#4226: Hikmah Pengharaman Nikah Syighar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bagaimanakah bentuk pernikahan syighar dan apakah hikmah pengharaman nikah tersebut ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.

Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)

Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’. Terdapat juga beberapa jenis pernikahan yang dilarang dalam Islam seperti nikah mut’ah (yang diamalkan pengikut ajaran Syiah), nikah muaqqat (nikah kontrak) dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 41/325)

Menjawab bagi persoalan di atas ialah nikah syighar adalah nikah yang dilarang dan  diharamkan oleh syara’ kerana tidak menepati garis panduan yang telah ditetapkan oleh syara’ disebabkan ia tidak menggunakan mahar dalam pernikahan tersebut atau menjadikan perempuan yang dinikahi tersebut sebagai mahar. Oleh yang demikian, barangsiapa yang menjalankan pernikahan seperti ini adalah tidak sah dan terbatal kerana ia jelas bertentangan dengan syariat islam.

Bentuk pernikah syighar adalah pernikahan di mana seorang ayah menikahkan anak perempuannya dengan seorang lelaki dengan syarat bahawa lelaki  itu menikahkannya juga dengan  anak perempuannya. Boleh dikatakan juga ia seperti pernikahan berbentuk pertukaran tanpa adanya mahar.

Pengharaman nikah syigar boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ شِغَارَ فِي الإِسْلاَمِ

Maksudnya: Tidak ada syighar di dalam Islam.

Riwayat Muslim (1415)

Dalam  riwayat lain  Ibn ‘Umar R.Anhuma berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الشِّغَارِ، وَالشِّغَارُ أَنْ يُزَوِّجَ الرَّجُلُ ابْنَتَهُ عَلَى أَنْ يُزَوِّجَهُ الآخَرُ ابْنَتَهُ، لَيْسَ بَيْنَهُمَا صَدَاقٌ.

Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW melarang nikah syighar. Syighar bermaksud seseorang menikahkan anak perempuannya dengan syarat lelaki yang menikahinya hendaklah menikahkan pula anak perempuannya kepadanya tanpa ada mahar antara keduanya.

Riwayat Bukhari(5112) dan Muslim (1415)

Dapat difahami melalui hadith ini adalah sepertimana berikut:

  • Ia menunjukkan larangan terhadap pernikahan syighar dan larangan membawa kepada kerosakan maka, perkahwinan tersebut adalah tidak sah.
  • Sebab pengharaman nikah tersebut adalah kerana tidak adanya mahar baik mahar yang ditetapkan dan dipersetujui atau mahar misil
  • Wajib menasihati anak perempuan dan tidak dibolehkan untuk menikahkannya dengan seseorang yang tidak sekufu disebabkan tujuan dan kehendak wali.
  • Dibolehkan seorang yang untuk mengawini seorang lelaki dan lelaki tersebut mengahwini anak perempuannya dengan syarat adanya mahar yang tidak sedikit dan hendakalah kedua-duanya sekufu serta redha. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/274)

Ibn Daqiq al-Eid menyatakan bahawa Nikah syighar (شغار) adalah suatu bentuk perkahwinan yang mana seorang lelaki itu mengahwinkan anak perempuannya atau sesiapa yang berada di bawah wilayahnya seperti anak perempuan atau saudara perempuannya kepada lelaki lain dengan syarat lelaki itu turut mengahwinkan anak perempuan atau saudara perempuannya kepada lelaki tersebut. Di antara maksud lain bagi syighar adalah perbuatan anjing yang mengangkat sebelah kakinya untuk kencing. Maka sebahagian ulama berpendapat, beginilah buruknya perbuatan nikah syighar sama seperti buruknya keadaan anjing tersebut.(Lihat Ihkam Al-Ahkam Syarah Umdah Al-Ahkam, 2/559)

Imam Al-Nawawi menyatakan di dalam syarahnya: Nikah Syighar adalah bentuk pernikahan jahiliah. Para ulama telah bersepakat bahawa ia suatu perbuatan yang dilarang. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/544)

Syeikh Soleh Uthaimin dalam isu ini menyatakan bahawa: hikmah pengaharaman nikah syighar adalah kerana Ia merupakan kezaliman terhadap wanita, dan membuka pintu kepada kepentingan diri bagi sesiapa yang dia ingin menikahkannya. (Lihat Fatawa Nur ala Darb, 19/2)

Begitu juga dinyatakan dalam Syarh ‘Umdah al-Fiqh: Antara hikmah pengharaman nikah syighar adalah kerana ia membawa kepada kezaliman terhadap wanita dan tidak ada rundingan dengannya kerana wali hanya melihat maslahat dirinya sahaja. Boleh jadi dia mengahwinkan anak perempuannya dengan seorang yang tidak sekufu atau nikah dengan lelaki tua atau fasik. Pernikahan seperti ini adalah pernikahan yang tidak sah dan wajib untuk dipisahkan antara kedua-duanya serta hendaklah diperbaharui akad tersebut. (Lihat Syarh ‘Umdah al-Fiqh, 42/11)

Justeru kami katakan pernikahan syighar merupakan pernikahan yang telah diharamkan oleh syara’ kerana tidak menepati syarat pernikahan yang sah  yang telah ditetapkan oleh syara’. Pengaharaman ini demi menjaga kemaslahatan dan menolak kezaliman  ke atas wanita. Oleh yang demikian, pernikahan  yang dijalankan seperti nikah syighar adalah tidak sah dan ianya terbatal.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

Wallahua’lam