Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seorang perempuan haid membaca atau berdoa dengan Asmaul Husna (nama-nama Allah yang agung)? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat.’ Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Surah al-Baqarah: 222)
Para ulama menafsirkan ayat di atas dengan menyebutkan bahawa orang-orang beriman bertanya kepada Rasulullah SAW tentang berjimak dengan isteri ketika sedang haid. Lalu Allah SWT memerintahkan agar Baginda menjawab kepada mereka dengan memberitahu bahawa berjimak dengan isteri pada waktu haid adalah sesuatu yang menjijikkan, membahayakan di dunia dan akhirat. Perbuatan ini tidak boleh dilakukan, maka jauhilah perbuatan berjimak dengan isteri pada waktu haid sehingga haid mereka selesai. Jika telah selesai dan mereka telah mandi, maka barulah mereka boleh berjimak dengan isteri-isteri mereka pada tempat (faraj) yang telah dihalalkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang banyak beristighfar kepada-Nya dan menjauhi perbuatan keji dan kotor. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 142).
Pada asasnya haid dari segi bahasa bermaksud mengalir. Dikatakan bahawa, “حَاضَ الوَادِي” apabila lembah mengalir. Manakala dari segi syarak pula haid diertikan sebagai:
دَمُ جِبِلَّةٍ يَخْرُجُ مِنْ أَقْصَى رَحِمِ الْمَرْأَةِ عَلَى سَبِيلِ الصِّحَّةِ
Maksudnya: “Darah kebiasaan yang keluar dari bahagian paling hujung di dalam rahim seorang perempuan secara sihat.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 161).
Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, di antara larangan bagi perempuan yang sedang haid ialah mereka tidak boleh memegang dan membaca al-Quran. Ini merupakan pendapat kebanyakan fuqaha. Mereka melarang wanita membaca al-Quran ketika dalam haid dan sedang berjunub berdasarkan kepada hadith daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
لاَ تَقْرَأُ الحَــائِضُ وَلاَ الجُــنُبُ شَــْـيئاً مِنَ القُرأَنِ
Maksudnya: “Tidak dibolehkan wanita di dalam haid dan yang berjunub membaca sedikit pun daripada al-Quran.”
Riwayat al-Tirmizi (131) dan Ibn Majah (596).[1]
Namun, ada dalam kalangan ulama seperti pendapat ulama Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih menyatakan bahawa dibolehkan untuk memegang al-Quran serta membacanya bagi wanita yang haid bagi tujuan mengajar dan belajar. Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana hari-hari haid itu berlangsung adalah cukup lama. Maka, jika mereka dilarang daripada membaca al-Quran, dibimbangi bahawa mereka akan melupakan al-Quran. Sedangkan berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid. Ia juga memberi kemudahan kepada madrasah Tahfiz al-Quran untuk meneruskan pengajarannya sehingga para huffaz tidak melupakan hafazannya disebabkan terhenti bacaan kerana haid dan nifas.
Inilah juga pendapat tokoh ulama silam seperti Imam al-Bukhari, al-Tabari, Ibn Munzir, Daud, al-Sya‘bi, pendapat Imam al-Syafi’i dalam qaul qadimnya dan kebanyakan ulama masa kini seperti Syeikh al-‘Uthaimin dan lain-lain. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 1/461).
Penjelasan lanjut berkenaan hal ini boleh merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #63 Membaca al-Quran Ketika Haid.[2]
Kemudian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa tidak menjadi masalah bagi wanita yang sedang haid untuk membaca Asmaul Husna. Hal ini kerana Asmaul Husna atau nama-nama Allah ini termasuk dalam kategori zikir dan bukannya ayat-ayat al-Quran. Oleh kerana Asmaul Husna dikategorikan sebagai zikir, maka wanita yang sedang haid dibolehkan untuk membacanya tanpa sebarang khilaf lagi, tidak kira hal itu menjadi kebiasaannya setiap hari ataupun tidak.
Bukan itu sahaja, bahkan wanita yang sedang haid itu boleh mendapatkan pahala melalui bacaan Asmaul Husna dan jika ia diniatkan sebagai doa, pasti dimakbulkan Allah SWT. Nama Allah SWT yang agung adalah sebagai salah satu cara untuk dimustajabkan doa. Dengan menyebut nama-nama Allah yang agung ini, doa dan permohonan seseorang hamba itu tidak akan ditolak oleh Allah SWT. Tambahan pula, hal ini dituntut oleh Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:
وَلِلَّـهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا
Maksudnya: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.”
(Surah al-A‘raf: 180)
Begitu juga terdapat riwayat daripada Abu Umamah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اسْمُ اللَّهِ الْأَعْظَمُ الَّذِي إِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ فِي سُوَرٍ ثَلَاثٍ: الْبَقَرَةِ، وَآلِ عِمْرَانَ، وَطه
Maksudnya: “Nama Allah yang Agung apabila kita berdoa dengannya akan dimustajab (oleh Allah SWT) ada di dalam tiga surah al-Baqarah, Ali ‘Imran dan Taha.”
Riwayat Ibn Majah (3846)
Ini kerana dalam Islam, haid bukanlah penghalang bagi wanita haid untuk mendapatkan pahala, dan juga bukan halangan bagi wanita haid untuk dimakbulkan doanya. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah bahawa diharuskan bagi perempuan untuk berdoa kepada Allah SWT semasa haidnya pada mana-mana waktu yang dikehendakinya. Hal ini kerana doa termasuk dalam ibadat yang tidak memerlukan kepada taharah sughra atau taharah kubra, berwuduk atau mandi wajib dan doa termasuk sebahagian daripada berzikir kepada Allah SWT. Justeru, berdoa ketika sedang mengalami haid adalah disyariatkan dan dianggap baik serta tidak makruh. Ini kerana haid bukanlah penghalang kepada kabulnya doa menurut kesepakatan umat. Oleh itu, disyariatkan kepada perempuan untuk berzikir kepada Allah dalam apa keadaan sekalipun, sama ada ketika haid atau sedang berjunub.[3]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Nota kaki:
[1] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Awasim wa al-Qawasim (4/32) menyatakan dalam sanad hadith ini terdapat Ismail bin Ayyasy yang meriwayatkan selain daripada ahli negerinya dan hadith ini terdapat dua jalur dan kedua-duanya adalah dhaif.
[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/63-membaca-al-quran-ketika-haid/. Diakses pada 16 November 2023.
[3] Lihat https://www.elbalad.news/4711983. Diakses pada 16 November 2023.