#4267: Isu Gay dan Amalan Kaum Lut

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan isu gay dan balasannya berdasarkan dalam al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِۦٓ أَتَأْتُونَ ٱلْفَـٰحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍۢ مِّنَ ٱلْعَـٰلَمِينَ ٨٠ إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ ٱلرِّجَالَ شَهْوَةًۭ مِّن دُونِ ٱلنِّسَآءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌۭ مُّسْرِفُونَ ٨١ وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُوٓا۟ أَخْرِجُوهُم مِّن قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌۭ يَتَطَهَّرُونَ ٨٢ فَأَنجَيْنَـٰهُ وَأَهْلَهُۥٓ إِلَّا ٱمْرَأَتَهُۥ كَانَتْ مِنَ ٱلْغَـٰبِرِينَ ٨٣ وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًۭا ۖ فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلْمُجْرِمِينَ ٨٤

Maksudnya: Dan Kami juga telah mengutuskan Nabi Lut kepada kaumnya. Ketika dia berkata kepada kaumnya, “Mengapakah kamu melakukan perbuatan fahisyah; yang keji itu, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari umat manusia sebelum kamu.” “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.” Dan tidak ada jawapan daripada kaumnya selain berkata, “Usirlah mereka; Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat dari bandar kamu ini. Sesungguhnya mereka ialah golongan yang menganggap diri mereka suci.” Lalu Kami selamatkan Nabi Lut bersama-sama pengikutnya kecuali isterinya yang termasuk dalam golongan yang dibinasakan. Dan Kami turunkan kepada mereka hujan batu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa itu.

(Surah al-A’raf: 80-84)

Allah SWT telah mengutuskan Nabi Lut A.S sebagai rasul, Baginda menyeru kaumnya kepada agama Allah dan melarang mereka dari melakukan perbuatan yang keji. Baginda melarang mereka dari melakukan hubungan homoseksual yang tidak pernah dilakukan oleh umat sebelum mereka. Baginda menegah mereka dari melakukan hubungan seks sejenis. Baginda mengecam dan mengutuk perbuatan mereka yang melakukan hubungan seks antara lelaki dengan lelaki. Mereka telah melampaui batas dan mereka meninggalkan perkahwinan antara lelaki dan perempuan yang dibenarkan. Reaksi kaum Lut yang tidak mahu menerima nasihat Nabi Lut A.S yang telah melarang mereka dari melakukan homoseksual. Reaksi mereka ialah mereka berusaha untuk mengusir Nabi Lut A.S keluar dari tempat mereka dan mereka tidak ingin diganggu oleh orang yang menentang perbuatan mereka. Mereka berkeras untuk mengusir Nabi Lut A.S kerana Baginda adalah orang yang mensucikan diri dan tidak melakukan  perbuatan keji seperti mereka.

Nabi Lut A.S dan keluarganya diselamatkan kecuali isterinya, isterinya dibinasakan kerana dia tidak beriman kepada suaminya. Selain dari mereka yang dinyatakan itu, semua orang di dalam kawasan kaum Nabi Lut A.S dan isterinya dibinasakan dengan hujan batu dari langit. Mereka semua direjam dengan batu berapi yang membunuh mereka. Allah SWT memerintahkan supaya manusia melihat akibat dan hukuman yang dikenakan kepada golongan homoseksual dan bernafsu songsang ini. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/54-55)

Membanteras Kerosakan LGBT Yang Membarah

Perjuangan Nabi Lut dalam menangani dan membanteras kerosakan LGBT adalah suatu perkara yang mesti diberi perhatian. Keutamaan mengawal kerosakan fitrah manusia ini diteruskan oleh Baginda Nabi SAW. Dewasa ini telah lahir kumpulan-kumpulan liberal yang melaungkan hak LGBT atas nama kebebasan individu. Entiti yang cenderung kepada amalan LGBT mula mendapat sambutan dalam kalangan generasi muda. Perkara ini mestilah ditangani dengan serius oleh semua pihak. Dalam al-Quran, Allah SWT mengingatkan kita tentang ancaman ini melalui kisah Nabi Lut. Perbuatan terkutuk ini disifatkan oleh Allah SWT sebagai “orang yang melampaui batas” seperti yang dinyatakan dalam ayat 81.

Dalam menangani musibah ini, Rasulullah SAW telah memberikan amaran dan ancaman yang keras. Baginda SAW menyifatkan perbuatan ini sebagai perkara yang dilaknat oleh Allah. Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ

Maksudnya: “Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut.”

Riwayat Ahmad (2913). Syeikh Syuaib al-Arnaut menilainya sanadnya hasan

Menurut Ibn al-Jauzi, Rasulullah tidak pernah melaknat pelaku dosa besar sebanyak tiga kali berturut-turut seperti yang dilakukan kepada pelaku homoseksual ini. Di sini jelas menampakkan ketegasan Baginda dalam menangani permasalahan ini. Malah, Rasulullah meletakkan hukuman yang amat keras terhadap pelaku LGBT.

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ وَجَدْتُمُوه يَعمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ والمفْعُولَ بِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut, maka bunuhlah si pelaku dan yang diperlakukan.

Riwayat Abu Dawud (4462). Hadith ini dinilai sebagai Hasan Sahih

Dalam merelisasikan saranan ini, al-Syaukani menjelaskan bahawa Khulafa al-Rasyidin pernah menjatuhkan hukuman mati terhadap pelaku homoseksual. (Lihat al-Sayl al-Jirar, 1/840)

Menurut al-Qardawi, tindakan tegas yang dikenakan oleh Syariat Islam ini adalah bagi membersihkan masyarakat dari budaya yang tidak sihat. Malah perlakuan ini membawa kepada penyebaran penyakit yang tidak diingini. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 150)

Apa yang membimbangkan adalah terdapat pandangan yang seakan menyantuni golongan yang melakukan kemungkaran ini atas slogan Rahmatan lil Alamin. Sedangkan dalam situasi ini, pendirian tegas seharusnya menjadi satu keutamaan. Ini selari dengan kebimbangan yang diluahkan oleh JAKIM bahawa populasi gay telah meningkat berkali ganda sejak 2013. Menurut Penolong Pengarah Kanan JAKIM, Mohd Izwan, terdapat kira-kira 310,000 gay berbanding 173,000 gay pada 2013. Peningkatan populasi yang membimbangkan kita ini seharusnya menjadikan kita semakin bimbang dengan perkara ini dan bukan menjadikannya sebagai sesuatu yang normal atau sesuatu yang tidak perlu dibimbangkan. [1]

Justeru, kita hendaklah menggembleng sepenuh tenaga, bersatu tenaga dengan semua pihak, bermula dari pihak berautoriti, badan penguatkuasa serta komuniti masyarakat bagi menangani kerosakan LGBT yang semakin membarah di tanah air ini.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, pengamal homoseksual dan penyokong mereka dikenakan hukuman yang buruk, iaitu azab yang setimpal dengan keburukan perbuatan mereka. Tiada siapa yang dapat menyelamatkan dari azab Allah, walaupun pasangan atau saudaranya yang hampir. Hendaklah kita beriman kepada Allah, patuhlah kepada perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Segala larangan yang Allah nyatakan ada mudaratnya seperti riba, zina, mencuri dan lain-lain. Justeru menjauhi larangan Allah akan peroleh kebahgiaan dunia dan akhirat. kita juga wajib mengambil iktibar dari kisah kaum Nabi Lut A.S, lihatlah kepada akibat yang menimpa mereka dan jangan jadi seperti mereka.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua`lam.

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/10/491972/bilangan-gay-transgender-semakin-meningkat-jakim.