#4225: Bersumpah dengan Nama Rasulullah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dibolehkan seseorang itu bersumpah dengan nama Nabi atau nama Rasulullah bagi menegaskan atau menguatkan perkataannya? Misalnya dengan berkata: “Demi Nabi,” atau “Demi Rasulullah,” atau “Demi Muhammad.” Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sumpah dalam bahasa Arab ialah al-Aiman (الأيمان). Ia merupakan jamak dari perkataan al-Yamin (اليمين). Pada dasarnya, ia bermaksud tangan kerana untuk bersumpah, masyarakat Arab biasanya mengangkat tangan kanan mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 7/105).

Manakala dari segi istilah, ia bermaksud menguatkan perkara yang disumpah dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus. Hal ini dilakukan dengan dengan menggunakan salah satu di antara huruf sumpah ba’, waw, atau ta’ (dalam bahasa Arab). Iaitu dengan menyebut billahi, wallahi atau tallahi yang membawa maksud ‘demi Allah’. (Lihat al-Qaul al-Mufid, 2/213; Taudhih al-Ahkam, 7/105).

Sumpah hendaklah hanya dilakukan dengan menggunakan nama Allah SWT atau salah satu sifat-Nya. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ باللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.”

Riwayat al-Bukhari (3836) dan Muslim (1646)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa beliau pernah mendengar seorang lelaki berkata: “Tidak, demi Kaabah.” Ibn Umar R.Anhuma pun berkata: “Jangan bersumpah dengan yang lain selain daripada Allah SWT, kerana sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَلَفَ بِغَيْرِ اللَّهِ فَقَدْ كَفَرَ أَوْ أَشْرَكَ ‏

Maksudnya:Sesiapa yang bersumpah dengan yang selain daripada Allah, maka sesungguhnya dia telah kafir atau syirik.”

Riwayat Abu Dawud (3251), al-Tirmizi (1535) dan Ahmad (6072).[1]

Al-Syaukani menjelaskan bahawa ungkapan ‘kafir’ atau ‘syirik’ dalam hadith di atas adalah bagi menjelaskan kesungguhan dari segi celaan dan teguran dalam hal bersumpah itu. (Lihat Nail al-Autar, 8/261)

Punca larangan adalah kerana bersumpah dengan sesuatu membawa kepada mengagungkan perkara itu. Pengagungan pada hakikat yang sebenarnya hanyalah berhak diberikan kepada Allah SWT sahaja, zat atau sifat-Nya. Oleh itu, para ulama fiqh bersepakat bahawa bersumpah dengan nama sesuatu selain daripada Allah SWT tidak sah kerana tegahan membuktikan rosaknya perkara yang ditegah itu.

Ibn al-Qayyim menyebutkan, salah satu dosa besar adalah bersumpah dengan selain Allah, seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: “Sesiapa bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah bersekutu.” Seseorang mungkin mengatakan bahawa ini adalah makruh, tetapi menurut hukum syariat, ini adalah bentuk syirik. Kedudukannya lebih tinggi dari dosa-dosa besar.” (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘in, 6/571-572).

Syirik dalam hal ini boleh menjadi syirik besar atau syirik kecil, tetapi tidak menjadikan pelakunya keluar daripada agama Islam. Syirik besar terjadi jika seseorang memperlakukan apa yang disumpah itu sebagaimana mereka memperlakukan Allah dalam hal penghormatan, kekuasaan untuk memberikan manfaat dan  kemudaratan.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan: Jika seseorang menganggap sesuatu yang disumpahkan itu dalam sumpah setara dengan cara dia mengagungkan Allah, maka bersumpah dengan itu adalah diharamkan. Jika keyakinannya terhadap yang disumpahkan tersebut setara dengan keyakinannya terhadap Allah, maka ini adalah bentuk kekafiran, dan hadith yang disebutkan berlaku pada perkara ini. (Lihat Fath al-Bari, 11/531).

