Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bilakah kiamat akan berlaku?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi SAW yang secara pasti menyatakan bahawa hari kiamat tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan hanya Allah SWT. Firman Allah SWT:
يَسْأَلُكَ النَّاسُ عَنِ السَّاعَةِ ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ اللَّهِ ۚ وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ السَّاعَةَ تَكُونُ قَرِيبًا
Maksudnya: “Manusia bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang kedatangan hari kiamat, katakanlah, ‘Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu hanya ada di sisi Allah. Bagaimana kamu dapat mengetahui? Barangkali kiamat itu sudah dekat.’”
(Surah al-Ahzab: 63)
Menurut Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini, Allah SWT mengkhabarkan kepada rasul-Nya bahawa dia tidak mempunyai pengetahui mengenai hari kiamat. Lalu jika seseorang bertanya kepadanya tentang perkara tersebut, dia hendaklah menyuruhnya untuk menyerahkan ilmunya kepada Allah ‘Azza wa Jalla (iaitu hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/527).
Begitu juga Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti ketika menafsirkan ayat ini turut menyatakan bahawa sebagaimana diketahui lafaz “إِنَّمَا” merupakan sighah hasr (صِيغَةُ حَصْرٍ) yang memberi maksud eksklusif (mengehadkan). Lalu menjadikan makna ayat ini bahawa hari kiamat itu hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 6/257).
Dalam menjawab persoalan ini, terdapat hadith riwayat Umar al-Khattab R.A yang menceritakan berkenaan Jibril A.S datang bertemu dengan Nabi SAW yang mana Jibril A.S bertanya kepada Baginda SAW:
فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ. قَالَ: مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَاتِهَا؟ قَالَ: أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا، وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ. ثُمَّ انْطَلَقَ، فَلَبِثْتُ مَلِيًّا، ثُمَّ قَالَ: يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ؟. قُلْتُ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ “.
Maksudnya: “Beritahukan kepadaku tentang hari kiamat (bila ia akan berlaku)”. Beliau bersabda: “Yang ditanya tidak lebih tahu dari yang bertanya.” Dia berkata: “Ceritakan kepadaku tentang tanda-tandanya.” Baginda bersabda: “Jika seorang hamba melahirkan tuannya dan jika engkau melihat pengembala kambing yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan miskin, (kemudian) berlumba-lumba meninggikan bangunannya”.
Riwayat Muslim (8)
Bila akan berlaku kiamat adalah soalan yang tiada siapa yang mengetahui jawapannya dan waktunya adalah rahsia Allah. Kiamat adalah hari yang amat dahsyat dan kedahsyatannya di luar jangkaan kita, ia melibatkan semua makhluk di bumi dan di langit. Kiamat akan berlaku dengan mengejut, ketika manusia sedang leka dan tidak bersedia dan tiada ramalan waktunya. Rasulullah SAW telah mengkhabarkan kepada kita tentang petanda-petanda hari kiamat; petanda kecil dan besar. Antara petanda kecil yang jelas kelihatan pada masa kini, adalah kewujudan binaan-binaan yang tinggi di tanah Arab, maksiat zina yang berleluasa, kemunculan golongan pelampau agama, banyak kematian yang mengejut dan juga dunia perniagaan tanpa sempadan.
Walaupun telah dizahirkan kepada manusia petanda yang kecil namun ilmu tentang waktu kejadian hari kiamat itu tersimpan bersama Allah SWT sahaja, hanya Dia satu-satunya yang tahu bilakah waktu yang tepat kejadian hari kiamat dan bukannya yang lain, sehingga para malaikat yang hampir pada-Nya juga tidak mengetahui tentang perkara ini. Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasullah SAW bersabda;
إِنَّ طَرْفَ صَاحِبِ الصُّورِ مُذْ وُكِّلَ بِهِ مُسْتَعِدٌّ يَنْظُرُ نَحْوَ الْعَرْشِ مَخَافَةَ أَنْ يُؤْمَرَ قَبْلَ أَنْ يَرْتَدَّ إِلَيْهِ طَرْفُهُ، كَأَنَّ عَيْنَيْهِ كَوْكَبَانِ دُرِّيَّانِ
Maksudnya: “Sesungguhnya pandangan malaikat peniup sangkakala semenjak diberikan tanggungawab, sentiasa bersedia dalam keadaan memandang ke arasy, kerana takut akan diberi perintah sebelum sempat berkelip mata, dan kedua matanya ibarat bintang permata.”
Riwayat al-Hakim (8676)
Dalam hal ini, terdapat segolongan manusia yang berusaha untuk menjangka waktu hari kiamat seperti yang dilakukan oleh bangsa Mayan. Mereka menjangkakan bahawa kiamat akan berlaku pada tahun 2012. Namun, kewujudan kita pada waktu ini jelas membatalkan sangkaan itu. Ayat 187 dengan jelas mengingatkan manusia bahawa hanya Allah yang mengetahui waktu kejadian hari kiamat. Tugas dan peranan manusia bukanlah untuk menjangka waktu kejadian kiamat tetapi bersedia untuk menghadapinya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/108)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa tiada siapapun mengetahui bilakah waktu berlakunya hari kiamat atau berakhirnya dunia ini melainkan hanya Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran mahupun hadith sahih. Apa yang disebut oleh Nabi SAW kebanyakannya adalah daripada sudut tanda-tandanya sahaja.
Syeikh Abdul Rahman al-Sa‘di menyatakan, oleh sebab itu, pengetahuan tentang hari kiamat di sisi para hamba tidak mempunyai sebarang manfaat buat mereka sama ada untuk agama mahupun dunia, sebaliknya maslahah atau manfaat pada penyembunyian hari kiamat itu daripada mereka telah disembunyikan daripada semua makhluk dan Allah telah memelihara pengetahuan itu hanya untuk diri-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hanya kepada Tuhanmu berakhir segala pencarian maklumat tentangnya.” (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 910).
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”
Wallahua`lam.