#4245: Nifaq Akbar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan nifaq akbar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَمْ حَسِبَ ٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ أَن لَّن يُخْرِجَ ٱللَّهُ أَضْغَـٰنَهُمْ (٢٩) وَلَوْ نَشَآءُ لَأَرَيْنَـٰكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُم بِسِيمَـٰهُمْ ۚ وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِى لَحْنِ ٱلْقَوْلِ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ أَعْمَـٰلَكُمْ

Maksudnya: “Patutkah orang munafik yang ada penyakit dalam hatinya menyangka bahawa Allah tidak akan mendedahkan hasad dengki mereka terhadap Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya. Dan sekiranya Kami kehendaki, tentulah Kami akan memperlihatkan tembelang mereka kepadamu wahai Muhammad, lalu engkau pasti mengenali mereka melalui tanda-tanda yang menjadi sifat mereka. Dan sesungguhnya engkau akan mengenali mereka daripada gaya dan tutur kata mereka. Dan ingatlah, Allah mengetahui segala perbuatan kamu.”

(Surah Muhammad: 29-30)

Dalam Tafsir al-Bayan (5/332-333), dinyatakan bahawa orang munafik yang digambarkan oleh al-Quran ialah mereka yang menzahirkan keislamannya tetapi batinnya kufur. Ibn Rejab al-Hanbali mengkategorikan nifak seperti ini sebagai Nifak Akbar. Nifak Akbar ialah menzahirkan keimanan kepada Allah SWT, Malaikat-Nya, Rasul-Nya dan hari akhirat. Akan tetapi apa yang ada dalam hati berlawanan dengan lahiriah secara keseluruhan atau sebahagian. Ini adalah nifak yang wujud pada zaman Nabi SAW. Al-Quran turun dalam bentuk mencela golongan ini dan mengkafirkan mereka dan memberitakan bahawa mereka akan ditempatkan di dalam neraka yang paling bawah.

Orang munafik seperti ini mungkin sudah tiada pada zaman ini, sebaliknya yang ada pada zaman ini ialah mereka yang memiliki sifat-sifat orang munafik. Berkaitan dengan sifat-sifat atau ciri-ciri orang munafik ini, ia telah diperincikan dalam Hadith daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا – أَوْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْ أَرْبَعَةٍ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ – حَتَّى يَدَعَهَا: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ

Maksudnya: “Empat sifat yang siapa dapati ada pada dirinya maka orang itu adalah seorang munafik, atau siapa yang di dalam dirinya ada satu daripada empat perkara tersebut, maka orang itu memiliki satu sifat kemunafikan sehinggalah dia meninggalkannya, iaitu: apabila berbicara dia berdusta, apabila berjanji dia mengingkari, apabila membuat perjanjian dia membelakanginya dan apabila berdebat dia berpaling daripada kebenaran.”

Riwayat al-Bukhari (2459)

Hadith di atas membicarakan tentang ciri-ciri orang munafik. Munafik yang dimaksudkan dalam hadith tersebut ialah munafik amali (perbuatan) dan bukan munafik i’tiqadi (akidah).  Ada lima jenis sifat munafik amali iaitu berdusta, tidak menepati janji, khianat, perselisihan yang melampau dan munkir janji.

Hadith ini juga memberi peringatan kepada orang Muslim supaya tidak menyerupai sifat orang munafik dan menjauhi perbuatan yang tercela. Barangsiapa yang membiasakan diri dengan sifat-sifat nifak dan beranggapan sifat tersebut tidak salah hingga ianya menjadi satu perwatakan pada dirinya, maka ia sebenarnya melambangkan fasad (buruknya) akidah.

Dinukilkan bahawa Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut sifat-sifat orang munafik ini terkait dengan tiga perkara iaitu perkataan, perbuatan dan niat. Maka setiap individu Muslim perlu berhati-hati dengan keburukan perkataan iaitu menipu, keburukan perbuatan iaitu iaitu khianat dan keburukan niat iaitu tidak menepati janji.  Justeru, sebagai Muslim sejati, kita hendaklah memastikan diri kita tidak memiliki sifat-sifat orang munafik ini demi untuk mendapat kebahagian hidup yang hakiki.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Wallahua`lam.