Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bilakah jihad menjadi fardhu ain?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
قُلْ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَٰنُكُمْ وَأَزْوَٰجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَٰلٌ ٱقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَـٰرَةٌۭ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَـٰكِنُ تَرْضَوْنَهَآ أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٍۢ فِى سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُوا۟ حَتَّىٰ يَأْتِىَ ٱللَّهُ بِأَمْرِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْفَـٰسِقِينَ
Maksudnya: Katakanlah wahai Muhammad, “Jika bapa kamu, anak kamu, saudara kamu, isteri kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan rugi dan rumah kediaman yang kamu sukai; jika semuanya itu menjadi perkara yang kamu lebih cintai daripada Allah dan rasul-Nya serta berjihad untuk menegakkan agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan perintah azabnya; dan Allah tidak akan memberi hidayah kepada golongan yang fasiq.”
(Surah al-Taubah: 24)
Menjawab persoalan di atas, disebut dalam Tafsir al-Bayan: Jihad ialah peperangan umat Islam menentang kafir harbi selepas menyeru mereka kepada Islam atau kepada jizyah, lalu mereka enggan menerimanya.
Secara umumnya hukum berjihad terbahagi kepada dua; fardu ain apabila musuh menyerang negara Islam. Ketika itu kewajipan berperang bukan hanya tertakluk kepada tentera, bahkan orang awam juga wajib bangkit mempertahankan negara daripada pencerobohan orang kafir. Jika mereka terbunuh, maka hukumnya ialah mati syahid iaitu syahid yang tertinggi dan paling mulia.
Dr. Muhammad Khayr Haikal menjelaskan antara situasi yang menjadikan jihad itu fardu ain ialah apabila musuh menceroboh negara umat Islam, atau menggerakkan tentera bagi mencerobohnya, atau mula menyerang, atau menghendaki keburukan terhadap mana-mana penduduk atau kumpulan penduduk, atau menceroboh dengan cara menawan, membunuh atau menakutkan atau seumpamanya.
Perjuangan mempertahankan negara daripada pencerobohan orang kafir tidak memerlukan syarat. Bahkan apabila diserang, maka rakyat boleh mengangkat senjata mempertahankan negaranya. Bahkan wujud atau tidak Khilafah Islamiyyah bukan menjadi syarat utama kefarduan jihad. Ibn Qudamah berkata: “Apabila musuh datang, maka jihad menjadi fardu ain. Maka ia wajib ke atas semua. Justeru tidak harus bagi sesiapa sahaja mengelak diri daripadanya.”
Kedua, fardu kifayah. Hukum ini ditaklifkan ke atas para tentera yang diarahkan berperang khususnya yang dihantar ke negara kafir bagi menakutkan musuh atau menyampaikan seruan Islam. Jika mereka mati, maka mereka memperoleh syahid. Demikian juga, hukum fardu kifayah jika kedapatan orang awam yang menyertai tentera Islam secara sukarela dalam satu-satu peperangan di luar negara Islam dengan keizinan khalifah. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/234-235)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hukum jihad terbahagi kepada dua, yang mana ia menjadi fardhu ain apabila musuh menyerang negara Islam, ketika itu kewajipan berperang bukan hanya tertakluk kepada tentera, bahkan orang awam juga wajib bangkit mempertahankan negara daripada pencerobohan orang kafir. Jika mereka terbunuh, maka hukumnya ialah mati syahid iaitu syahid yang tertinggi dan paling mulia. Manakala ia menjadi fardhu kifayah ke atas para tentera yang diarahkan berperang khususnya yang dihantar ke negara kafir bagi menakutkan musuh atau menyampaikan seruan Islam.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Wallahua`lam.