#4234: Lafaz Salam Solat dan Caranya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah lafaz salam solat dan caranya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Wa’il bin Hujr R.A, katanya:

صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَكَانَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، وَعَنْ شِمَالِهِ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ

Maksudnya: “Aku solat dibelakang Nabi SAW dan Baginda SAW memberi salam di sebelah kanan dengan “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ” dan disebelah kiri dengan “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ”.”

Riwayat Abu Dawud (997). Sanad hadith ini dinilai sahih pada sanadnya dan perawi-perawinya adalah thiqah oleh Syeikh Syu’aib al-Arnaut

Hukum menambah perkataan “وبركاته” di dalam salam pertama adalah menjadi perselisihan dalam kalangan para ulama kerana kewujudan dalil yang berbeza. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa disunatkan mengucapkan “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ” dan ini adalah yang sahih lagi tepat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/478)

Ibn Qudamah al-Maqdisi pula menyatakan bahawa sunnah diucapkan “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ” dan ini adalah riwayat Ibn Mas’ud, Jabir bin Samurah R.A dan selain daripada mereka berdua. Adapun Wa’il bin Hujr R.A juga ada meriwayatkan bahawa Nabi SAW mengucapkan pada salam yang disebelah kanan (salam pertama) dengan lafaz “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهُ وَبَرَكَاتُهُ” dan sanadnya adalah baik di dalam Sunan Abu Dawud. Akan tetapi, ucapan yang pertama (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ) adalah lebih baik kerana jalurnya (riwayatnya) banyak dan jalurnya lebih sahih (berbanding jalur atau riwayat daripada Wa’il bin Hujr). (Lihat al-Mughni, 1/397)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Solat ditakrifkan oleh ulama’ sebagai perintah: ia terdiri daripada perkataan dan perbuatan yang khusus, bermula dengan takbir dan diakhiri dengan salam. Rasulullah SAW bersabda, “Dan penyelesaian solatnya adalah dengan salam.” [Riwayat Ahmad (1009)]. Lafaz salam: “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ” dua kali, satu kali dari sebelah kanan dan satu kali dari sebelah kiri. Ini adalah salam yang Rasulullah SAW ucapkan dan keluarkan daripadanya selepas solat. Tidak ada pertentangan mengenainya, dan baginda bersabda, “Solatlah sebagaimana kamu melihat aku solat.” [Riwayat al-Bukhari (605)]. Orang yang solat perlu berniat untuk keluar dari solat, dan jika tidak berniat, itu tetap sah, tetapi yang lebih baik melakukan niat. Memulakan salam dengan sebelah kanan adalah sunnah, begitu juga berpaling ketika menyampaikan salam, tetapi ini bukan kewajiban.

Berkenaan tambahaan “وبركاته”, disebut dalam Syarh al-Iqna’, ia adalah boleh dilakukan, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Dawud. Syeikh al-Albani berkata: Kadang-kadang baginda menambah dalam salam pertama: “وبركاته” (Diriwayatkan oleh Abu Dawud dengan sanad yang sahih). Oleh itu, kadang-kadang disyorkan untuk mengamalkan penambahan ini kerana ia tidak terdapat dalam hadith-hadith yang lain, dan ini menunjukkan bahawa Nabi SAW tidak sentiasa melakukannya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/291-292)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa pandangan yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa mengucapkan “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ” adalah lebih baik kerana riwayatnya banyak berbanding riwayat yang terdapat penambahan pada lafaz salam tersebut. Akan tetapi, dibolehkan juga seseorang itu mengucapkan “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهُ وَبَرَكَاتُه” pada salam yang pertama, kerana terdapat riwayat yang juga sahih daripada Nabi SAW dan ini merupakan khilaf yang maqbul (diterima) sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama. Bahkan para ulama’ dalam mengumpulkan riwayat-riwayat ini, menyatakan bahawa Rasulullah SAW juga kadang-kadang baginda menambah dalam salam pertama: “وبركاته”, dan baginda juga tidak menambahnya. Justeru, penambahan lafaz “وبركاته” di dalam salam merupakan penambahan yang warid yang terdapat di dalam hadith Nabi SAW sebagaimana yang kami nyatakan di atas.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.