#4265: Tugas Rasul dan Reaksi Manusia

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apabila rasul menyampaikan risalahnya, bagaimana reaksi manusia kebiasaannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِۦ فَقَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥٓ إِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍۢ (٥٩) قَالَ ٱلْمَلَأُ مِن قَوْمِهِۦٓ إِنَّا لَنَرَىٰكَ فِى ضَلَـٰلٍۢ مُّبِينٍۢ (٦٠) قَالَ يَـٰقَوْمِ لَيْسَ بِى ضَلَـٰلَةٌۭ وَلَـٰكِنِّى رَسُولٌۭ مِّن رَّبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ (٦١) أُبَلِّغُكُمْ رِسَـٰلَـٰتِ رَبِّى وَأَنصَحُ لَكُمْ وَأَعْلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ (٦٢) أَوَعَجِبْتُمْ أَن جَآءَكُمْ ذِكْرٌۭ مِّن رَّبِّكُمْ عَلَىٰ رَجُلٍۢ مِّنكُمْ لِيُنذِرَكُمْ وَلِتَتَّقُوا۟ وَلَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (٦٣) فَكَذَّبُوهُ فَأَنجَيْنَـٰهُ وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥ فِى ٱلْفُلْكِ وَأَغْرَقْنَا ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَوْمًا عَمِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya lalu dia berkata, “Wahai kaumku sembahlah Allah! Tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpakan azab seksa hari kiamat yang amat dahsyat.” Pemimpin-pemimpin kaumnya berkata, “Sebenarnya kami memandang engkau wahai Nuh! berada dalam kesesatan yang amat nyata.” Nabi Nuh menjawab, “Wahai Kaumku! Tidak ada padaku sebarang kesesatan, tetapi aku ialah seorang rasul daripada Tuhan sekalian alam.” “Aku ditugaskan untuk menyampaikan amanah Tuhanku kepada kamu, memberi nasihat kepada kamu dan aku mengetahui daripada Allah apa yang tidak kamu ketahui.”“Adakah kamu merasa hairan kerana datang kepada kamu peringatan daripada Tuhanmu melalui seorang lelaki dalam kalangan kamu sendiri? Bertujuan memberi peringatan kepadamu, supaya kamu bertakwa dan sehingga kamu beroleh rahmat” Mereka terus mendustakan Nabi Nuh. Lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka ialah kaum yang buta mata hatinya daripada melihat kebenaran.

(Surah al-A’raf: 59-64)

Pada permulaan kisah ini, Allah SWT menjelaskan bahawa Nabi Nuh A.S telah dilantik sebagai Rasul kepada kaumnya dan Baginda menyeru kaumnya kepada agama Allah selama 950 tahun. Nabi Nuh A.S menyeru kaumnya supaya mentauhidkan Allah dan menyembah Tuhan Yang Maha Esa serta tidak menyembah selain dari Allah. Nabi Nuh A.S memberikan peringatan mengenai hari kiamat iaitu azab yang menimpa orang yang kufur.

Allah SWT menyatakan reaksi yang diberikan oleh kaum Nabi Nuh A.S. Mereka menolak seruan Nabi Nuh A.S supaya mereka mentauhidkan Allah dan mereka menuduh Nabi Nuh A.S dengan tuduhan yang dusta. Mereka membuat tuduhan bahawa Nabi Nuh A.S berada di dalam kesesatan yang nyata. Nabi Nuh A.S menjelaskan kepada mereka bahawa Baginda adalah Rasul dari Tuhan sekalian alam, bukan orang yang sesat.  (Lihat Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran, 12/500; al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 7/234; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/432)

Nabi Nuh A.S menjelaskan tugas-tugas yang telah diberikan oleh Allah kepada Baginda. Baginda ditugaskan untuk menyampaikan mesej dari Allah dan memberi nasihat kepada kaumnya. Baginda telah diberikan wahyu oleh Allah dan Baginda mempunyai ilmu yang tidak diketahui oleh kaumnya.

Allah SWT menjelaskan bahawa Nabi Nuh A.S telah berusaha untuk menasihati kaumnya yang menolak kerasulan Baginda. Nabi Nuh A.S juga menjelaskan bahawa tiada keraguan tentang kerasulan Baginda dan Allah telah mengutuskan para rasul dari kalangan manusia. Para rasul diutuskan untuk memberi peringatan kepada mereka supaya mereka bertakwa dan supaya mereka beroleh rahmat.

Allah SWT menjelaskan bahawa kaum Nabi Nuh A.S telah menolak agama Allah, mereka mendustakan utusan Allah. Lalu Allah SWT menyelamatkan Nabi Nuh A. S dan orang yang beriman di dalam bahtera dari ditenggelami oleh banjir besar, namun hanya sedikit kaumnya yang beriman. Ramai dalam kalangan mereka yang tidak beriman. Mereka semua ditenggelamkan dalam banjir, kerana mereka membutakan hati mereka dan mereka menolak kebenaran dari Allah. (Lihat Taysir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, hlm. 292; al-Tahrir wa al-Tanwir, 8/197; al-Tafsir al-Wasit li al-Quran al-Karim, 5/301.)

Tugas Rasul dan Reaksi Manusia

Para rasul telah diutuskan kepada manusia untuk menunjukkan agama yang benar dan jalan yang benar. Semua rasul membawa agama yang sama iaitu agama yang mentauhidkan Allah dan tidak menyembah selain dari Allah. Para rasul ditugaskan untuk memberi peringatan kepada manusia dan peringatan azab pada hari kiamat. Oleh itu, hendaklah kita mengikut agama yang benar, agama yang dibawa oleh para rasul Allah. Hendaklah kita mentauhidkan Allah serta beribadah hanya kepada-Nya dan jangan sembah selain dari-Nya. Hendaklah kita memberi peringatan kepada manusia mengenai azab pada hari kiamat.

Tugas para rasul adalah menyampaikan wahyu yang diturunkan kepada mereka iaitu mesej dari Allah kepada manusia. Para rasul tidak sekadar menyampaikan wahyu sahaja, mereka juga memberi nasihat yang paling berguna untuk manusia. Manusia perlu mengikut para rasul kerana mereka memiliki ilmu yang manusia tidak mengetahuinya, mereka menerima wahyu dari Allah. Oleh itu, hendaklah kita menyambung tugas para rasul dan menyampaikan mesej Allah kepada manusia. Hendaklah kita memberi nasihat yang berguna bagi manusia dan berguna untuk dunia dan akhirat. Hendaklah kita mengikut para rasul dan jangan tolak ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Sebahagian manusia memilih untuk kufur, mereka menentang kebenaran walaupun telah dijelaskan kepada mereka. Mereka adalah orang yang buta hati kerana menolak kebenaran yang jelas. Buta hati adalah lebih parah dari buta mata. Hanya sebahagian kecil manusia yang ingin beriman, hanya sedikit manusia yang tabah dengan agama Allah. Oleh itu, hendaklah kita mengikut rasul yang benar, jangan kita dustakan kebenaran yang telah jelas. Hendaklah kita beriman dan hendaklah kita tabah dengan agama Allah serta tidak berputus asa. Hendaklah kita membuka hati kita untuk menerima kebenaran dan jangan butakan hati.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Wallahua`lam.