#4278: Roh Orang Beriman dan Orang Kafir ketika Dicabut Nyawa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana keadaan roh ketika dicabut terhadap orang yang beriman mahupun orang kafir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذْ يَتَوَفَّى ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ۙ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ يَضْرِبُونَ وُجُوهَهُمْ وَأَدْبَـٰرَهُمْ وَذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلْحَرِيقِ (٥٠) ذَٰلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيكُمْ وَأَنَّ ٱللَّهَ لَيْسَ بِظَلَّـٰمٍۢ لِّلْعَبِيدِ

Maksudnya: Dan sekiranya engkau dapat melihat ketika para malaikat mencabut nyawa orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka sambil berkata, “Rasakanlah seksa neraka yang membakar,” tentulah kamu akan berasa ngeri. Seksaan itu disebabkan oleh perbuatan yang dilakukan oleh tangan kamu sendiri. Dan sesungguhnya Allah tidak menzalimi hamba-hamba-Nya walaupun sedikit.

(Surah al-Anfal: 50-51)

Malaikat maut merupakan malaikat yang dikhususkan oleh Allah SWT untuk mencabut nyawa manusia. Dalil mengenai kewujudan malaikat maut adalah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dia Maha Berkuasa berkuasa atas semua hamba-Nya. Dia yang mengutuskan kepada kamu para malaikat yang sentiasa menjaga dan menulis amalan kamu. Apabila sampai salah seorang daripada kamu waktu ajalnya, malaikat maut akan mencabut nyawanya. Para malaikat itu sama sekali tidak pernah cuai dalam menjalankan tugasan.” (Surah al-An‘am: 61)

Selain itu, malaikat maut juga dikenali dalam kalangan umat Islam dengan namanya sebagai Izrail. Mengenai perkara ini, Ibn Kathir ada mengulasnya dengan mengatakan bahawa nama malaikat maut tidak disebutkan secara jelas di dalam al-Quran, mahupun di dalam hadis yang sahih, melainkan penamaannya itu datang daripada sebahagian athar yang menyatakan bahawa namanya ialah Izrail. Malah, sebahagian ulama berpendapat bahawa penamaannya sebagai Izrail adalah berasal daripada Israiliyyat. Oleh itu, kita tidak diwajibkan untuk beriman dengan nama tersebut. Sebaiknya, kita menamakan malaikat yang ditugaskan untuk mencabut nyawa, sebagai ‘malaikat maut’ sebagaimana Allah SWT menamakannya dengan sedemikian menerusi firman-Nya yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad, “Kamu semua akan dimatikan oleh malaikat maut yang ditugaskan mengambil nyawa kamu. Kemudiannya kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.” (Surah al-Sajdah: 11)

Al-Quran menyebutkan bahawa roh orang kafir akan dicabut dengan kasar sebagaimana dinyatakan menerusi ayat yang bermaksud: “Maka bagaimanakah keadaan mereka nanti, apabila malaikat mencabut nyawa sambil memukul wajah dan punggung mereka?” (Surah Muhammad: 27) Bukan itu sahaja, bahkan ketika roh mereka dicabut, mereka diberitakan pula mengenai azab seksaan dan kemurkaan Allah SWT. Ini dapat dilihat menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Alangkah dahsyatnya sekiranya engkau melihat keadaan orang-orang yang zalim itu ketika dalam penderitaan sakaratulmaut, para malaikat menghulurkan tangan mereka memukul sambil berkata, “Keluarkanlah nyawa kamu! Pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang sangat hina disebabkan kamu telah mengatakan perkara yang tidak benar terhadap Allah dan kamu sombong terhadap ayat-ayat-Nya.” (Surah al-An‘am: 93)

Manakala roh orang beriman akan dicabut dengan lemah lembut, berbeza sama sekali dengan roh orang-orang kafir. Bahkan, ketika nyawa orang beriman dicabut, mereka akan diberikan khabar gembira sebagaimana disebutkan dalam ayat 30 Surah Fussilat yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang berkata, “Tuhan kami ialah Allah,” kemudian mereka tetap teguh di atas jalan kebenaran, lalu akan turun kepada mereka para malaikat pada saat kematian mereka dengan berkata, “Janganlah kamu takut dan sedih. Bergembiralah dengan syurga yang dijanjikan kepada kamu.” (Surah Fussilat: 30) (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/182-183)

