Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami sifat orang zalim.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَنَادَىٰٓ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَنَّةِ أَصْحَـٰبَ ٱلنَّارِ أَن قَدْ وَجَدْنَا مَا وَعَدَنَا رَبُّنَا حَقًّۭا فَهَلْ وَجَدتُّم مَّا وَعَدَ رَبُّكُمْ حَقًّۭا ۖ قَالُوا۟ نَعَمْ ۚ فَأَذَّنَ مُؤَذِّنٌۢ بَيْنَهُمْ أَن لَّعْنَةُ ٱللَّهِ عَلَى ٱلظَّـٰلِمِينَ (٤٤) ٱلَّذِينَ يَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَيَبْغُونَهَا عِوَجًۭا وَهُم بِٱلْـَٔاخِرَةِ كَـٰفِرُونَ
Maksudnya: Dan para penghuni syurga berseru kepada ahli neraka, “Sesungguhnya, kami telah memperoleh apa yang dijanjikan Tuhan kepada kami. Adakah kamu mendapati apa yang dijanjikan Tuhanmu itu benar.” Mereka penghuni neraka menjawab, “Benar” Kemudian berserulah penyeru malaikat antara kedua golongan ini dengan menyatakan, “Bahawa laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang zalim.” Iaitu mereka yang menghalang dirinya sendiri dan juga orang lain daripada menuruti jalan Allah dan mencari helah menjadikan jalan itu bengkok serta terpesong. Mereka pula kafir dengan hari akhirat.
(Surah al-A’raf: 44-45)
Antara sifat orang yang zalim adalah menolak agama Allah dan menentang ajaran Islam. Mereka berusaha untuk memesongkan Islam dan memburukkan imej Islam. Antara sifat mereka ialah tidak beriman kepada hari akhirat, tidak percaya kepada syurga dan neraka. Pada hari akhirat mereka akan menerima padahnya dan balasan neraka. Oleh itu, hendaklah kita mengikut agama Allah, jangan menentang ajaran Islam dan jangan menghalang manusia dari agama Allah. Hendaklah kita berusaha untuk menyampaikan Islam, jangan memesongkan agama Allah dan jangan burukkan imej Islam. Hendaklah kita beriman kepada hari akhirat, beriman di sana ada nikmat syurga dan di sana ada azab neraka, jangan ingkar kepada hari pembalasan.
Tiada badan-badan bersatu di dunia yang dapat menyelamatkan ahli neraka dari azab Allah, kekayaan mereka semasa dunia tidak dapat menyelamatkan mereka, bahkan orang yang sombong kepada agama Allah semasa di dunia akan hidup hina di dalam neraka dan tiada siapa yang dapat membantu orang yang tidak beriman di dalam neraka nanti, hilang segala kekuasaan yang mereka miliki semasa di dunia. Oleh itu, hendaklah kita mengikut agama Allah, jangan ikut persatuan dan badan-badan yang menentang agama Allah. Hendaklah kita tunduk dan patuh kepada agama Allah, jangan sombong kepada agama Allah. Hendaklah kita beriman kepada Allah, beriman kepada hari akhirat dan jangan sangka kuasa dunia boleh menyelamatkan ahli neraka.
Orang yang beriman adalah orang yang mulia di sisi Allah, walaupun dipandang rendah oleh manusia di dunia. Darjat kemuliaan bukan yang dinilai oleh manusia, tetapi orang yang mulia adalah orang yang dimuliakan oleh Allah. Menghina orang yang beriman adalah sifat ahli neraka dan sifat orang yang sombong yang memakan diri sendiri. Oleh itu, hendaklah kita tabah dalam menegakkan agama Allah, bersabar dengan ujian dan jangan patah hati dengan sikap orang yang menghina kita. Hendaklah kita berusaha mencari keredhaan Allah, jangan hanya mengejar keredhaan manusia. Hendaklah kita memuliakan orang yang beriman dan jangan hina saudara kita, mungkin mereka lebih mulia dari kita. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/35-36)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Wallahua`lam.