Soalan
Adakah benar kenyataan yang menyebut mencium isteri mendapat 10 pahala, dihapus 10 dosa dan diangkat darjatnya 10 tingkat ?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Firman Allah SWT:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
Maksudnya : Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.
(Surah al-Baqarah: 187)
Ibn Kathir menukilkan pandangan Ibn Abbas R.Anhuma, Mujahid, Sa’id bin Jubair, al-Hasan, Qatadah, al-Suddiy dan Muqatil bin Hayyan bahawa maksud yang dikehendaki dari ayat di atas “Mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka”. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/510)
Secara asasnya, Islam amat menitikberatkan hubungan yang penuh kasih sayang antara pasangan suami isteri. Suami wajib memberikan kasih sayang terhadap isterinya selagi mampu.
Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.
(Surah al-Nisa’: 19)
Imam al-Qurthubi menyatakan di dalam tafsirnya: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Dan seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. (Lihat Tafsir Al-Qurthubi, 5/84)
Dalam ayat ini, Allah SWT telah menujukan khitab perintah kepada golongan lelaki agar mereka melakukan mu’asyarah iaitu bergaul dan berurusan dengan orang perempuan melalui cara yang ma’ruf. Justeru, arahan tersebut secara asasnya membawa kepada hukum wajib berbuat ma’ruf kepada orang perempuan dalam urusan kehidupan.
Daripada Abu Juhaifah RA, bahawa Nabi SAW telah bersabda:
إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ
Maksudnya : “Sesungguhnya untuk Tuhan kamu terdapatnya hak, dan untuk badan kamu terdapatnya hak, dan untuk keluarga kamu terdapatnya hak, Maka berikanlah setiap yang hak itu haknya.
Riwayat al-Bukhari )6139)
Begitu juga berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW:
خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي
Maksudnya: Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik (hubungannya) dengan ahli keluarganya, dan aku adalah yang paling baik di antara kamu kepada keluargaku.
Riwayat Ibn Majah (1977)
Hadith di atas merupakan di antara bukti keagungan dan keindahan ajaran Islam yang menganjurkan orang lelaki khususnya para suami untuk berbuat baik kepada ahli keluarga yang meliputi isteri, anak-anak, kaum kerabat, dan selainnya.
Al-Mubarakfuri menyatakan di dalam syarahnya: (Iaitu berbuat baik) kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: (Iaitu) kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10/269)
Berdasarkan persoalan di atas, kami tidak menemui nas atau dalil yang menyatakan bahawa mencium isteri mendapat 10 pahala, dihapus 10 dosa dan diangkat darjatnya 10 tingkat. Namun begitu, kami tidak menafikan dari sudut mafhum kenyataan tersebut, ada antaranya yang boleh diperincikan dengan hadith-hadith yang lain. Sebagai contohnya, Nabi SAW ada menyebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu DZar al-Ghifari RA:
وَبُضْعُ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، قِيلَ: فِي شَهْوَتِهِ صَدَقَةٌ؟ قَالَ: لَوْ وُضِعَ فِي الْحَرَامِ، أَلَيْسَ كَانَ عَلَيْهِ وِزْرٌ؟ ذَلِكَ إِنْ وَضَعَهَا فِي الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ
Maksudnya: Dan kemaluan salah seorang kamu juga ada sedekah. Ditanyakan: Pada syahwat seseorang juga terdapat sedekah ? Baginda menjawab: Kalau diletakkan syahwat pada tempat yang haram (berzina) tidakkah seseorang itu mendapat dosa ? Begitulah juga apabila syahwat diletakkan di tempat yang halal (persetubuhan suami isteri) maka dia mendapat pahala.
Riwayat Al-Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad (227)
Hadith ini boleh juga dikaitkan dengan makna kenyataan dalam persoalan tersebut secara umum. Sekiranya seseorang menyentuh perempuan yang bukan mahram dan tidak halal baginya, maka dia dikira berdosa. Justeru apabila dia menyentuh isteri yang halal baginya maka mudah-mudahan dia diberikan ganjaran pahala.
Manakala berkenaan mencium isteri mendapat 10 ganjaran pahala, kita boleh kaitkan ia dengan keumuman firman Allah SWT:
مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا
Maksudnya: Sesiapa yang membawa satu kebaikan, maka dia mendapat sepuluh ganjaran pahala.
( Surah Al-An’aam: 160)
Maka boleh dikatakan bahawa perbuatan seorang suami mencium isterinya dengan penuh perasaan mawaddah dan rahmah dianggap sebagai suatu kebaikan di sisi Tuhan dan setiap kebaikan itu mendapat 10 ganjaran pahala.
Berkenaan dihapuskan 10 dosa pula, yang lebih tepat adalah seperti yang dinyatakan oleh firman Allah S.W.T:
إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ
Maksudnya: Sesungguhnya kebaikan-kebaikan itu menghilangkan (menghapuskan) kejahatan-kejahatan yang telah dilakukan.
(Surah Hud: 114)
Ayat ini secara umumnya menunjukkan apabila seseorang itu melakukan amal soleh dan kebajikan, dalam masa yang sama amalan tersebut akan memadamkan dosa-dosa kecil yang telah seseorang itu lakukan. Namun tidak ditetapkan kadar bilangan dosa yang terhapus, sebaliknya ia hanya dikhabarkan dalam bentuk yang umum.
Akhir kalam, kami menyatakan bahawa memadailah untuk kita berpegang dengan nas-nas yang sahih daripada syarak yang menjelaskan tentang perintah berbuat baik dengan isteri dan keluarga. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.
Wallahua`lam.