#4239: Lelaki Berkahwin dengan Perempuan yang Umurnya Lebih Tua Daripadanya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah pandangan Islam berkenaan seorang lelaki yang menikahi seorang perempuan yang lebih tua daripadanya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”

(Surah al-Najm: 45)

Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68).

Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.

(Surah al-Ra‘d: 38)

Oleh yang demikian, seseorang yang melangkahkan kaki dalam alam berumahtangga perlu tahu bahawa Allah SWT tidak mengangkat martabat sesuatu itu melainkan padanya kebaikan serta kelebihan, dan keduanya bergerak seiring dengan tanggungjawab yang wajib digalas oleh setiap pasangan.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa tidak menjadi masalah bagi seseorang lelaki untuk berkahwin dengan wanita yang lebih tua daripadanya. Selama mana mereka saling meredhai dan sekufu, maka dibolehkan dan tidak mengapa seseorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita sekalipun dia lebih tua daripadanya.

Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah bila mana mereka ditanyakan berkenaan adakah dibolehkan seorang pemuda berkahwin dengan perempuan yang umurnya lebih tua tujuh bulan darinya?

Mereka menjawab, diharuskan bagi seorang lelaki dari sudut syariat untuk menikahi perempuan yang usianya lebih tua darinya.[1]

Bahkan dalam kitab-kitab sirah diceritakan bahawa pertama kali Rasulullah SAW berkahwin, Baginda berkahwin dengan Khadijah R.Anha yang lebih tua daripadanya. Di antaranya sebagaimana dinyatakan oleh al-Zahabi dalam kitabnya bahawa beliau berkahwin dengan Nabi SAW ketika Baginda berumur 25 tahun, manakala umur Khadijah pula ketika itu adalah 15 tahun lebih tua daripada Baginda SAW. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/111).

Bahkan Nabi SAW juga berkahwin dengan Saudah binti Zam‘ah R.Anha, seorang wanita yang lebih tua daripadanya. Menurut sebahagian ulama, umur Saudah ketika Nabi SAW mengahwininya ialah 66 tahun, sedangkan umur Nabi SAW sendiri ketika itu lebih muda daripadanya. Ini adalah seperti mana disebutkan oleh Muhammad Abu Zahrah bahawa Nabi SAW berkahwin dengan  Saudah binti Zam‘ah R.Anha setelah wafatnya Khadijah R.Anha sebelum Hijrah, dan umurnya adalah seperti umur Khadijah, lebih kurang 66 tahun. (Lihat Khatam al-Nabiyyin SAW, 3/1097).

Ini menunjukkan bahawa mengahwini wanita yang lebih tua adalah dibenarkan dan telah diamalkan secara langsung oleh Rasulullah SAW. Malah, umur pasangan sama ada lebih tua atau lebih muda tidak termasuk dalam syarat-syarat nikah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Nota kaki:

[1] Lihat https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=1482.