#4249: Ayat Maqru’ah dan Ayat Manzurah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami berkenaan yang terdapat dalam tafsir yang menyatakan berkenaan ayat maqru’ah dan manzurah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ عَلَيْهِمُ ٱلْقُرْءَانُ لَا يَسْجُدُونَ ۩

Maksudnya: “Mengapa apabila dibacakan al-Quran kepada mereka, mereka tidak sujud?”

(Surah al-Insyiqaq: 21)

Al-Quran al-Karim merupakan ayat Maqru’ah iaitu ayat yang dibaca di atas lembaran kertas, lalu merenungi kekuasaan Allah SWT dengan mentadabbur ayat-ayat dan memperhatikan makna-maknanya. Manakala alam yang terbentang luas ini pula merupakan ayat Manzurah iaitu tanda-tanda kebesaran Allah SWT yang dapat dihayati dan diperhatikan dengan pancaindera sama ada sesuatu yang jauh seperti matahari, bulan, planet, komet dan sebagainya yang mengisi sistem cakerawala. Ataupun sesuatu yang dekat dengan manusia seperti flora dan fauna serta hidupan udara, daratan dan laut.

Ayat Manzurah yang paling dekat dengan manusia ialah dirinya sendiri di mana penciptaannya sangat menakjubkan dan luar biasa. Terdapat ribuan saluran darah dan saraf yang memainkan peranan masing-masing tanpa ada satu pun yang gagal. Bahkan organ tubuh yang lain seperti jantung, hati, paru-paru, perut, usus, otak dan sebagainya mula berperanan sejak manusia masih bayi lagi. Semuanya menjalankan tugas yang telah diprogramkan tanpa bertukar peranan atau fungsi.

Justeru itu, Allah SWT menegaskan supaya manusia melihat kepada dirinya sendiri bagi memahami betapa agungnya Allah SWT. Selain itu, dijadikan pelbagai makhluk yang sangat kecil namun boleh memberikan impak yang besar kepada manusia seperti virus dan bakteria. Sekalipun kecil, tetapi boleh menyebabkan kerosakan kepada manusia secara skala besar seperti COVID19, taun, denggi, AIDS, Siplis dan sebagainya.

Kepelbagaian ayat Manzurah ini bukan hanya supaya manusia menyedari tentang kehebatan dan keagungan Allah SWT dalam mencipta dan menguruskan peraturan alam ini, bahkan supaya manusia memanfaatkannya dalam mengurus hidup mereka kerana ada ayat Manzurah tertentu yang perlu dikenali untuk dihindari seperti penyakit-penyakit, binatang berbisa dan pokok beracun. Ada pula yang perlu didekati dan dimanfaatkan seperti sumber makanan yang halal dan bersih, binatang ternakan, khazanah alam untuk pembangunan dan sebagainya.

Pendek kata, jika tadabbur dan keinsafan sangat perlu ketika membaca dan meneliti ayat Maqru’ah yakni al-Quran, demikian juga ketika membaca ayat Manzurah. Ini kerana kedua-duanya akan membuatkan manusia mengenali Penciptanya seterusnya meningkatkan keimanan kepada-Nya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/409-410)

Kesimpulan

Sifat sombong dan keras hati menyebabkan al-Quran yang dibacakan kepada mereka tidak memberikan kesan bahkan mereka terus mengingkarinya. Lantaran itu, kita hendaklah menjauhkan diri daripada sifat sombong dengan sentiasa memerhatikan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT, supaya dapat menyedarkan kita bahawa kita hanyalah hamba-Nya yang kerdil dan tidak langsung mempunyai sebarang kuasa mahupun upaya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Wallahua`lam.