#4236: Sifat Wali Allah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah wali Allah mempunyai sifat yang tertentu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Setelah ketiadaan rasul dan nabi, manusia yang beriman kepada Allah SWT sentiasa mencari-cari golongan yang boleh memandu mereka kepada Allah SWT. Hakikatnya, Allah SWT sememangnya tidak membiarkan manusia tanpa pembimbing bahkan sentiasa ada dalam kalangan manusia golongan yang hampir rapat hubungannya dengan Allah SWT iaitu para wali-Nya. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ عِبَادًا لَيْسُوا بِأَنْبِيَاءَ يَغْبِطُهُمْ الْأَنْبِيَاءُ وَالشُّهَدَاءُ قِيلَ: مَنْ هُمْ؟ لَعَلَّنَا نُحِبُّهُمْ قَالَ: هُمْ قَوْمٌ تَحَابُّوا بِنُورِ اللَّهِ مِنْ غَيْرِ أَرْحَامٍ وَلَا أَنْسَابُ وُجُوهِهِمْ نُورٌ عَلَى مَنَابِرَ مِنْ نُورٍ، لَا يَخَافُونَ إِذَا خَافَ النَّاسُ، وَلَا يَحْزَنُونَ إِنْ حَزِنَ النَّاسُ ثُمَّ قَرَأَ: (أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ)

Maksudnya: “Sesungguhnya dalam kalangan hamba-hamba Allah SWT, terdapat golongan yang bukan para nabi mahupun syuhada’. Mereka berasa cemburu dengan golongan tersebut. Lalu ditanya oleh para sahabat: Siapakah mereka agar kami juga dapat mencintai mereka? Rasulullah SAW bersabda: “Mereka ialah golongan yang saling menyayangi   walaupun tiada hubungan kekeluargaan atau keturunan kerana petunjuk Allah SWT. Wajah mereka bercahaya di atas mimbar-mimbar daripada cahaya. Mereka tidak berasa takut ketika manusia lain takut dan mereka tidak berasa sedih ketika manusia lain sedih. Kemudian Baginda SAW membaca: (أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ)

Riwayat Ibn Hibban (573)

Wahbah al-Zuhaili berkata: “Awliya’ Allah SWT ialah kekasih-Nya, dan orang-orang yang sentiasa mendekatkan diri kepada-Nya, serta orang-orang yang melaksanakan segala ketaatan kepada-Nya, lalu Allah SWT memuliakan mereka, mereka ialah orang yang beriman dan bertakwa seperti yang dijelaskan dalam firman-Nya:

الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ

Maksudnya: (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa).

(Surah Yunus: 63)

Ibn Kathir mentafsirkan ayat di atas menyatakan, Allah SWT memberitahu bahawa wali Allah mereka ini adalah golongan yang beriman dan bertakwa. Dan bagi setiap orang yang bertakwa termasuk di dalam golongan yang digelar sebagai wali Allah, dan mereka ini tidak akan berdukacita iaitu dengan ganjaran pada hari akhirat dan mereka juga tidak bersedih dengan keadaan di dunia. (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 4/242)

Syeikh al-Maraghi menyebut: Sesungguhnya wali Allah adalah mereka yang melakukan ibadah dengan penuh keikhlasan dan hanya bertawakal kepada Allah SWT. Dan mereka ini tidak menagih kasih sayang selain daripada kasih sayang Allah SWT serta tidak mengharap pertolongan daripada sesuatu melainkan pertolongan Allah SWT. Mereka tidak akan dukacita pada hari akhirat seperti yang dihadapi golongan kuffar, fasiq dan zalim ketika menanti balasan di akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/129)

Justeru, menjawab persoalan di atas kami nyatakan wali Allah ialah orang yang sentiasa mendekatkan diri dengan Allah SWT dan melaksanakan segala perintahNya serta mempunyai sifat-sifat yang tertentu. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”