#4279: Jihad Bukan Terrorist

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah tedapat perbezaan antara jihad dan terrorist?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, disebut dalam Tafsir al-Bayan: Apakah ada persamaan antara perang jihad dan terrorisme? Jawapannya pasti tidak. Walau bagaimanapun ada juga dalam kalangan sarjana  yang mengatakan bahawa dalam al-Quran terdapat ayat yang menganjurkan keganasan (terrorisme) terhadap musuh-musuh Islam dengan berdalilkan firman Allah SWT:

وَأَعِدُّوا۟ لَهُم مَّا ٱسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍۢ وَمِن رِّبَاطِ ٱلْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ

Maksudnya: “Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu mampu, juga dengan kuda-kuda perang untuk menggerunkan musuh Allah, musuhmu dan musuh-musuh lain yang tidak kamu ketahui tetapi Allah mengetahuinya.”

(Surah al-Anfal: 60)

Dalam ayat tersebut terkandung kalimah (تُرْهِبُونَ) dan perkataan (الإِرْهَابُ) yang merupakan kata terbitan daripada perkataan (تُرْهِبُونَ). Ia diterjemah dalam kamus-kamus bahasa arab moden sebagai “terrorisme”. Maka kalimah tersebut difahami pula sebagai perintah untuk melakukan tindakan terrorisme. Terdapat juga anggapan bahawa dalam al-Sunnah ada dijumpai tindakan terrorisme. Tindakan Nabi Muhammad SAW mengirim pasukan untuk menghalangi kafilah dagang Quraisy dianggap sebagai kegiatan terrorisme. Ada juga yang beranggapan bahawa pembunuhan terhadap Ka‘b bin al-Asyraf dan beberapa orang tokoh Yahudi yang sama perangai dengannya adalah tindakan terrorisme.

Pandangan semacam ini sangat keliru, kerana Ka‘b bin al-Asyraf dihukum bunuh adalah kerana kesalahannya sebagai pengkhianat negara yang telah berpaling tadah kepada musuh. Sehingga kini pun di seluruh dunia tiada hukuman bagi seorang pengkhianat negara melainkan hukuman mati. Mengapa hukuman yang dijatuhkan terhadap Ka‘b disebut terrorisme, sedangkan hukuman yang dijatuhkan terhadap pengkhianat negara di seluruh dunia ketika ini tidak dinamakan terrorisme? Oleh yang demikian, sama ada dalam al-Quran mahupun al-Sunah tiada dijumpai apa yang disebut sebagai terrorisme atau keganasan, malahan jika dibandingkan antara kedua-duanya ternyata saling bertentangan.

Syeikh Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Jihad mengatakan bahawa “al-irhab” bermakna menyebarkan ketakutan kepada manusia dan menyebabkan mereka kehilangan rasa aman yang merupakan nikmat Allah terbesar kepada makhluk-Nya. Hal tersebut seperti tercantum dalam surah Quraisy ayat 3-4. Namun menurut al-Qaradawi, konsep al-Irhab yang popular sekarang amat berbeza, di mana jelas perbezaan antara jihad dan irhab. Namun, golongan  ekstremis teroris memahami irhab (terror) sebagai sebahagian daripada jihad, mereka menganggap semua golongan non muslim wajib diperangi. Sedangkan dalam perincian fiqh al-jihad, terdapat empat pembahagian non muslim dan dari empat pembahagian tersebut, hanya golongan kafir harbi yang boleh diperangi kerana memerangi orang Islam.

Pihak orientalis sudah lama mengatakan jihad adalah terrorisme. Banyak kenyataan yang dikemukakan oleh mereka tentang tuduhan ini. Contohnya, Silas menerusi artikelnya “Muhammad, Islam and Terrorism” berusaha meyakinkan bahawa Islam benar benar sebati dengan keganasan. Ia memaparkan bukti-bukti sejarah yang sebelumnya telah dikemukakan oleh para orientalis.

Terkini, salah faham dan keliru tentang konsep jihad dan mati syahid menyebabkan sekelompok umat Islam di Malaysia dilaporkan cenderung dan ghairah untuk berjihad atas nama ISIS (Islamic State of Iraq and Syria) dan ISIL (Islamic State of Iraq and the Levant). Maka amat tepat apabila Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan jihad yang dilakukan oleh golongan ini tidak menepati hukum syariat. Seruan jihad dan mati syahid yang dipegang adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada kekufuran kerana menghalalkan darah sesama umat Islam yang tidak sehaluan. Sebenarnya kegiatan mereka ini mencemarkan imej Islam dan telah lama dijawab oleh para ulama seperti ulama al-Azhar dan sarjana lain seperti Moulavi Cheragh Ali dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/220-221)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa berjihad dalam Islam bukannya bermaksud terrorist sebagaimana yang difahami oleh sebahagian golongan. Sesungguhnya orang Islam dituntut supaya bersifat tegas dan keras terhadap orang kafir  terutamanya dalam medan peperangan untuk menjaga kemuliaan Islam, manakala di medan dakwah mereka diminta bersifat lembut dan mesra, berhikmah dan bijaksana agar risalah Islam dapat diterima.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Wallahua`lam.