Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kongsikan, apa hujah logik tentang adanya hari kebangkitan dan pembalasan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Beriman kepada hari kiamat merupakan salah satu daripada rukun iman yang enam. Menurut Imam al-Baijuri, hari kiamat adalah berdasarkan perkataan qiyam yang bermaksud bangun, bangkit dan berdiri. Oleh itu, istilah hari kiamat merujuk kepada hari manusia dibangkitkan daripada kubur mereka, kemudian didirikan di hadapan Tuhan mereka, seterusnya didirikan segala dakwaan-dakwaan dan hujah-hujah ke atas diri mereka. Menurut Sayyid Sabiq pula, hari kiamat adalah hari di mana seluruh alam ini dimusnahkan dan kemudian diciptakan kehidupan akhirat serta dihidupkan seluruh makhluk untuk kali kedua bagi menghadapi perhitungan dan pembalasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan semasa hidup di dunia dahulu.
Dewasa ini, masih terdapat golongan-golongan yang ingkar dan ragu-ragu dengan kewujudan hari kebangkitan dan pembalasan selepas kematian. Justeru didatangkan beberapa hujah logik di sini, yang menunjukkan hakikat kewujudan suatu hari pembalasan ke atas diri manusia yang pasti akan berlaku. Antaranya adalah berdasarkan kepada hukum keadilan Tuhan yang mencipta alam ini kerana manusia yang hidup di muka bumi terdiri daripada mereka yang berakhlak mulia dan tidak kurang juga yang berakhlak keji dengan membuat berbagai kerosakan dan kemusnahan di alam ini. Sekiranya tidak wujud hari pembalasan atau pun hari kiamat sudah tentulah segala tanggungjawab yang dikenakan terhadap diri manusia merupakan suatu tuntutan yang sia-sia. Oleh yang demikian tidak wujud sebarang perbezaan di antara para nabi, para rasul, orang soleh dan golongan yang berbuat kebaikan dengan golongan-golongan yang berbuat kerosakan di muka bumi ini. Di samping itu, ia juga bersandarkan kepada dalil logik akal yang berdasarkan kepada hukum keseimbangan iaitu menghidupkan kembali sesuatu seperti mengadakan sesuatu daripada tiada. Ini adalah kerana wujud salah satu daripada keduanya menunjukan harus wujudnya sesuatu yang lain seumpamanya.
Selain itu, terdapat juga golongan yang mengingkari di mana mereka menyatakan bahawa sukar bagi Allah SWT untuk menghidupkan kembali tubuh manusia yang telah menjadi tulang belulang atau hancur menjadi tanah. Oleh itu, mereka mengingkari kewujudan hari kiamat. Dalam menjawab hal seperti ini, mereka sepatutnya memikirkan terlebih dahulu bagaimanakah mereka dihidupkan. Begitu juga sekiranya mereka melihat kekuasaan Allah SWT mengembalikan kehijauan pohon selepas daun-daunnya luruh, mewarnakan kembali bunga-bungaan dan menumbuhkan kembali tumbuh-rumbuhan yang telah mati kepada keadaan sediakala. Maka sekiranya mereka merenung kembali semua itu, nescaya sudah cukup bagi mereka untuk menyedari dan meyakini akan kekuasaan Allah SWT dalam menghidupkan mereka kembali di hari kiamat.