#4275: Kaitan Antara Bencana Alam, Kemurkaan Allah dan Ketidakseimbangan Ekosistem

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat kaitan fenomena bencana alam antara kemurkaan Allah dan ketidakseimbangan ekosistem

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَٱتَّقُوا۟ فِتْنَةًۭ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنكُمْ خَآصَّةًۭ ۖ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.”

(Surah al-Anfal: 25)

Kezaliman yang tidak dicegah akan menjemput kemurkaan Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 25, Surah al-Anfal. Kemurkaan Allah SWT pula tidak hanya dikhususkan kepada orang yang zalim dan pelaku dosa semata-mata, namun kesannya juga turut ditimpakan ke atas semua orang yang berada di dalam lingkungannya. Kemurkaan Allah SWT terhadap umat manusia diterjemahkan dalam bentuk musibah dan malapetaka yang melanda dunia seperti tsunami, banjir, gempa bumi, ribut taufan, dan lain-lain. Sebaliknya jika umat Islam saling melakukan kebajikan dan islah sesama manusia, maka bencana dan malapetaka dapat dihindari sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ ٱلْقُرَىٰ بِظُلْمٍۢ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ

Maksudnya: “Tidak mungkin Tuhanmu menghancurkan dengan zalim penduduk sesebuah negeri yang melakukan kebaikan, kecuali jika mereka terdiri daripada orang yang zalim.”

(Surah Hud: 117)

Walau bagaimanapun, terdapat fahaman yang cuba menafikan penglibatan Tuhan dalam fenomena alam. Pemikir sekular Barat yang berideologikan saintisme dan rasionalisme berpendirian bahawa malapetaka yang melanda dunia hari ini adalah hasil daripada ketidakseimbangan ekosistem semata-mata dan ia langsung tidak melibatkan wahyu. Ideologi ini mendakwa bahawa fenomena alam mampu difahami dengan sendiri berdasarkan akal yang rasional menerusi cerapan pancaindera. Di samping itu, menurut fahaman ini, alam semesta itu wujud secara semulajadi mengikut hukumnya yang tersendiri. Berasaskan kepada penjelasan konsep rasionalisme dan sainstisme, wujud pemisahan antara agama dan sains, serta pengasingan antara Tuhan dengan kemanusiaan. Bagi mereka, fenomena bencana alam dan malapetaka hanyalah berpunca daripada ketidakseimbangan ekosistem disebabkan oleh tangan-tangan manusia yang mencerobohi ekosistem tersebut atau disebabkan oleh fenomena semulajadi alam tabii apabila tiba masanya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/156-157)

Islam tidak menolak kemusnahan alam adalah berpunca daripada kerakusan manusia meragut sumber alam tanpa batasan sehingga mengakibatkan ketidakeseimbangan alam dan fenomena bencana. Hal ini sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT:

ظَهَرَ ٱلْفَسَادُ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ ٱلَّذِى عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya: “Telah nyata kerosakan dan malapetaka di daratan dan lautan disebabkan apa yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia kerana Allah hendak mereka dapat merasai sebahagian daripada apa yang telah mereka lakukan supaya mereka kembali insaf.”

(Surah al-Rum: 41)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa apa yang lebih utama ialah segala ujian berupa bencana alam tidak terlepas daripada ilmu Allah SWT, dan ia turut berhubung kait dengan kemurkaan Allah SWT terhadap sekumpulan manusia berasaskan dalil-dalil al-Quran dan sunnah. Umat Islam dituntut untuk meyakininya, di samping ia merupakan suatu isyarat daripada Allah SWT agar manusia bertaubat dan kembali kepada-Nya. Manakala konsep yang menolak kewujudan kuasa Pencipta sebagai pengelola sekalian alam semesta wajib ditolak kerana dikhuatiri ia  boleh mengundang kepada kegelinciran akidah dalam kalangan umat Islam.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Wallahua`lam.