Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara untuk kita menangkis daripada terjebak kepada keraguan yang terkait dengan undang-undang Allah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِمْ حَرَجًۭا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًۭا
Maksudnya: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”
(Surah al-Nisa’: 65)
Menjawab persoalan di atas, undang-undang Islam adalah undang-undang yang diredhai oleh Allah SWT. Maka sudah pasti ianya mempunyai keistimewaan dan hikmah tersendiri yang tidak dapat ditandingi dengan undang-undang manusia. Ciri keistimewaannya yang utama ialah kesempurnaan dan syumul. Perundangan Islam bertujuan memelihara lima perkara utama yang menjadi keperluan manusia iaitu agama, nyawa, akal, kehormatan dan harta. Hidup manusia akan sempurna jika dapat memelihara kelima-lima perkara ini.
Islam ialah agama yang sesuai dengan setiap zaman dan merangkumi kehidupan dunia dan akhirat. Orang yang memeluk Islam sudah mengetahui dan meyakini hakikat dan kualiti Islam. Justeru hukuman yang dikenakan kepada orang Islam adalah bertujuan memeliharanya daripada berterusan tenggelam dalam kesesatan. Oleh yang demikian, hukuman bunuh yang dikenakan ke atas orang murtad adalah praktikal dan perlu dilaksanakan agar kesucian Islam tidak ternoda. Ini kerana, orang yang murtad itu dianggap sebagai pengkhianat Islam dan dia telah turun ke martabat yang paling rendah.
Namun pada hari ini terdapat pula golongan tertentu yang cuba mempertikaikan hukuman bunuh terhadap orang murtad, contohnya dengan mendakwa ianya bercanggah dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 256 iaitu maksudnya: “Tiada paksaan dalam agama.” Sebenarnya hukuman bunuh ke atas orang murtad tidak bercanggah dengan firman Allah SWT tersebut. Maksud ayat itu adalah tidak boleh memaksa orang bukan Islam memeluk Islam kerana Islam menginginkan agar seseorang itu menganut agama Islam dalam keadaan ikhlas dan redha. Namun, sesiapa yang telah menerima Islam sebagai agamanya, tidak wajar menodai kesucian Islam dengan menzahirkan untuk meninggalkan agama Islam sewenang-wenangnya.
Demikian juga, jika dilihat kes zina dan pembuangan bayi yang berlaku dalam kalangan remaja pada hari ini makin meningkat dan berleluasa. Maka bagi tujuan menjaga institusi kekeluargaan daripada tercemar serta menjaga kehormatan seseorang dalam masyarakat, hukuman hudud yang dikenakan kepada penzina merupakan benteng yang kukuh dalam memelihara keturunan manusia. Ini kerana, kesan negatifnya hasil daripada perzinaan akan lahirlah anak-anak terbiar yang akan menghancurkan institusi masyarakat.
Oleh yang demikian, manusia perlu yakin dengan keistimewaan undang-undang ciptaan Allah SWT satu-satunya undang-undang yang mencakupi kesempurnaan dan kesyumulan demi menjaga kemaslahatan, kesejahteraan dan keselamatan umat manusia keseluruhannya di atas muka bumi ini. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/557-558)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”
Wallahua`lam.