Di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا حُضِرَ الْمُؤْمِنُ أَتَتْهُ مَلاَئِكَةُ الرَّحْمَةِ بِحَرِيرَةٍ بَيْضَاءَ ، فَيَقُولُونَ : اخْرُجِي رَاضِيَةً مَرْضِيًّا عَنْكِ إِلَى رَوْحِ اللهِ ، وَرَيْحَانٍ ، وَرَبٍّ غَيْرِ غَضْبَانَ فَتَخْرُجُ كَأَطْيَبِ رِيحِ مِسْكٍ حَتَّى إِنَّهُ لَيُنَاوِلُهُ بَعْضُهُمْ بَعْضًا حَتَّى يَأْتُوا بِهِ بَابَ يَعْنِي السَّمَاءِ فَيَقُولُونَ : مَا أَطْيَبَ هَذِهِ الرِّيحَ الَّتِي جَاءَتْكُمْ مِنَ الأَرْضِ فَيَأْتُونَ بِهِ أَرْوَاحَ الْمُؤْمِنِينَ فَلَهُمْ أَشَدُّ فَرَحًا بِهِ مِنْ أَحَدِكُمْ بِغَائِبِهِ يَقْدَمُ عَلَيْهِ فَيَسْأَلُونَهُ مَا فَعَلَ فُلاَنٌ مَا فَعَلَ فُلاَنٌ ؟ فَيَقُولُونَ : دَعُوهُ فَإِنَّهُ كَانَ فِي غَمِّ الدُّنْيَا فَإِذَا قَالَ أَمَا أَتَاكُمْ ؟ قَالُوا : ذُهِبَ بِهِ إِلَى أُمِّهِ الْهَاوِيَةِ وَإِنَّ الْكَافِرَ إِذَا حُضِرَ أَتَتْهُ مَلاَئِكَةُ الْعَذَابِ بِمِسْحٍ فَيَقُولُونَ : اخْرُجِي سَاخِطَةً مَسْخُوطًا عَلَيْكِ إِلَى عَذَابِ اللهِ فَتَخْرُجُ كَأَنْتَنِ رِيحِ جِيفَةٍ حَتَّى يَأْتُونَ بِهِ بَابَ الأَرْضِ فَيَقُولُونَ : مَا أَنْتَنَ هَذِهِ الرِّيحَ حَتَّى يَأْتُوا بِهِ أَرْوَاحَ الْكُفَّارِ.

Maksudnya: ”Apabila seorang Mukmin nazak, datang kepadanya malaikat Rahmat dengan membawa sutera putih. Para Malaikat berkata: Keluarlah wahai roh dalam keadaan redha lagi diredhai kepada Allah, penuh rahmat serta tidak dimurkai Tuhan. Maka Roh tersebut keluar seperti bau misk (wangian) yang terbaik sehingga bau tersebut sampai ke pintu langit. Para malaikat(di langit) berkata: ”Wanginya bau yang kamu bawa dari dunia! Mereka membawa Roh tersebut menemui roh-roh orang yang beriman. (Pada ketika itu) mereka (roh orang mukmin) terlalu gembira dengan kedatangan roh tadi. Mereka bertanya kepadanya apa yang dilakukan oleh fulan ini,apa yang dilakukan oleh fulan ini? Para Malaikat berkata: Tinggalkan dia. Sesungguhnya dia pernah berada di dalam kesedihan dunia. Lalu roh itu berkata: Apa yang menyebabkan kamu ke sini? Mereka menjawab: Dia telah dibawa dari ibunya. Ketika mana orang kafir nazak, datang kepadanya malaikat azab dengan membawa guni. Lalu para Malaikat berkata: Keluarkan wahai Roh dalam keadaan murka lagi dimurkai serta azab Allah. Maka Roh itu keluar seperti bau nanah sehingga bau tersebut sampai ke pintu dunia, maka Para malaikat berkata: Busuknya bau nanah ini sehingga mereka membawa roh-roh orang kafir.”

Riwayat al-Nasaie (1972) di dalam Sunan al-Kubra & Ibn Hibban (3078) dalam Sahihnya.

Hadith yang panjang ini menjelaskan kepada kita akan perihal bagaimana roh orang mukmin dan juga roh orang kafir dicabut.