Namun begitu, dalam hal bersumpah selain nama Allah, sumpah tersebut adalah tidak sah. Hal ini kerana sumpah seperti ini termasuk dalam sumpah dengan kehidupan seseorang, kepalanya dan kemuliaannya, bersumpah dengan ibu dan bapanya, bersumpah dengan Kaabah dan makhluk selainnya. Sumpah dengan selain Allah tidak mengikat orang yang bersumpah itu, dan tidak dikenakan apa-apa atas pelanggaran sumpah seperti itu menurut pendapat majoriti ulama’.

Ibn Qudamah menyebutkan, sumpah dengan makhluk adalah tidak sah dan tidak mengikat orang yang bersumpah itu, seperti bersumpah dengan nama Kaabah, para nabi, dan makhluk-makhluk lainnya, dan tidak diwajibkan kaffarah atas pelanggaran sumpah seperti itu. Dan ini adalah pandangan kebanyakan fuqaha. (Lihat al-Mughni, 9/405).

Justeru, sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah melakukan tindakan yang melanggar arahan Nabi SAW. Dia perlu bertaubat kepada Allah Yang Maha Tinggi, menyesali perbuatannya, berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Tidak ada kaffarah yang dikenakan padanya jika dia melanggar sumpahnya, kerana jenis sumpah ini adalah sumpah yang makruh tanzihi dan haram mengikut pendapat kebanyakan para ulama dan tidak boleh disamakan tarafnya dengan hukum bersumpah dengan nama Allah.

Penjelasan lanjut mengenai perkara ini bolehlah merujuk artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #62 Sumpah Selain Nama Allah[2] dan #2853: Melanggar Sumpah yang Dilakukan Selain Nama Allah.[3]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa bersumpah dengan nama Nabi atau nama Rasulullah adalah tidak dibolehkan. Hal ini kerana kita dilarang daripada bersumpah dengan selain nama-nama Allah, sifat-sifat-Nya dan kalam-Nya. Justeru, jika seseorang bersumpah dengan mengucapkan, “Demi Nabi,” atau “Demi Rasulullah,” maka sumpahnya itu tidak sah dan tidak wajib ditunaikan mahupun dikenakan kaffarah kepadanya jika dia tidak melakukannya.

Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah bahawa jumhur ulama seperti Imam Malik, al-Syafi‘i, Abu Hanifah dan Ahmad dalam salah satu pendapatnya berpendapat bahawa tidak boleh bersumpah dengan nama Nabi dan sumpahnya itu adalah tidak sah sebagaimana tidak boleh bersumpah dengan sesuatupun daripada makhluk-makhluk. Begitu juga tidak wajib kaffarah ke atas sesiapa yang bersumpah dengan sesuatu daripada hal itu (selain nama-nama Allah, sifat-sifat-Nya dan kalam-Nya) jika sumpah itu dilanggar/tidak ditunaikan. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 27/349).

Begitu juga Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah turut menyatakan, orang yang mengucapkan “Wa al-Nabi” (“والنَّبِي” — Demi Nabi) dengan niat untuk bersumpah, maka dia telah terjerumus ke dalam perbuatan yang dilarang. Hal ini kerana sumpah hanya dibolehkan dengan nama Allah semata-mata. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.” (Muttafaqun ‘alaih). Sesiapa yang bersumpah dengan selain nama Allah, maka sumpahnya tidak sah dan dia tidak dikenakan kaffarah.[4]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

 

Nota kaki:

[1] Hadith ini dinilai sahih dalam Irwa’ al-Ghalil (8/189).

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/62-sumpah-selain-nama-allah-adakah-termasuk-syirik/. Diakses pada 17 November 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/2853-melanggar-sumpah-yang-dilakukan-selain-nama-allah/. Diakses pada 17 November 2023.

[4] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=2890. Diakses pada 17 November 2023.