#4284: Kelebihan Pohon dan Buah Kurma

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah terdapat banyak manfaat daripada pohon kurma? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالنَّخْلَ بَاسِقَاتٍ لَّهَا طَلْعٌ نَّضِيدٌ

 رِّزْقًا لِّلْعِبَادِ ۖ وَأَحْيَيْنَا بِهِ بَلْدَةً مَّيْتًا ۚ كَذَٰلِكَ الْخُرُوجُ

Maksudnya:  Serta pohon-pohon kurma yang tinggi menjulang, yang mengeluarkan mayang, berlapis-lapis, lagi lebat putiknya; (Semuanya itu) sebagai rezeki bagi hamba-hamba Kami. Dan lagi Kami telah hidupkan dengan air itu bumi yang mati; demikianlah pula keadaan keluarnya (orang-orang yang mati dari

(Surah Qaf: 10-11)

Berbalik kepada persoalan di atas kami katakan bahawa kami katakan terdapat kepelbagain manfaat daripada pohon kurma antaranya ialah:

  • Perumpamaan kepada Daya Tahan dan Keteguhan Jiwa Mukmin

Daripada Ibn Umar, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di antara pohon ada suatu pohon yang tidak jatuh daunnya. Dan itu adalah perumpamaan bagi seorang muslim.” Nabi SAW bertanya (kepada para sahabat): “Katakanlah kepadaku, pohon apakah itu?” Maka para sahabat beranggapan bahwa yang dimaksudkan ialah pohon yang berada di lembah. Abdullah berkata: “Aku berfikir dalam hati pohon itu adalah pohon kurma, tapi aku malu mengungkapkannya.” Kemudian para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, pohon apakah itu?” Baginda SAW menjawab: “Pohon kurma”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Menurut al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi, sebagaimana tidak gugurnya daun daripada pohon kurma, begitulah kekuatan dan ketahanan yang tidak luntur daripada  orang Mukmin. Selain itu, seorang Mukmin dapat memberikan manfaat yang berterusan sama ada untuk dirinya sendiri ataupun orang lain. Begitulah juga pohon kurma yang dapat dimanfaatkan secara keseluruhannya sama ada pohon, buah, pelepah dan sebagainya.

  • Kajian ilmiah tentang khasiat kurma

Kurma adalah sejenis tumbuhan (palma) atau nama saintifiknya, Phonex dactylifera boleh dimakan sama ada yang ranum atau mentah. Buah ini mengandungi pelbagai khasiat terutamanya untuk ibu yang sedang mengandung. Dalam al-Quran telah dinyatakan khasiat buah kurma seperti yang dialami oleh Maryam A.S ketika beliau mengandungkan Nabi Isa A.S. Dalam Surah Maryam ayat ke-25, firman Allah yang bermaksud, “Dan goncangkan batang kurma itu kepadanya, nanti gugur ke atasmu kurma yang masak…”. Ayat ini menjelaskan khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang mengandung atau dalam nifas. Ia menceritakan bahawa Allah memerintahkan Maryam memakannya ketika beliau dalam keadaan lemas semasa hendak bersalin. Unsur zat besi dan kalsium yang  terkandung dalam buah kurma adalah antara unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu, pertumbuhan kanak-kanak serta pembentukan darah dan sumsum tulang. Kajian sains menunjukkan bahawa khasiat yang terkandung dalam buah kurma seperti vitamin A, B1, B2, B7, asid folik, kalsium, zat besi, magnesium dan banyak lagi telah membuktikan bahawa pemakanan yang terkandung dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW merupakan pemakanan yang berkhasiat dan diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Kertas kerja ini membentangkan kajian berkenaan dengan khasiat dan manfaat buah kurma yang boleh diperolehi terutamanya ibu yang sedang mengandung.[1]

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

Wallahu A’lam

 

Nota kaki:

[1] https://www.researchgate.net/publication/259742047_UHW_6023_SKOP_KEAJAIBAN_SAINS_I’JAZ_DALAM