Kata Ibn al-Qayyim al-Jauziyah: ”Ini adalah satu perbahasan yang mulia lagi besar (untuk membahaskannya. Jawapannya adalah roh terbahagi kepada dua. Roh yang diazab dan Roh yang diberi nikmat. Roh yang diazab terlalu sibuk diazab sehinggakan tiada masa bagi mereka untuk saling bertemu dan berziarah antara satu sama lain. Manakala roh yang diberi nikmat tanpa dibelenggu oleh apa-apa, mereka saling bertemu dan saling berziarah antara satu sama lain. Mereka juga saling mengingat antara satu sama lain tentang apa yang telah berlalu di dunia dan apa yang berlaku kepada ahli keluarga mereka yang masih hidup. Setiap roh (yang diberi nikmat) bersama siapa yang dia ikut dan roh Nabi kita berada di tingkat paling atas sekali. Bertepatan dengan firman Allah SWT

وَمَن يُطِعِ اللَّـهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَـٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّـهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُولَـٰئِكَ رَفِيقًا

Maksudnya: Sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul maka mereka akan bersama orang yang diberi nikmat oleh Allah dari kalangan Nabi,orang yang benar(imannya),para Syuhada dan juga orang yang soleh. Dan amatlah elok mereka itu menjadi teman rakan(kepada orang taat)”

(Surah al-Nisa’: 69)

Kebersamaan ini berlaku sama ada di dunia, di alam barzakh mahupun di hari kiamat kelak. Dan mereka berada bersama siapa yang mereka suka.” (Lihat Kitab al-Ruh, hlm. 17)

Imam al-Qurtubi di dalam al-Tadzkirah bi Ahwal al-Mauta wa Umur al-Akhirah, (hlm. 233-234) berkata: “Kesemua khabar ini walaupun ianya disebut secara mauqufah (bukan marfu’) akan tetapi ianya tidak hanya sekadar pandangan peribadi. Imam al-Nasaie meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadith. Di antara kandungan hadis tersebut;

فَيَأْتٌونَ بِهِ أَرْواَحَ المُؤْمِنِينَ فَلَهُمْ أَشُّد فَرْحاً مِنْ أَحَدِكُمْ بِغَائِبِكُم يَقْدَمُ عَليه فَيَسْأَلُونَهٌ ما فَعَلَ فُلانٌ مَا فَعَلَتْ فُلاَنَةٌ

Maksudnya:”Mereka didatangkan dengan roh-roh orang mukmin.Mereka lebih gembira dengan kedatangan roh tersebut berbanding kalian yang bersedih kerana pemergiannya. Maka mereka bertanya:apa yang dilakukan oleh orang lelaki ini,apa yang dilakukan oleh orang perempuan ini?”

Riwayat al-Nasaie (1833)

Kata beliau lagi :”Disebutkan di dalam satu hadis bahawa Nabi SAW bersabda

اَلْأَرْواَحُ جُنُودٌ مُجنَّدَةٌ فَمَا تَعَارَفَ منْهاَ ائْتَلَفَ ومَا تَناَكَرَتْ منها اخْتَلَفَ

Maksudnya: ”Roh-roh adalah seperti tentera yang tersusun. Apabila mereka saling mengenali mereka akan bersatu. Apabila mereka saling memungkari mereka akan bercanggah(antara satu sama lain)”

Riwayat al-Bukhari (3336), dan Muslim (2638)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa roh orang yang mukmin dicabut dengan lembut oleh malaikat maut, manakala, roh orang kafir dicabut dengan sangat kasar sebagaimana yang disebut oleh nas.

Sesungguhnya saat roh dicabut ini merupakan saat yang sangat genting yang pasti akan diganggu syaitan untuk menyesatkan manusia supaya manusia mati dalam keadaan tidak beriman. Moga Allah SWT memelihara kita daripada gangguan yang boleh memesongkan iman kita serta menjadikan kita terus kekal berada di atas jalan hidayah ini sehingga kita menghembuskan nafas kita yang terakhir. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ التَّرَدِّي، وَالْهَدْمِ، وَالْغَرَقِ، وَالْحَرِيقِ، وَنَعُوذُ بِكَ أَنْ يَتَخَبَّطَنَا الشَّيْطَانُ عِنْدَ الْمَوْتِ، وَنَعُوذُ بِكَ أَنْ نَمُوتَ فِي سَبِيلِكَ مُدْبِرًا، وَنَعُوذُ بِكَ أَنْ نَمُوتَ لَدِيغًا

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kebinasaan (terjatuh), kehancuran (tertimpa sesuatu), tenggelam, kebakaran, dan kami berlindung kepada-Mu dari dihasuti syaitan pada saat aku mati, dan kami berlindung kepada-Mu dari mati dalam keadaan berpaling daripada jalan-Mu, dan kami berlindung kepada-Mu daripada mati dalam keadaan tersengat.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.