#4272: Benarkah al-Quran Bukan Ciptaan Manusia

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah al-Quran bukan ciptaan manusia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا لَمْ تَأْتِهِم بِـَٔايَةٍۢ قَالُوا۟ لَوْلَا ٱجْتَبَيْتَهَا ۚ قُلْ إِنَّمَآ أَتَّبِعُ مَا يُوحَىٰٓ إِلَىَّ مِن رَّبِّى ۚ هَـٰذَا بَصَآئِرُ مِن رَّبِّكُمْ وَهُدًۭى وَرَحْمَةٌۭ لِّقَوْمٍۢ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Dan apabila engkau wahai Muhammad, tidak membawa ayat al-Quran sebagaimana yang mereka kehendaki, mereka berkata dengan nada mengejek, “Mengapa engkau tidak reka sahaja ayat itu “Katakanlah, “Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku daripada Tuhanku. Al-Quran ini ialah panduan yang membuka hati daripada Tuhan kamu dan juga petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang yang beriman.”

(Surah al-A’raf: 203)

Al-Quran bukan kitab ciptaan manusia, bukan ciptaan Nabi Muhammad SAW dan bukan direka mengikut nafsu manusia. Al-Quran adalah kata-kata Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan Baginda hanya menyampaikan tanpa sebarang tambahan. Al-Quran adalah kitab mukjizat yang mengandungi bukti-bukti yang nyata dari Tuhan, petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman. Sekian lama, golongan orang kafir cuba untuk membuktikan bahawa al-Quran ini adalah ciptaan Nabi Muhammad SAW. Mereka telah membawa pelbagai hujah dan bukti dalam menyokong idea ini.

Usaha ini boleh dilihat dilakukan oleh orang kafir Quraisy saat al-Quran mula diturunkan dan ia berterusan sehingga ke hari ini. Golongan ini juga mempelbagaikan hujah mereka dengan harapan ia dapat mempengaruhi orang ramai.

Pada masa kini, golongan orientalis mendakwa bahawa al-Quran ini bukan sahaja ciptaan Nabi Muhammad, bahkan terdapat intervensi daripada para sahabat R.Anhum dalam pembentukan al-Quran. Mereka mendakwa para sahabat Nabi yang telah menentukan ayat mana yang boleh dikekalkan di dalam versi al-Quran yang terakhir.[1] Hujah-hujah orientalis ini adalah lemah dan merupakan representasi yang salah terhadap sejarah umat Islam.

Para sahabat R.Anhum merupakan golongan yang ikhlas dalam memperjuangkan Islam dan al-Quran. Mereka tidak akan sesekali, bahkan tidak berupaya untuk mengubah mana-mana kandungan isi al-Quran. Kaedah yang teliti yang digunakan Zaid bin Thabit R.A dalam usaha mengumpul al-Quran. Zaid mensyaratkan agar setiap ayat yang dikumpul perlu disokong oleh dua penyaksian; secara bertulis dan verbal. (Lihat al-Itqan, 1/205)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

 

Nota kaki:

[1] Lihat Crystallization of The Quran: An Analysis of John Wansbrough’s Theory. Wawasan: Jurnal Ilmiah Agama dan Sosial Budaya. 2. 237. 10.15575/jw.v2i2.1611.