#4256: Mengikut Golongan Bukan Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah kita tidak dibenarkan secara langsung untuk mengikut golongan bukan islam secara keseluruhannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَا تُطِعِ ٱلْكَـٰفِرِينَ وَٱلْمُنَـٰفِقِينَ وَدَعْ أَذَىٰهُمْ وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِيلًۭا

Maksudnya: Dan janganlah kamu turuti kehendak orang kafir dan orang munafik, serta janganlah kamu hiraukan gangguan mereka. Bertawakallah kepada Allah dan cukuplah Allah sebagai Pelindungmu.

(Surah al-Ahzab: 48)

Merujuk kepada ayat ke- 48 surah al-Ahzab, Allah SWT melarang Rasulullah SAW daripada mentaati atau patuh kepada golongan kafir. Timbul persoalan, adakah umat Islam langsung tidak dibenarkan mengikut golongan kafir secara total atau hanya dilarang dalam perkara tertentu sahaja?

Pergaulan orang Islam bersama orang bukan Islam bukanlah perkara yang baharu, malah ia telah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW dalam pelbagai urusan seperti muamalat, perjanjian, perdamaian, dan sebagainya. Maka, menjadi keperluan kepada kita untuk melihat kepada konsep fiqh ta‘ayusy (kewujudan bersama) bagi melihat lebih lanjut hukum hakam syarak berkaitan tatacara kehidupan bersama antara golongan Islam dan golongan bukan Islam.

Namun, persoalan mulai timbul dalam hal perbincangan ataupun perkara-perkara yang memerlukan idea dan pendapat seterusnya dalam konteks zaman kini, banyak perkara yang dibincangkan yang melibatkan di antara orang Islam dan bukan Islam, justeru persoalannya ialah apakah hukum bagi orang Islam menerima pendapat ataupun pandangan daripada orang bukan Islam serta bolehkah mereka mengikuti pendapat yang dikemukakan tersebut.

Merujuk kepada sirah Rasulullah SAW, tatkala Baginda ingin berhijrah ke Madinah, Baginda SAW menggunakan khidmat seorang musyrikin Makkah untuk menjadi penunjuk jalan yang bernama Abdullah bin Uraiqit. Beliau diupah kerana kemahiran serta pengetahuannya terhadap jalan dan juga selok-belok di padang pasir. Beliau ketika itu masih lagi beragama Quraisy namun Baginda SAW mempercayainya.

Berdasarkan kisah ini, dapat difahami bahawa perbuatan Nabi Muhammad SAW mengupah Abdullah bin Uraiqit sebagai penunjuk jalan dan juga memberi pendapat kepada Baginda SAW memberi makna bahawa boleh hukumnya seseorang Muslim itu menerima pendapat dan juga pandangan daripada orang bukan Islam. Namun, melalui kisah ini kita mendapati bahawa terdapat beberapa dawabit (kriteria) dalam menerima pendapat orang kafir, iaitu:

Rasulullah SAW menggunakan khidmat Abdullah bin Uraiqit kerana Baginda mempercayainya serta meyakini kemahirannya berkenaan selok belok laluan di padang pasir.

Baginda juga meminta Abdullah bin Uraiqit memberi petunjuk dalam hal keduniaan dan bukannya dalam hal yang melibatkan akidah mahupun syariah.

Oleh itu, jelas di sini bahawa larangan mentaati orang kafir dan munafik dalam ayat ke-48 ini merujuk kepada ajakan dan usaha mereka untuk memalingkan umat Islam dari agama Allah. Manakala dalam urusan keduniaan, adalah diharuskan bagi orang Islam untuk menerima pandangan, idea, buah fikiran ataupun pendapat daripada orang bukan Islam selama ia tidak berkait dengan isu agama serta tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Wallahua`lam.