#4214: Keadaan Yang Dibenarkan Untuk Mendedahkan Rahsia

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bolehkah mendedahkan rahsia untuk kemaslahatan umum walaupun telah berjanji ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.”

(Surah al-Mukminun:8)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas berkata: “Yakni, jika mereka (orang mu’min) diberi amanah, mereka tidak mengkhianati, malah mereka mengembalikannya kepada pemiliknya. Dan jika mereka membuat perjanjian atau akad, mereka memenuhinya (terma dan syarat).” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/404)

Begitu juga firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui.”

(Surah al-Anfal: 27)

Al-Maraghi menjelaskan akan larangan mengkhianati amanah sesama manusia dalam segala jenis urusan melibatkan urusan muamalat, akhlak dan aspek sosial. Begitu juga larangan mengkhianati pemerintah dalam perihal politik dan juga peperangan kerana perbuatan itu boleh memberi manfaat kepada pihak musuh. Justeru, dalam konteks larangan mengkhianati amanah sesama manusia, khianat terhadap amanah dalam pembelajaran dan pekerjaan turut dilarang oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/191-194)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

آيَةُ المُنافِقِ ثَلاثٌ: إذا حَدَّثَ كَذَبَ، وإذا وعَدَ أخْلَفَ، وإذا اؤْتُمِنَ خانَ

Maksudnya: “(Antara) tanda orang munafiq itu ada tiga; jika bercakap dia berdusta, jika berjanji dia mungkiri, dan jika dia diberikan kepercayaan dia khianati.”

Riwayat al-Bukhari (6059) dan Muslim (59)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan rahsia adalah amanah, dan ia adalah satu dari janji yang harus dijaga. Orang yang membocorkannya harus ditegur, kerana mereka mengkhianati amanah dan melanggar janji, serta harus dihukum bagi yang patut dihukum di antara mereka. Oleh yang demikian menjaga rahsia yang diamamahkan untuk tidak disebarkan kepada orang lain adalah wajib disisi syara’ sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui.”

(Surah al-Anfal: 27)

Diriwayatkan daripada Anas Bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ، وَلَا دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ

Maksudnya: Tidak ada iman bagi siapa yang tidak menjaga amanah dan tidak ada agama  bagi siapa yang tidak berpegang kepada janji.

Riwayat Ahmad(12567)

Al-Ghazali dalam kitabnya ihya ‘Ulum al-Din menyatakan bahawa: Menyebarkan rahsia  merupakan perkara yang dilarang kerana boleh menyakiti  sahabat atau kenalan yang lain. Ia diharamkan jika menyebabkan kemudaratan kepadanya dan ia termasuk dalam perbuatan yang tercela mesipun tidak menyebabkan kemudaratan padanya.  (Lihat Ihya ‘Ulum al-Din, 3/132)

Begitu juga al-Safarini menyatakan bahawa: Diharamkan bagi setiap individu yang mukallaf mendendahkan rahsia. Ia dilarang mungkin kerana  diperintahkan untuk merahsiakannya, atau terdapat petunjuk yang menunjukkan keperluan untuk merahsiakannya, atau kerana ia adalah sesuatu yang biasa dirahsiakan.Dikatakan juga : yang diharamkan tersebut  adalah mendedahkan  rahsia yang boleh membawa kemudaratan. (Lihat Ghiza’ al-Bab, 1/116)

Namun dalam isu ini kami katakan diharuskan untuk mendedahkan rahsia sekiranya ia boleh membawa kemudaratan kepada orang lain seperti rahsia untuk melakukan jenayah atau  kezaliman terhadap orang lain. Ia boleh didedahkan dengan melaporkannya kepada badan berkuasa atau yang lain kerana rahsia tersebut tidak patut disembunyikan dan kemudaratan wajib dihindari.

Al-’Izz Abd al-Salam menatakan bahawa: Menyembunyikan rahsia adalah sifat para wali, namun boleh jadi dibenarkan untuk mendedahkannya jika terdapat kepentingan atau untuk menghindarkan kemudaratan.

Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa : dikecualikan dari kewajipan merahsiakan rahsia dalam situasi di mana merahsiakannya akan menyebabkan kerugian yang lebih besar daripada mendedahkannya kepada individu tersebut, atau jika mendedahkan rahsia itu membawa manfaat yang lebih besar daripada merahsiakannya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/236 )

Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada mudharat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudharatan.”

Riwayat Ahmad (2865) dan Ibn Majah (2340)

Ini bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah yang disebutkan ulama’:

الضَّرَرُ ‌يُزَالُ

Maksudnya: “Kemudaratan perlu dihilangkan”

Justeru kamikami tegaskan bahawa setiap individu Muslim perlu menjaga amanah yang diberkan kepadanya, termasuk menjaga rahsia yang diberikan, kerana ia adalah tanggungjawab yang akan dipersoalkan kelak. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, adalah wajar untuk mendedahkan rahsia yang mungkin membawa kemudaratan kepada individu lain, demi kepentingan umum dan untuk mengelakkan sebarang kemudaratan. Justeru, kami katakan tidak wajar untuk berpegang kepada amanah dalam perkara yang melibatkan perbuatan maksiat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahua’lam