belut) serta selainnya adalah sama sahaja (dari segi hukumnya). Manakala haiwan/hidupan air selain ikan adalah tidak halal untuk dimakan di sisi kami. (Lihat al-Mabsut, 11/248).

Di antara sebab haiwan/hidupan air selain ikan tidak halal dimakan di sisi Hanafiyyah kerana ia dianggap sebagai khabith (benda yang dianggap buruk dan jijik). Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Hidupan air selain ikan adalah termasuk dalam benda khabith (benda yang dianggap buruk dan jijik). Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh ‘Abd al-Ghani al-Maidani dalam al-Lubab fi Syarh al-Kitab (3/231) ketika mensyarahkan kenyataan al-Quduri dan begitu juga turut disebutkan oleh al-Marghinani dalam al-Hidayah fi Syarh Bidayah al-Mubtadi (4/353).

Manakala jumhur ulama pula berpendapat, bangkai hidupan air adalah halal dimakan tidak kira daripada jenis ikan mahupun selainnya. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab bahawa menurut para ashab (ulama mazhab Syafi‘i) haiwan/hidupan air itu terbahagi kepada dua jenis.

Pertamanya, haiwan yang hidup di dalam air dan apabila ia keluar dari air hidupnya sama seperti haiwan yang disembelih seperti ikan  dan jenis-jenisnya, maka ia adalah halal untuk dimakan, dan tidak perlu kepada sembelihan (bagi menghalalkannya) tanpa sebarang khilaf. Bahkan, ia secara mutlak halal untuk dimakan, tidak kira ia mati dengan sebab yang nyata seperti tertimpa benda, hentakan batu, kurangnya air, dipukul pemburu atau sebab-sebab yang lain, atau mati dengan sendirinya sama ada ia timbul (terapung) di atas permukaan air ataupun tidak, semuanya adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf di sisi kami (ulama mazhab Syafi‘i).

Keduanya, hidupan air  yang tidak dalam bentuk kebiasaan ikan (sebagaimana yang biasa dikenali) maka terdapat tiga pendapat masyhur dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i mengenai kehalalannya sebagaimana disebutkan oleh pengarang dalam al-Tanbih, begitu juga al-Qadhi Abu al-Tayyib dan selainnya turut menyatakan bahawa terdapat tiga pendapat mengenainya. Pendapat pertama iaitu pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i ialah semuanya halal untuk dimakan. Ini adalah sebagai dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam al-Umm, Mukhtasar al-Muzani dan Ikhtilaf al-‘Iraqiyyin kerana sebetulnya perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Menurut Ibn ‘Abbas dan selainnya, “buruan laut” ialah apa yang kamu buru, manakala “makanannya” pula ialah apa yang dilemparkannya.

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Pendapat kedua, haram memakannya dan ini juga adalah mazhab Abu Hanifah. Manakala pendapat ketiga menyatakan, jika haiwan di daratan yang menjadi bandingannya dimakan dagingnya seperti lembu, kambing dan seumpamanya, maka ia juga turut halal dimakan. Jika haiwan di daratan yang menjadi bandingannya tidak dimakan dagingnya seperti babi air dan anjing laut, maka ia juga haram dimakan. Kemudian sekiranya haiwan itu tidak ada bandingannya di daratan, maka ia adalah halal mengikut apa yang kami telah sebutkan berdasarkan dalil yang paling sahih. Berdasarkan pendapat ketiga ini, tidak halal dimakan haiwan yang menyerupai keldai, meskipun terdapat di daratan, keldai liar yang boleh dimakan. Ini adalah sebagaimana dijelaskan oleh Ibn al-Sabbagh, al-Baghawi dan selain kedua-duanya. Seterusnya, Imam al-Nawawi menyimpulkan bahawa pendapat yang sahih lagi muktamad bahawa semua hidupan laut/air adalah halal bangkainya melainkan katak.

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi juga turut menyebutkan, ikan yang terapung adalah halal untuk dimakan. Iaitu ikan yang mati dengan sendirinya. Hal ini kerana menurut kami (mazhab Syafi‘i), setiap bangkai hidupan laut adalah halal untuk dimakan, kecuali katak. Tidak kira ia mati bersebab ataupun tidak (iaitu mati dengan sendirinya). Ini juga adalah pendapat Imam Malik, Ahmad, dan Abu Daud. Al-Khattabi turut menukilkannya daripada Abu Bakar al-Siddiq, Abu Ayyub al-Ansari, ‘Ata’ bin Abu Rabah, Makhul, al-Nakha‘i, dan Abu Thaur. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/31-33).

