#4244: Usia Manusia Sejak Dari Awal

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah manusia menghuni muka bumi ratusan ribu tahun lalu atau puluhan ribu tahun lalu, atau 7 hingga 8 ribu tahun sahaja?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

هَلْ أَتَىٰ عَلَى ٱلْإِنسَـٰنِ حِينٌۭ مِّنَ ٱلدَّهْرِ لَمْ يَكُن شَيْـًۭٔا مَّذْكُورًا

Maksudnya: Adakah manusia sedar, telah berlalu tempoh yang panjang setelah kewujudan alam, bangsa manusia belum lagi wujud dan namanya tidak dikenali?

(Surah al-Insan: 1)

Dipetik daripada akhbar Berita Harian[1] tentang “Umur Manusia 7000-8000 tahun” oleh Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas secara ilmiah dan berlandaskan pelbagai sumber bagi menjelaskan tafsiran ayat 1 surah al-Insan. Kupasan ini dibuat dalam Syarahan Khas sempena Majlis Pelancaran Buku yang bertajuk On Justice and the Nature of Man. Buku ini adalah karangan beliau sendiri dan dinukilkan dalam laporannya di dalam Berita Harian.

Al-Attas berkata, penentuan usia kemanusiaan penting untuk menjawab kekeliruan dan keraguan yang ditimbulkan dalam tradisi falsafah dan pemikiran Barat khususnya melalui idea evolusi yang bertentangan dengan keyakinan penciptaan manusia melalui Nabi Adam. “Sekolah dan universiti di seluruh dunia mengajar idea manusia melalui tempoh evolusi yang panjang dan sangat kompleks tetapi pintar yang disokong oleh banyak bukti empirikal. Bagi mereka, manusia ialah ciptaan semula jadi dalam bentuk fizikal yang tidak istimewa, sebaliknya produk evolusi yang dikatakan sebagai proses pembangunan biologi dari spesis antropoid yang berubah bentuk dan spesis dari semasa ke semasa yang akhirnya memunculkan homo sapiens (manusia moden), iaitu kita,” katanya pada syarahan selepas majlis pelancaran bukunya yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah itu.

  1. Jerat teori evolusi

Beliau berkata, ramai muslim sama ada generasi tua mahupun muda yang menjadi keliru kerana evolusi itu dikatakan berasaskan bukti empirikal saintifik, manakala umat Islam tidak menemukan pembuktian yang sama. “Sebahagian sarjana dan pengarang sampai ke tahap beranggapan Adam bukanlah nama seorang manusia sebaliknya istilah kemanusiaan secara seluruhnya, sekaligus cocok dengan idea evolusi selama ratusan, bahkan jutaan tahun itu. Justeru, sangat penting untuk menentukan usia kemanusiaan berasaskan pembuktian daripada al-Quran dan hadith serta bukti daripada sejarah dan arkeologi mengenai anggaran bilakah Nabi Adam diturunkan ke dunia,” katanya.

Al-Attas berkata, tempoh itu boleh ditentukan melalui metodologi berasaskan pengetahuan terhadap period raja dan pemerintah dalam kerajaan serta peradaban silam yang sudah direkodkan dalam sejarah. Beliau berkata, pengetahuan terhadap tempoh sejak Nabi Muhammad diutuskan yang kini tahun hijrah ialah 1437H dan kelahiran Nabi Isa sejak 2015 tahun lalu sudah tidak menjadi pertikaian lagi.

  1. Anggaran zaman raja, pemerintah

“Zaman nabi sebelum Nabi Isa A.S pula dapat dianggarkan dengan mengetahui period raja dan pemerintah silam yang sudah banyak diketahui oleh sejarawan dan arkeologi. Ini kerana raja dan pemerintah itu yang dihadapi oleh nabi ketika mereka diutuskan kepada umat manusia, sekali gus dapat mengetahui tempoh zaman berkenaan,” katanya.

Contoh perkiraan yang dibuat al-Attas dapat dilihat melalui penentuan zaman Nabi Yunus yang diutuskan ke Nineveh di Babylon yang dikuasai dan diperintah oleh Assyria khususnya di bawah Sargon II bermula 721 hingga 705 Sebelum Masihi (SM) dan Sennacherib putera kepada Esarhaddon (681-668 SM) dan Esarhaddon putera kepada Ashurbanipal (669-629 SM). Makam Nabi Yunus itu terletak di kawasan perbukitan selatan Nineveh, iaitu kota lama yang berhadapan dengan Mosul, Iraq dan kini dikenali sebagai Tall Nabi Yunus A.S, manakala jarak zaman ketiga-tiga pemerintah itu dengan masa kini dianggarkan kira-kira 2,700 tahun.

  1. Sumber arkeologi, al-Quran

Dalam konteks Nabi Musa A.S pula, al-Attas merujuk kepada penemuan dokumen dan monumen di Jericho, Palestin yang dilakukan oleh ekspedisi arkeologi Universiti Liverpool pada 1931 yang mendapati catatan mengenai bayi Musa diselamatkan oleh Puteri Hatshepsut, iaitu anak kepada Firaun Thutmose I di Sungai Nil pada 1527 SM.

Prof Naquib Al-Attas berkata, dakwaan itu bersamaan dengan wahyu al-Quran mengenai sirah Nabi Musa A.S walaupun kitab suci berkenaan tidak menyebut nama firaun atau puterinya. Penetapan anggaran tempoh zaman itu turut membabitkan Nabi Daud A.S, Nabi Sulaiman A.S, Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Nuh A.S berdasarkan dengan sumber yang dinyatakan seperti yang dijelaskan dengan terperinci dalam buku yang diterbitkan IBFIM dan Akademi Kenegaraan itu.

Kesimpulannya, al-Attas menegaskan tempoh hayat umat manusia secara keseluruhan sejak Nabi Adam hingga masa kini ialah sekitar 7,000 hingga 8,000 tahun. Tempoh itu mungkin dianggap pendek bagi pemikiran moden yang meyakini proses evolusi manusia berlangsung selama jutaan tahun tetapi sejarah peradaban seperti yang dicatat oleh Barat sendiri pun hanya bermula sekitar 6,000 tahun lalu di Mesopotamia seperti Sumeria, Babylon, Assyria dan Mesir. Penetapan anggaran yang disifatkan melebihi kebarangkalian itu dapat digunakan oleh umat Islam sebagai antara hujah berdepan dengan kekeliruan yang ditimbulkan kesan daripada idea evolusi yang menjadi antara tiang seri pada sekularisasi Barat.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa berkenaan isu usia keberadaan manusia di dunia ini bermula nabi Adam sehingga sekarang, kami bertawaqquf dalam perkara ini. Hal ini kerana ia bersifat ghaibi yang tidak diketahui kecuali Allah SWT melainkan ada dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang menjelaskan demikian. Manakala, hadith-hadith atau athar-athar yang menyatakan berkenaan suatu tempoh usia atau umur dunia secara khusus pula adalah hadith yang terdapat pertikaian padanya, bahkan sebahagian ulama menilainya sebagai dha‘if (lemah) ataupun dusta.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Wallahua`lam.

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/12/107926/umur-manusia-7000-8000-tahun (tarikh capaian 28.9.2020/10.38am)