#4248: Berfikir Dengan Hati

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah seseorang itu berfikir dengan hati berdasarkan nas al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَذِكْرَىٰ لِمَن كَانَ لَهُۥ قَلْبٌ أَوْ أَلْقَى ٱلسَّمْعَ وَهُوَ شَهِيدٌۭ

Maksudnya: Sesungguhnya pada peristiwa-peristiwa itu pasti terdapat peringatan bagi sesiapa yang mempunyai hati atau menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya.

(Surah Qaf: 37)

Al-Tabari berkata: Allah berfirman bahawa “Dalam pembinasaan kami pada zaman-zaman yang telah kami musnahkan sebelum Quraisy (sebagai peringatan), ia diingatkan (oleh orang yang mempunyai hati) – bermaksud bagi orang yang mempunyai akal daripada kalangan umat ini – untuk menghentikan perbuatan yang mereka lakukan dalam kekufuran terhadap Tuhan mereka, kerana takut akan turunnya azab yang serupa dengan azab yang menimpa mereka sebelum ini. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/462)

Dalam Tasir al-Bayan (5/428) disebut: “Selama ini kita tahu bahawa berfikir ialah dengan menggunakan akal fikiran. Bagaimana pula caranya berfikir menggunakan hati? Yang menariknya ialah penyataan “berfikir dengan hati” terkandung dalam al-Quran. Al-Quran adalah satu-satunya sumber yang menyatakan bahawa berfikir adalah kerja hati. Kemudian perbahasan tentang hati dijelaskan secara terperinci oleh Rasulullah SAW dalam hadith-hadith dan dikupas secara mendalam oleh pakar perubatan yang turut menjalankan pelbagai kajian saintifik bagi meneroka rahsia hati pada zaman ini. Justeru, persoalannya, benarkah berfikir kerja hati?

Terdapat pelbagai ayat al-Quran yang menyatakan bahawa “kerja” memahami, berfikir, membuat analisis dan perbandingan adalah kerja hati atau dalam bahasa arab dinamakan qalb. Ia terletak di sebelah kiri atas tubuh manusia. Antara ayat al-Quran yang membicarakan mengenai hati ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kesalahan tidak ikut berperang itu hanya diletakkan terhadap orang yang meminta izin kepadamu supaya dikecualikan daripada ikut berperang sedang mereka kaya dan mampu. Mereka rela tinggal bersama-sama orang yang tidak dapat ikut berperang; dengan sebab itu Allah telah mengunci mati hati mereka sehingga mereka tidak dapat mengetahui apa yang baik untuk diri mereka.” (Surah al-Taubah: 127), “Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui; sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua anggota itu akan dipersoalkan…” (Surah al-Isra’: 36). Perkara ini juga disebut di dalam Surah al-Zumar ayat 22, Surah al-A‘raf ayat 179 dan Surah al-Kahfi ayat 57.

Berdasarkan ayat-ayat di atas, dapat disimpulkan bahawa hati, pendengaran dan penglihatan merupakan agen utama memahami sesuatu. Pusat utamanya terletak di hati.Sekiranya hati bersih daripada kekufuran, kedegilan dan keegoan maka pendengaran dan penglihatan akan memproses maklumat tersebut dan tubuh akan bertindak melakukannya ke arah kebaikan. Sebaliknya, apabila hati kotor ia akan menyekat dan menghalang segala pancaindera untuk memproses arahan dan akhirnya tiada sebarang perubahan diri yang akan berlaku ke arah kebaikan. Ini kerana hatinya telah dimatikan Allah SWT kerana maksiat yang dilakukan.

Menurut al-Ghazali, pengarang kitab ‘Ajaib al-Qalb (keajaiban hati) menjelaskan secara terperinci mengenai keajaiban hati daripada pelbagai dimensi. Bahkan penemuan terbaharu menunjukkan hubungan rapat antara hati, emosi dan otak dalam membuat keputusan. Penemuan ini tersingkap melalui kajian terhadap perubahan emosi pesakit yang menjalani pemindahan jantung daripada pendermanya. Perubahan emosi ini melibatkan perubahan perasaan, kepercayaan, apa yang disukai dan sebaliknya. Menurut kajian yang dijalankan oleh pakar perubatan, Gary Schwartz dan Russek Linda, menjelaskan bahawa jantung dan otak memainkan peranan dalam menyimpan memori, bahkan peranan jantung lebih penting kerana ia sebagai penggerak dan pencetus bagi setiap keputusan yang dibuat.[1]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua`lam.

 

Nota kaki:

[1] Lihat Majalah Pendidik, Disember 2017, Berfikirlah dengan Hati, bil. 60-61.