#4268: Kezaliman Masa Dulu dan Kini

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan kezaliman masa dulu dan kini berdasarkan ayat al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا وَلِقَآءِ ٱلْـَٔاخِرَةِ حَبِطَتْ أَعْمَـٰلُهُمْ ۚ هَلْ يُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Maksudnya: Dan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan pada hari akhirat, maka binasalah segala amalan soleh mereka. Mereka tidak akan diberi balasan kecuali mengikut apa yang mereka telah kerjakan daripada perbuatan kufur dan maksiat.

(Surah al-A’raf: 147)

Berdasarkan ayat ini, golongan Bani Israel diuji Allah SWT dengan pelbagai bentuk kezaliman, sama ada dengan kezaliman dari luar seperti Firaun dan Haman, atau kezaliman dalam komuniti mereka sendiri. Firaun terkenal dengan melaksanakan polisi pecah dan perintah ala penjajah yang mengenakan hukuman secara diskriminasi terhadap rakyatnya dengan mengutamakan kaum Qibti berbanding kaum Israel. Firaun juga cukup pantang dengan mana-mana yang mengancam kedudukannya sehingga sanggup membunuh anak-anak lelaki dalam Bani Israel. Adapun dalam ayat di atas, kezaliman yang difokuskan ialah tindakan pembesar-pembesar Bani Israel yang takbur terhadap syariat yang diamanahkan kepada mereka setelah jelas kebenaran ditunjuk oleh Nabi Musa A.S sebelumnya. Mereka mendustakannya, dan cuai melaksanakan, maka Allah SWT memalingkan hati mereka daripada kebenaran.

Hari ini kita melihat kezaliman itu boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Ada pemimpin yang tegas menggunakan penguatkuasaan undang-undang kepada rakyat marhaen yang melakukan suatu kesalahan, tetapi tidak mengambil tindakan apabila kesalahan yang sama dilakukan oleh keluarga, kroni, atau ahli partinya. Pemimpin seperti ini juga tidak berasa bersalah untuk menghapuskan musuh-musuh politiknya dengan cara yang zalim dan memalukan. Ada juga pihak yang diberikan jawatan dengan tanggungjawab yang besar supaya berkhidmat kepada rakyat tetapi menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi, membudayakan rasuah serta hilang nilai integriti. Kesemua ini berpunca daripada lemahnya iman terhadap Hari Pembalasan seperti yang dihuraikan dalam ayat 147 di atas.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin al-Mustafa Billah Shah bertitah dalam Majlis Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 agar kerajaan menggembleng usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti, memerangi rasuah serta mempertahankan keluhuran undang-undang demi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/83-84)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Kitab Allah adalah panduan untuk manusia dan ia adalah Kitab yang lengkap dengan pengajaran dan penjelasan. Oleh itu sebagai seorang yang beriman kita perlu berpegang teguh kepada wahyu Allah, kita perlu beramal dengan sebaiknya dan menjadikan kisah umat terdahulu yang dinyatakan di dalam Kitab Allah sebagai iktibar.

Justeru, orang yang sombong dan zalim tidak akan mendapat hidayah. Mereka menyangka mereka adalah orang yang paling baik, sedangkan mereka adalah orang yang buta yang tidak nampak kebenaran serta leka sendiri dalam kesesatan. Marilah kita berdoa supaya dijauhi daripada mereka yang bersikap zalim ini.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Wallahua`lam.