Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seseorang itu menuduh seseorang itu menuduh orang lain tanpa bukti yang kukuh?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَٱلَّذِينَ يَرْمُونَ ٱلْمُحْصَنَـٰتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا۟ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَآءَ فَٱجْلِدُوهُمْ ثَمَـٰنِينَ جَلْدَةًۭ وَلَا تَقْبَلُوا۟ لَهُمْ شَهَـٰدَةً أَبَدًۭا ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ (٤) إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُوا۟ مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ
Maksudnya: Orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan yang baik lagi terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan; dan janganlah kamu menerima kesaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka ialah orang yang fasiq. Kecuali mereka yang bertaubat selepas itu dan memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih.
(Surah al-Nur: 4-5)
Islam melarang umatnya daripada menuduh orang lain tanpa bukti yang kukuh. Hal ini jelas disebut oleh Rasulullah SAW dalam sabda Baginda daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:
لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ، لَادَّعَى نَاسٌ دِمَاءَ رِجَالٍ وَأَمْوَالَهُمْ، وَلَكِنَّ الْيَمِينَ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ
Maksudnya: “Jika diberikan kepada manusia semua dakwaan mereka, nescaya akan ada kumpulan manusia yang mendakwa darah sesuatu kaum dan harta mereka sebagai hak mereka. Tetapi orang yang didakwa perlu bersumpah (menafikan dakwaan).”
Riwayat al-Bukhari (4552) dan Muslim (1711)
Namun suasana harmoni di negara ini telah dicemarkan dengan budaya tuduh menuduh, bahkan sebahagiannya melibatkan tuduhan besar yang boleh menjatuhkan kehormatan diri seseorang insan. Keadaan ini dirancakkan lagi dengan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi yang memungkinkan maklumat tersebar luas dengan cepat sekali. Bahkan ia diburukkan lagi dengan budaya politik kotor dan tidak matang yang diamalkan oleh sesetengah pihak untuk menjatuhkan pihak lawan.
Antara isu besar yang menjadi tontonan umum dalam kalangan rakyat di Malaysia ialah isu tuduhan liwat dan zina terhadap beberapa orang ahli politik tempatan. Bahkan lebih besar daripada itu, rakyat negara ini satu ketika dulu pernah dikejutkan dengan tuduhan membunuh terhadap ahli politik berprofil tinggi. Sebenarnya perbuatan menuduh secara umumnya bukanlah satu kesalahan yang dianggap jenayah. Namun, tuduhan tanpa bukti yang kukuh boleh menjadi jenayah, bahkah mengeruhkan suasana dan merosakkan hubungan baik dalam masyarakat. Lebih-lebih lagi apabila ditularkan di media massa dan media sosial, sehingga memalukan pihak yang dituduh dan menjatuhkan maruahnya, walaupun belum disabitkan lagi dengan tuduhan tersebut di mahkamah.
Dengan penularan tersebut, seakan-akan dia telah dihukum di mahkamah media dan kesan hukuman telah diterima oleh pihak yang dituduh walaupun hukuman belum dijatuhkan lagi oleh mahkamah sebenar. Oleh itu, adalah amat tidak wajar untuk melemparkan atau mengelar seseorang dengan pelbagai jenis gelaran jenayah selagi seseorang itu belum dibuktikan bersalah oleh pihak mahkamah di akhir proses perbicaraan.
Tidak dinafikan bahawa pembunuhan karakter mungkin antara tujuan utama perbuatan tuduh menuduh ini dilakukan oleh sesetengah pihak. Mereka sanggup melakukan pembunuhan maknawi seumpama ini untuk mendapatkan kuasa politik dan mungkin juga harta kekayaan. Sungguhpun begitu, mungkin ada faktor-faktor lain yang menyebabkan budaya tuduh menuduh ini berlaku dalam masyarakat seperti dengki mendengki dan sebagainya. Namun, apapun sebab atau niat seseorang melakukan perbuatan ini, ia adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang senantiasa menjaga kepentingan manusia, sama ada pihak yang dituduh, bahkan juga pihak yang menuduh.
Sekiranya dilihat kepada tuduhan melakukan zina atau liwat di negara ini, amaran Allah SWT dan Rasulullah SAW seolah-olah dipandang enteng dan remeh pada hari ini. Hal ini boleh dikatanya demikian kerana sudah ramai yang secara terang-terangan menganjurkan program berunsur qazaf yang berpotensi untuk menjerumuskan ramai umat Islam secara tidak sedar untuk boleh melakukan kesalahan qazaf.
Umat Islam di Malaysia perlu berhati-hati dalam berdepan dengan isu seumpama ini. Allah SWT berfirman:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلْفَـٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌۭ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).”
(Surah al-Nur: 19)
Justeru, untuk mengelakkan diri daripada terkena azab Allah SWT di dunia dan di akhirat, umat Islam tidak perlu masuk campur menyebarkan tuduhan-tuduhan, apatah lagi menghebahkannya di media-media sosial, terutamanya yang melibatkan kehormatan diri seseorang, yang secara umumnya jijik didengar. Biarlah pihak berwajib menyelesaikan masalah ini dengan mengikut saluran yang sebenar. Tuduhan tersebut boleh jadi benar dan boleh jadi sebaliknya. Bahkan kalau benar sekalipun tuduhan sedemikian, adalah tidak wajar perkara seumpama itu digembar gemburkan sehingga memalukan pelaku dan ahli keluarganya.
Dari aspek yang lain, peruntukan undang-undang Syariah di Malaysia menimbulkan beberapa persoalan dan seterusnya menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. Peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri hanya menyebut kesalahan Qazaf sebagai tuduhan zina dan tidak menyatakan secara jelas kedudukan tuduhan liwat. Sungguhpun ada jalan untuk memasukkan tuduhan liwat sebagai kesalahan Qazaf seperti pendapat jumhur ulama, pindaan undang-undang yang menambah baik peruntukan di dalam enakmen sedia ada perlu dilaksanakan. Ini akan membuka ruang yang lebih luas ke arah penambahbaikan keseluruhan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang dilihat masih mempunyai pelbagai kelemahan dan kekurangan.
Sekiranya ini dapat dilaksanakan, penyebaran tuduhan-tuduhan liar yang menyentuh kehormatan diri seseorang, sama ada zina, liwat dan sebagainya, mungkin boleh berkurang. Bahkan tekanan yang dihadapi oleh pihak yang tertuduh dan ahli keluarga mereka juga mungkin boleh berkurang juga.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahua`lam.