#4260: Peranan Ulama’ Dalam Mencegah Kemungkaran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah peranan ulama’ dan pemimpin dalam mencegah kemungkaran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَوْلَا يَنْهَىٰهُمُ ٱلرَّبَّـٰنِيُّونَ وَٱلْأَحْبَارُ عَن قَوْلِهِمُ ٱلْإِثْمَ وَأَكْلِهِمُ ٱلسُّحْتَ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا۟ يَصْنَعُونَ

Maksudnya: “Tidakkah para ulama dan pendeta mereka melarang daripada mengeluarkan perkataan-perkataan yang berdosa dan memakan harta haram. Sesungguhnya amatlah keji perbuatan-perbuatan yang telah mereka lakukan.”

(Surah al-Maidah: 63)

Di dalam ayat (يَنْهَىٰهُمُ ٱلرَّبَّـٰنِيُّونَ), Allah SWT memberi petunjuk kepada para ulama agar tidak lalai dan cuai dalam melaksanakan kewajipan mereka menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Allah SWT telah mencela para ulama Yahudi yang membiarkan kemungkaran berleluasa. Ayat tersebut juga menjadi dalil kepada hukum meninggalkan tanggungjawab mencegah kemungkaran di mana hukumnya sama dengan melakukan kemungkaran  tersebut.

Berdasarkan ayat ini, jelas kepada kita bahawa para ulama dan umara memainkan peranan yang penting dalam mencegah kemungkaran yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Ini kerana mereka mempunyai pengaruh yang besar serta pengikut yang ramai. Sekiranya mereka ini meninggalkan perbuatan mencegah kemungkaran, maka perbuatan ini adalah suatu yang keji serta melayakkan mereka mendapat kemurkaan Allah SWT atas sikap tersebut.

Para pemimpin dapat mengubah dan mencegah kemugkaran dengan kuasa yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka. Mereka mampu menguatkuasakan undang-undang, serta memastikan perlaksanaan undang-undang tersebut benar-benar berfungsi sehingga menatijahkan kepada kurangnya kemungkaran yang berlaku serta menjadikan masyarakat tidak sewenang-wenang melakukan kemungkaran dan juga kemaksiatan. Manakala para ulama pula perlu menggembleng tenaga dalam usaha membasmi kemiskinan, mengikut kapasiti yang mereka ada, serta menggiatkan usaha penyebaran ilmu agar masyarakat kembali bertakwa kepada Allah SWT serta meniggalkan kemaksiatan dalam hidup.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahua`lam.