#4217: Memakan Sotong Katak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum memakan sotong katak atau dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai cuttlefish? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan berkenaan haiwan yang dipanggil sotong katak ini. Secara ringkasnya, sotong katak ialah moluska (haiwan lembut tidak bertulang) dalam kelas yang sama dengan sotong. Ia terdapat di kebanyakan laut kecuali di laut di sekeliling Amerika. la hidup di air dalam, tetapi kadangkala terdapat berhampiran dengan persisiran pantai. Saiznya berbeza-beza dari kira-kira lapan sentimeter hingga kira-kira 1.8 meter panjangnya. Badannya berwarna perang berjalur-jalur dan berbintik-bintik ungu. la berkilau terang dalam cahaya matahari dan sering bertukar warna. Badannya yang berbentuk bujur dikelilingi sirip beropol. Sotong katak mempunyai lapan tangan yang pendek dan dua tentakul (sesungut panjang) yang dikelilingi mulutnya. Tangan dan tentakul kedua-duanya mempunyai empat baris penghisap yang keras dan kasar. Tentakulnya boleh ditarik masuk ke dalam kantung di belakang mata. Tangannya digunakan untuk melekatkan dirinya pada sesuatu objek atau untuk menangkap haiwan laut yang kecil seperti ketam dan ikan.

undefined

Gambar di atas: Sotong Katak atau Cuttlefish. (Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Cuttlefish#/media/File:Cuttlefish_komodo_large.jpg)

Sotong katak mempunyai cangkerang dalaman yang dikenali sebagai tulang sotong. Tulang sotong yang lebar adalah mampung dan berkapur. la diberi makan kepada burung kenari dan nuri kerana tinggi kandungan kalsiumnya. la juga digunakan untuk membuat ubat gigi. Sotong katak bergerak dengan menolak air masuk ke dalam atau keluar dari ruang di antara tulang sotong dengan badannya. la juga menggunakan sifon untuk menghembus air pada bahagian bawah pasir bagi mendedahkan ketam yang bersembunyi dalam pasir. Untuk menyembunyikan diri daripada musuh, sotong katak boleh menggelapkan air semasa ia bergerak dengan melepaskan bahan macam dakwat yang mengandungi pigmen perang yang dinamakan sepia. Dakwat yang dibuat daripada sepia digunakan dengan meluas pada zaman dahulu. Dari segi pengelasan saintifik, sotong katak biasa tergolong dalam famili sotong katak, Sepiidae. Ia adalah Sepia officinalis. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 20/244).

Hukum memakan sotong katak

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sebagaimana yang kita ketahui sotong katak tergolong dalam jenis hidupan air atau haiwan laut.

Pada asasnya, haiwan air atau hidupan laut dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211)[1]

Selain itu, semua haiwan yang dianggap termasuk dalam jenis ikan secara bahasa dan ‘uruf adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf. Bahkan turut dinukilkan ijma‘ ulama berkenaan keharusan memakan ikan berserta semua jenis-jenisnya daripada ramai ulama. Di antaranya adalah seperti yang disebutkan oleh Ibn Hazm dalam Maratib al-Ijma‘ (hlm. 148), para ulama telah bersepakat bahawa ikan yang ditangkap dari laut, sungai, kolam dan mata air, apabila ditangkap hidup-hidup, disembelih, dan tangkapan itu dilakukan oleh seorang Muslim yang sudah baligh, berakal dan tidak mabuk, maka memakannya adalah halal (dibolehkan).

Begitu juga Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa kaum Muslimin telah berijma‘ akan keharusan memakan ikan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/86). Selain itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menyatakan bahawa tidak ada khilaf di antara ulama berkenaan kehalalan untuk memakan ikan tanpa mengira jenis-jenisnya. (Lihat Fath al-Bari, 9/619).

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548). Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan, tanpa perlu berhajat kepada sembelihan. Justeru, bangkainya adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548). Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa sotong katak adalah halal dan diharuskan untuk dimakan selagi mana ia tidak memudaratkan pemakannya seperti mengandungi racun dan seumpamanya. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis haiwan air/laut dan dihukumkan sebagai halal dan begitu juga bangkainya berdasarkan kepada keumuman nas al-Quran dan juga al-Sunnah.

Begitu juga pada hakikatnya, ia bukanlah katak yang diharamkan untuk dimakan sekalipun ia dipanggil sebagai sotong katak atau tergolong dalam spesies atau jenis katak sebaliknya ia adalah haiwan yang jauh berbeza sama sekali; satu haiwan dataran dan satu lagi haiwan laut. Justeru kaedah ada menyebutkan:

العِبْرَةُ بِحَقَائِقِ الأَشْيَاءِ لاَ بِأَسْمَائِهَا

Maksudnya: “Hukum sesuatu itu diambil kira berdasarkan kepada hakikatnya dan bukan pada namanya.”

Lebih-lebih lagi, kini banyak negara dan tempat sudah menjadikan atau menganggap sotong katak sebagai makanan yang boleh dimakan dengan pelbagai masakan dan tidak dianggap sebagai jijik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Nota kaki:

[1] Imam al-Baihaqi menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.