#4230: Talak Sebelum Nikah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah jatuh talak sekiranya ia dilafazkan sebelum akad nikah ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dari sudut bahasa, talak bermaksud lepas dan terlepas. Sementara dari sudut syarak, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz dan seumpamanya. Secara lebih jelas, pengertian talak sepertimana disebut dalam al-Qamus al-Fiqhi boleh difahami seperti berikut:

  • Mengangkat ikatan perkahwinan.
  • Menghilangkan penguasaan terhadap isteri dengan lafaz yang jelas atau kinayah yang zahir atau dengan lafaz yang tertentu disertakan bersama niat. Hal ini sepertimana disebut oleh al-Dusuqi.
  • Mengangkat ikatan perkahwinan pada masa tersebut atau akan datang dengan lafaz yang khusus atau yang mengambil kedudukannya. (Lihat Dur al-Mukhtar,hlm.3/226, al-Mughni, 16/192 dan Mughni al-Muhtaj,3/279) .

Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat pula bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.

Firman Allah SWT:

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ

Maksudnya :” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Sheikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya: “Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)

Talak merupakan jalan terakhir yang digunakan oleh suami dalam penyelesaian masalah sekiranya tidak dapat dielakkan. Namun, sekiranya perkara ini digunakan hanya untuk memuaskan nafsunya, maka talak itu dianggap halal, namun perkara itu amat dibenci oleh Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/120)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa sekiranya seorang lelaki melafazkan talak sebelum berlakunya akad perkahwinan maka lafaz tersebut tidak dikira dan talak tersebut tidak jatuh. Ini kerana talak tidak akan berlaku sebelum perkahwinan. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada ِAbdullah BIn ‘Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا طَلَاقََ إِلَّا بَعْدَ نِكَاحٍ

Maksudnya: Tidak ada talak kecuali selepas nikah

Riwayat Hakim dalam al-Mustadarak (3614)

Al-Syairazi menyatakan dalam kitabnya al-Muhazzab fi Fiqh Imam al-Syafi’i menyatakan bahawa: Adapun talak bagi yang belum berkahwin adalah tidak sah. Jika seseorang itu mengatakan: “Sekiranya aku mengahwini seorang perempuan maka jatuh cerai ke atasnya”, penceraian tersebut adalah tidak sah. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh Imam al-Syafi’i, 3/3 )

Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Kafi fi Fiqh Imam Ahmad (3/109) beliau menyatakan bahawa: Adapun selain pernikahan adalah tidak sah talak. Beliau berdalilkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin ‘Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الطََّلاقُ لِمَنْ أَخَذَ بِالسَّاقِ

Maksudnya: Talak itu hak bagi orang yang memegang betis.

Riwayat Ibn Majah(2081)

Begitu juga beliau berdalilkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا طلاقَ قَبْلَ نِكاحٍ

Maksudnya:  Tidak ada talah sebelum nikah

Riwayat Hakim dalam al-Mustadrak (4/338)

Justeru kami katakan di sini bahawa hak untuk menjatuhkan talak adalah milik lelaki yang telah sah melakukan perkahwinan. Sebarang talak yang dilakukan sebelum berlakunya akad nikah adalah tidak sah dan ianya terbatal, kerana individu yang belum melakukan  ikatan perkahwinan tidak memiliki kuasa untuk menjatuhkan talak.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

Wallahua’lam