Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, adakah jin ini seperti manusia yang ditaklifkan daripada Allah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya: Dan tidaklah aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku.
(Surah al-Zariyat: 56)
Menjawab persoalan di atas, secara asasnya, kita perlu mengakui akan kewujudan jin di dalam alam ini. Demikian juga, kita mengakui bahawa golongan jin ini mempunyai jisim serta boleh berubah bentuk kepada pelbagai jenis bentuk. Ibn ‘Abd al-Bar menyebutkan: Golongan jin di sisi para ulama adalah kumpulan mukalaf yang turut termasuk dalam khitab (syarak). Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maksudnya: “Justeru, nikmat Tuhanmu yang manakah engkau ingin nafikan lagi?”
(Surah al-Rahman: 47)
Al-Razi dalam tafsiran beliau terhadap ayat di atas berkata: “Para ulama telah bersepakat bahawa golongan jin kesemuanya adalah mukallaf.” Selain itu, al-Qadhi Abu al-Hasan ‘Abd al-Jabbar mengatakan: “Kami tidak mengetahui adanya khilaf dalam kalangan ulama tentang hal tersebut (iaitu jin termasuk dalam kalangan mukalaf). Tambahan lagi, terdapat banyak ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan akan perkara itu, antaranya firman Allah SWT:
قُلْ أُوحِىَ إِلَىَّ أَنَّهُ ٱسْتَمَعَ نَفَرٌۭ مِّنَ ٱلْجِنِّ فَقَالُوٓا۟ إِنَّا سَمِعْنَا قُرْءَانًا عَجَبًۭا (١) يَهْدِىٓ إِلَى ٱلرُّشْدِ فَـَٔامَنَّا بِهِۦ ۖ وَلَن نُّشْرِكَ بِرَبِّنَآ أَحَدًۭا
Maksudnya: “Katakanlah wahai Muhammad, “Telah diwahyukan kepadaku bahawasanya sekelompok dalam kalangan jin telah mendengar bacaan al-Quran, lalu mereka berkata, “Sesungguhnya kami telah mendengar bacaan al-Quran yang sungguh menakjubkan.” Ia memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami terus beriman dengannya, dan kami sama sekali tidak lagi akan mensyirikkan Tuhan kami dengan apa-apa yang lain.
(Surah al-Jin: 1-2)
Badr al-Din al-Syibli menyebutkan bahawa ayat di atas adalah antara beberapa ayat yang menunjukkan kepada pentaklifan mereka (golongan jin) dan mereka itu juga termasuk dalam golongan yang diperintahkan untuk mengikuti suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. (Lihat Akam al-Marjan fi Ahkam al-Jan, hlm. 62)
Kesimpulan
Matlamat penciptaan manusia dan jin adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan beriman kepada-Nya dan mengikuti risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Oleh itu, seorang pendakwah hendaklah memastikan agar matlamat utama tersebut berjaya disampaikan kepada sasaran dakwahnya. Orang beriman hendaklah sentiasa saling nasihat-menasihati dan ingat-memperingati antara satu sama lain, supaya tidak tergelincir daripada landasan agama Allah SWT sehingga menatijahkan kesudahan yang buruk di hari akhirat kelak.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”
Wallahua`lam.