#4259: Nabi Dalam Kalangan Wanita?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah wujud wanita yang dilantik menjadi nabi oleh Allah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ayat ketujuh daripada Surah al-Anbiya’ ini secara jelas menyebutkan bahawa Allah telah mengutuskan para nabi dan rasul itu dalam kalangan lelaki. Malah terdapat ayat yang lain juga menjelaskan perihal yang sama iaitu nabi itu diutuskan dalam kalangan lelaki. Sebagai contoh Allah berfirman:

وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًۭا نُّوحِىٓ إِلَيْهِم مِّنْ أَهْلِ ٱلْقُرَىٰٓ ۗ

Maksudnya: “Kami tidak utuskan rasul-rasul sebelum kamu wahai Muhammad melainkan mereka ialah kaum lelaki daripada penduduk bandar…”

 (Surah Yusuf: 109)

Kenyataan al-Quran ini secara umumnya menjelaskan bahawa para nabi dan rasul itu adalah terdiri daripada kaum lelaki. Ayat ini telah menegaskan bahawa Allah SWT tidak mengutuskan nabi dalam kalangan wanita dan juga jin. Walaubagaimanapun, ada beberapa ulama’ yang berpegang bahawa adanya nabi dalam kalangan wanita. Antaranya adalah Imam al-Qurtubi, Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Ibn Hazm. (Lihat Lawami’ al-Anwar al-Bahiyyah, 2/226). Antara wanita yang dianggap sebagai nabi adalah Maryam, Hawa, Asiah, ibu Nabi Musa, Sarah dan Hajar.

Menurut John DelHousaye, Bible ada menyebutkan beberapa bukti tentang adanya Nabi wanita. Dalam Perjanjian lama, ada disebutkan nama Maryam (Exodus 15:20), Deborah (Judges 4:4), Huldah (2 Kings 22: 14; Chronicles 34: 22), Noadiah (Nehemiah 6: 14) dan istilah “beberapa nabi wanita” (Isaiah: 8: 3). Manakala dalam Perjanjian Baru ada disebutkan tentang seorang wanita bernama Anna yang digambarkan oleh Lukas sebagai nabi wanita.[1]

Dalam agama Yahudi pula terdapat 7 orang nabi wanita sebagaimana yang dinyatakan oleh  Rabbi Shlomo Yitzchaki dan juga direkodkan dalam Talmud iaitu Sarah, Maryam, Devorah, Hannah (ibu Nabi Samuel), Avigail (isteri Nabi Daud), Huldah dan Esther. Hal ini juga dihuraikan dengan mendalam di dalam buku Kabbalistic Teachings of the Female Prophets: The Seven Holy Women of Ancient Israel oleh J. Zohara Meyerhoff Hieronimus.

Al-Qurtubi ketika mengulas Surah Yusuf ayat 109: “Ini adalah kritikan kepada mereka yang berpendapat ‘Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? ” (Surah al-An’am: 8) iaitu diutuskan kepada kami dalam kalangan lelaki, tidak ada pada mereka wanita dan juga jin, begitu juga malaikat. Ini bertentangan dengan apa yang diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya pada wanita ada empat Nabi iaitu Hawa, Asiah, ibu Nabi Musa dan Maryam.’ (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 9/179)

Tentang penetapan kenabian Maryam: ‘Manusia berbeza pandangan tentang kenabian Maryam. Dikatakan: (i) ‘Kenabiannya adalah kerana malaikat diutuskan kepadanya dan berkomunikasi dengan malaikat. Dikatakan: (ii) Beliau bukan nabi kerana beliau berkomunikasi dengannya sebagaimana manusia, beliau melihat fizikal malaikat sebagai diperlihatkan Jibril dalam sifat fizikal Dihyah (al-Kalbi); ketikamana disoal Nabi SAW tentang iman dan juga Islam. Pandangan (i) adalah yang lebih kuat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 11/62)

Berkenaan hadith yang dibawakan oleh Imam al-Qurtubi iaitu:

إِنَّ فِي النِّسَاءِ أَرْبَعُ نَبِيَّاتٍ حَوَّاءُ وَآسِيَةُ وَأُمُّ مُوسَى وَمَرْيَمُ

Maksudnya: “Sesungguhnya pada wanita ada empat Nabi iaitu Hawa, Asiah, ibu Nabi Musa dan Maryam.”

Kami tidak menjumpai teks hadith ini dalam mana-mana kitab hadith.

