#4247: Pertengkaran Ahli Neraka

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah sesama ahli neraka di akhirat kelak, mereka bertengkar di hadapan Allah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قَالَ قَرِينُهُۥ رَبَّنَا مَآ أَطْغَيْتُهُۥ وَلَـٰكِن كَانَ فِى ضَلَـٰلٍۭ بَعِيدٍۢ (٢٧) قَالَ لَا تَخْتَصِمُوا۟ لَدَىَّ وَقَدْ قَدَّمْتُ إِلَيْكُم بِٱلْوَعِيدِ

Maksudnya: Syaitan yang bersamanya pula berkata, “Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi dia sendiri berada dalam kesesatan yang jauh.” Allah berfirman, “Janganlah kamu bertengkar di hadapan-Ku, padahal dahulu Aku telah memberi amaran kepadamu.”

(Surah Qaf: 27-28)

Pertengkaran yang berlaku dalam kalangan manusia tidak pernah berhenti sehinggalah ketika mereka kembali menghadap Allah SWT pada hari akhirat kelak, malah keadaan ini berlanjutan sehinggalah berada di dalam neraka. Mereka berasa tidak berpuas hati terhadap balasan yang diterima dan menyalahkan sesama sendiri sewaktu dihumban ke neraka. Mereka saling melaknat kerana kekufuran, keingkaran dan kesyirikan yang telah mereka lakukan, dengan harapan agar Allah mengampunkan mereka, diselamatkan diri mereka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Di dunia, pertengkaran mereka berkisarkan harta, keluarga, kuasa, kekuatan, kemahsyuran, kepandaian dan seumpamanya. Di dalam neraka kelak, mereka juga terus menerus bertengkar menyalahkan sesama mereka, atau sesama puak mereka kerana menjadi punca terjerumusnya mereka ke lembah neraka yang menghinakan. Pembawakan sikap buruk mereka kekal berterusan dari dunia hingga ke neraka. Hakikatnya semua daripada mereka adalah sama. Mereka alpa, lalai, degil dan ego dengan seruan para nabi di dunia dahulu. Sebaliknya sikap orang beriman, di dunia mereka melakukan kebaikan dan menghindari permusuhan, maka selayaknya mereka menjadi penghuni syurga yang sentiasa berada dalam suasana aman dan harmoni, tiada cacian, pertengkaran dan seumpamanya.

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda:

«كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى»، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَنْ يَأْبَى؟ قَالَ: «مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى»

Maksudnya: “Setiap umatku masuk syurga kecuali orang yang enggan”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang enggan itu?” Nabi menjawab: “Siapa yang mentaatiku akan masuk syurga, dan siapa yang menderhakaiku maka dia enggan memasukinya.”

Riwayat al-Bukhari (7280)

Sebagai kesimpulan terhadap persoalan di atas, di akhirat kelak, syaitan yang pernah menyesatkan manusia akan berlepas diri serta tidak akan bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan oleh manusia di dunia. Oleh itu, janganlah mendekati amalan buruk di dunia ini kerana ia merupakan bisikan syaitan dan akan menjadi sebab terjerumusnya manusia ke neraka.

Keputusan Allah SWT di akhirat kelak adalah muktamad di mana setiap kesalahan akan dikemukakan bukti dan hujah, termasuklah catatan oleh malaikat pencatat di kanan dan kiri manusia. Berwaspadalah dalam setiap perkara yang kita lakukan kerana Allah SWT Maha Melihat segala tindak-tanduk kita.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Wallahua`lam.