#4229: Bersumpah dengan Nama Allah dalam Bahasa Melayu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dikira sah sumpah yang dilakukan dengan nama Allah atau sifat-Nya yang telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu? Kemudian, adakah dikenakan kaffarah jika melanggar sumpah tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sumpah dalam bahasa Arab ialah al-Aiman (الأيمان). Ia merupakan jamak dari perkataan al-Yamin (اليمين). Pada dasarnya, ia bermaksud tangan kerana untuk bersumpah, masyarakat Arab biasanya mengangkat tangan kanan mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 7/105).

Manakala dari segi istilah, ia bermaksud menguatkan perkara yang disumpah dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus. Hal ini dilakukan dengan dengan menggunakan salah satu di antara huruf sumpah ba’, waw, atau ta’ (dalam bahasa Arab). Iaitu dengan menyebut billahi, wallahi atau tallahi yang membawa maksud ‘demi Allah’. (Lihat al-Qaul al-Mufid, 2/213; Taudhih al-Ahkam, 7/105).

Sumpah hendaklah hanya dilakukan dengan menggunakan nama Allah SWT atau salah satu sifat-Nya. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ باللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.”

Riwayat al-Bukhari (3836) dan Muslim (1646)

Begitu juga sesiapa yang melanggar sumpah yang disumpahkan atas nama Allah, wajib membayar kaffarah sebagaimana firman Allah SWT:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّـهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Ma’idah: 89)

Syeikh al-Sabuni menyebutkan, wajib dilaksanakan kaffarah sumpah mengikut turutan kemampuan seperti berikut:

  • Membebaskan hamba yang beriman.
  • Memberi makanan yang mengenyangkan kepada 10 orang fakir miskin.
  • Lazimnya makanan asasi yang dimakan oleh keluarga. Boleh juga disediakan wang dengan nilai makanan tersebut.
  • Membekalkan pakaian yang lengkap kepada 10 fakir miskin.
  • Jika tidak dapat menyediakan perkara tadi maka hendaklah berpuasa selama tiga hari. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/263).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa sumpah yang dilakukan menggunakan nama-nama Allah dan sifat-sifat-Nya meskipun ia diucapkan dalam bahasa selain bahasa Arab seperti bahasa Melayu dan seumpamanya, maka sumpahnya tetap berlaku (yakni dikira) dan dia wajib membayar kaffarah jika dia melanggarnya.

Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Hazm yang menyebutkan, sumpah tidak berlaku kecuali dengan nama Allah SWT, sama ada dengan menggunakan salah satu nama-Nya atau dengan salah satu sifat yang Dia telah khabarkan kepada kita, dan yang dimaksudkan adalah Allah SWT dan bukan selain-Nya. Hal ini seperti: ‘مُقَلِّبُ الْقُلُوبِ’ (yang membolak-balikkan hati), ‘وَارِثُ الْأَرْضِ وَمَا عَلَيْهَا’ (pewaris bumi dan seisinya), ‘الَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ’ (yang jiwaku ada di tangan-Nya), ‘رَبُّ الْعَالَمِينَ’ (Tuhan semesta alam) dan yang seumpama dengannya.

Sumpah seperti itu berlaku untuk semua bahasa — yakni dikira sah. Begitu juga seseorang yang bersumpah dengan ilmu Allah, kekuasaan-Nya, kekuatan-Nya atau keagungan-Nya dan semua ungkapan seperti itu. Jika seseorang bersumpah dengan kata-kata ini, maka dia dianggap telah bersumpah. Sekiranya dia melanggarnya, maka dia wajib membayar kaffarah. (Lihat al-Muhalla, 8/30)

Ibn al-Humam al-Hanafi pula menjelaskan, seandainya seseorang berkata dalam bahasa Parsi ‘سوكندمي خورم بخداي’, maka ucapan itu dianggap sumpah kerana maknanya adalah, “Aku bersumpah kepada Allah sekarang.” (Lihat Fath al-Qadir, 5/76).

Tambahan lagi, al-Hattab dalam kalangan ulama mazhab Maliki turut menegaskan bahawa sesiapa yang bersumpah dengan Allah menggunakan apa-apa bahasa, dan kemudian melanggar sumpah tersebut, maka wajib ke atasnya kaffarah. (Lihat Mawahib al-Jalil, 4/399).

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa sumpah yang dilafazkan dengan nama-nama Allah, sifat-sifat-Nya atau kalam-Nya sekalipun ia diucapkan dalam bahasa Melayu, maka sumpah tersebut dikira sah dan tetap berlaku. Sekiranya dia melanggar sumpah yang diucapkannya itu, maka diwajibkan ke atasnya kaffarah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.