Ibn Hazm menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui adanya isu berkenaan hal ini kecuali ketika beliau di Cordoba. Beliau membawakan tiga pandangan ulama’ dalam isu ini:

  • Menolak adanya nabi wanita.
  • Menerima adanya nabi wanita.
  • Tidak memberi apa-apa pandangan sehingga datangnya dalil (tawaqquf)

Ibn Hazm menegaskan bahawa kisah Maryam dan ibu Nabi Musa adalah bukti yang jelas tentang kenabian wanita. (Lihat al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa al-Nihal, 5/12).

Kisah Maryam tersebut adalah peristiwa Jibril datang kepadanya. Bagi beliau, antara ciri kenabian adalah didatangi malaikat. Manakala kisah ibu Nabi Musa pula adalah tentang ilham yang Allah SWT berikan terus kepada beliau untuk menghanyutkan Nabi Musa di Sungai Nil. Pandangan Ibn Hazm berkenaan kenabian Maryam ini juga dinukilkan oleh Imam al-‘Aini. Walaubagaimanapun, bagi beliau Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari bersama-sama dengan ulama’ lain dalam kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dalam isu ini iaitu Nabi hanya dalam kalangan lelaki. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 4/194).

Namun terdapat juga pandangan daripada sarjana Muslim yang lain yang menyuarakan pendapat bahawa terdapat nabi yang dilantik dalam kalangan wanita. Sebagai contoh Abu Hasan al-Asy‘ari, al-Qurtubi dan Ibn Hazm berpandangan bahawa terdapat Nabi dalam kalangan wanita. Ibn Hazm sebagai contoh berhujah dengan pertemuan malaikat dengan Maryam A.S sebagai hujah yang menunjukkan kenabian Maryam A.S. Pada pandangan beliau, pertemuan seseorang dengan malaikat adalah bukti ketinggian status seseorang tersebut sehingga melayakkan beliau dianggap sebagai nabi.

Pada hakikatnya pertemuan malaikat dengan seorang manusia tidak menjadikan seseorang tersebut sebagai seorang nabi. Ini kerana, dalam hadis terdapat beberapa insiden yang menunjukkan pertemuan malaikat dengan seorang manusia, namun dia tidak dianggap nabi. Hadis daripada Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah:

أَنَّ رَجُلًا زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى، فَأَرْصَدَ اللهُ لَهُ، عَلَى مَدْرَجَتِهِ، مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ، قَالَ: أَيْنَ تُرِيدُ؟ قَالَ: أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ، قَالَ: هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا؟ قَالَ: لَا، غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، قَالَ: فَإِنِّي رَسُولُ اللهِ إِلَيْكَ، بِأَنَّ اللهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ

Maksudnya: “Pada suatu ketika ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di desa lain. Kemudian Allah pun mengutus malaikat untuk menemui orang tersebut. Ketika orang itu di tengah perjalanannya ke desa yang dituju, maka malaikat tersebut bertanya: ‘Kamu hendak pergi ke mana?’ Orang itu menjawab; ‘Saya akan menjenguk saudara saya yang berada di desa lain.’ Malaikat itu terus bertanya kepadanya: ‘Adakah kamu mempunyai satu perkara yang menguntungkan dirimu dengannya?’ Lelaki itu menjawab: ‘Tidak, saya hanya mencintainya kerana Allah.’ Akhirnya malaikat itu berkata: ‘Sesungguhnya aku ini adalah malaikat utusan yang diutus untuk memberitahukan kepadamu bahawasanya Allah akan senantiasa mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana Allah.’”

Riwayat Muslim (2567)

Dengan itu, Ibn Hajar dan al-Imam Nawawi pernah menjelaskan bahawa pandangan jumhur menyatakan bahawa para nabi itu adalah terdiri dalam kalangan lelaki dan bukan dalam kalangan wanita. (Lihat Fath al-Bari, 6/447; al-Azkar, 119)

Selain itu, apa yang terjadi kepada ibu Nabi Musa seperti dalam ayat:

وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ

Maksudnya: “Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:” Susukanlah dia;…”

Bukanlah bermaksud wahyu yang diturunkan kepada Nabi tetapi ilham yang dinamakan ilham fitri. Al-Qur’an juga merekodkan lebah yang menerima “wahyu” yang diistilahkan sebagai ilham gharizi. Firman Allah SWT:

وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُون

Maksudnya: “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.”

(Surah al-Nahl: 68)

Maka, adalah tidak tepat untuk kita katakan lebah turut menerima wahyu dalam ertikata, menjadi Nabi.

Kesimpulan

Kesimpulannya, jumhur ulama’ menjelaskan bahawa Nabi hanya dalam kalangan lelaki sahaja. Allah SWT juga menegaskan:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلاَّ رِجَالاً

Maksudnya: “Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka.”

(Surah al-Nahl: 43)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua`lam.

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.cbeinternational.org/resources/article/mutuality/q-who-are-women-prophets-bible