Ulama mazhab Maliki berpendapat, diharuskan untuk memakan haiwan yang keluar/ditangkap dari laut, tidak kira ia dalam keadaan terapung ataupun tidak. Ini sebagaimana dinyatakan dalam al-Mudawwanah (1/452), Imam Malik menyebutkan, dimakan semua haiwan dalam air tidak kira ia terapung ataupun tidak terapung (ketika ditangkap) yang terdiri daripada buruan laut sekalipun ia ditangkap oleh orang yang dalam ihram.

Seterusnya, ulama mazhab Hanbali pula berpendapat, diharuskan untuk memakan semua haiwan laut kecuali katak kerana ia dianggap sebagai haiwan yang jijik, begitu juga buaya (tidak dimakan) kerana ia haiwan yang memiliki taring yang memburu dengan taringnya mengikut salah satu pendapat, dan begitu juga semua haiwan yang mempunyai bandingannya yang diharamkan di daratan seperti babi (juga tidak dimakan). Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Ibn Qudamah dalam al-Kafi fi Fiqh al-Imam Ahmad (1/558).

Haiwan laut diharuskan untuk memakan kesemuanya berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 96 (sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas). Dikecualikan katak daripada termasuk dalam keharusan tersebut kerana Nabi SAW melarang daripada membunuhnya dan begitu juga kerana ia dianggap jijik.

Imam Ahmad berpendapat makruh (tahrim) untuk memakan buaya kerana ia memiliki taring, maka ada kebarangkalian ia termasuk dalam jenis haiwan yang diharamkan kerana haiwan pemangsa. Dan ada juga kebarangkalian ia diharuskan untuk memakannya berdasarkan kepada ayat al-Quran. Ibn Hamid menyatakan, ikan jerung diharamkan untuk dimakan kerana ia memiliki taring (yang memburu haiwan dengannya). Begitu juga Abu Ali al-Najad turut menyebutkan, tidak dimakan hawaiian laut yang terdapat haiwan bandingannya di daratan yang diharamkan seperti anjing laut, babi air dan manusia air.

Di samping itu, turut dinyatakan dalam al-Syarh al-Kabir (11/87) bahawa semua haiwan laut adalah diharuskan untuk dimakan berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 96 (sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas) kecuali katak, ular dan buaya. Ibn Hamid menambah, kecuali ikan jerung. Semua buruan laut adalah harus untuk dimakan kecuali katak. Ini juga adalah pendapat Imam al-Syafi‘i. Selain itu, al-Imam Abu al-Barakat Majduddin Ibn Taimiyyah al-Harrani al-Hanbali dalam al-Muharrar fi al-Fiqh (2/189) juga ada menyatakan, diharuskan untuk memakan haiwan laut kesemuanya kecuali katak, manakala berkenaan keharusan untuk memakan buaya ada dua riwayat (pendapat).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa sotong kurita adalah halal dan diharuskan untuk dimakan selagi mana ia tidak memudaratkan pemakannya seperti mengandungi racun dan seumpamanya. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis haiwan air/laut dan dihukumkan sebagai halal dan begitu juga bangkainya berdasarkan kepada keumuman nas al-Quran dan juga al-Sunnah.

Apatah lagi, sotong kurita tidak termasuk dalam jenis haiwan laut yang dikecualikan oleh fuqaha mahupun dihukumkan sebagai haram. Oleh itu, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dimakan selagi mana tidak memudaratkan pemakannya. Lebih-lebih lagi, kini banyak negara dan tempat sudah menjadikan atau menganggap sotong kurita sebagai makanan yang penting. Bahkan terdapat industri sotong kurita di banyak bahagian di dunia, terutamanya di luar pantai Jepun, di Mediterranean, dan di luar pantai barat laut Afrika. Ini semua menunjukkan sotong kurita sememangnya haiwan laut yang dimakan dan tidak dianggap sebagai jijik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Nota kaki:

[1] ‘Alauddin al-Haskafi mendefinisikan al-Jarith sebagai sejenis ikan berwarna hitam — iaitu merujuk kepada ikan keli. Manakala al-Maramahi sebagai sejenis ikan dalam bentuk ular — iaitu merujuk kepada belut. (Lihat al-Durr al-Mukhtar, hlm. 542).