#4285: Islam Berkembang Dengan Kekerasan?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah islam tersebar dengan kekerasan dan mata pedang seperti yang didakwa oleh orientalis ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Beragama adalah fitrah semulajadi manusia. Kerana itu secara automatik ia adalah menjadi hak kepada mereka. Selaku hak, sudah semestinya tidak siapapun boleh memaksa atau dipaksa dalam perkara beragama itu. Ini jelas disebut oleh Allah SWT sendiri  dalam surah al-Baqarah ayat 256:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ

Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).”

(Surah al-Baqarah: 256)

Ibnu Kathir yang menyatakan, “Tidak ada yang dipaksa untuk memeluk agama Islam kerna telah jelas dan tegas tanda dan bukti kebenaran Islam sehingga tidak perlu lagi memaksa seseorang untuk memeluk agama Islam. Orang yang diberi hidayah oleh Allah SWT untuk menerima Islam, lapang dadanya dan dicerahkan pandangannya sehingga ia memeluk Islam dengan alasan yang pasti. Namun orang yang hatinya dibutakan oleh Allah SWT dan ditutup hati serta pandangannya, tidak ada manfaatnya memaksa mereka untuk masuk Islam” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/310)

Ibnu Jarir al-Tabari juga berkata: “Sungguh telah jelas antara kebenaran dan kebatilan dan telah jelas sudah sisi kebenaran bagi para pencari kebenaran, malah kebenaran ini telah jelas berbeza dari kesesatan. Sehingga tidak perlu lagi memaksa para ahli kitab dan orang-orang kafir yang dikenakan jizyah untuk memeluk agama Islam, agama yang benar. Orang-orang yang berpaling dari kebenaran ini setelah jelas baginya, biarlah Allah SWT yang mengurusnya. Sungguh Allah SWTlah yang akan mempersiapkan hukuman bagi mereka di Akhirat kelak.” (Lihat Tafsir al-Tabari, 4/551)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan Golongan orientalis menuduh Islam disebar dengan kekerasaan, paksaan dan mata pedang. Menurut Muhammad Mahmud Hijazi ia adalah tuduhan palsu yang tidak berasas, dimana dari sudut sejarah awal Islam sebelum hijrah umat Islam menyembunyikan agama mereka dan tidak menzahirkannya dihadapan orang kafir. Manakala ayat ini diturunkan tiga tahun selepas hijrah dengan penetapan bahawa tidak ada paksaan dalam agama. Jika benar dakwaan itu, maka bila paksaan memeluk agama Islam itu berlaku? (Lihat al-Tafsir al-Wadih, 1/8)

Siri peperangan yang berlaku dalam sejarah Islam adalah dalam konteks mempertahankan akidah, sehingga golongan kuffar tidak lagi memusuhi umat Islam dan memberikan kebebasan kepada umat manusia. Manakala pembukaan beberapa wilayah Islam adalah adalah bertujuan menyampaikan Islam kepada pendudukan tempatan tanpa paksaan, buktinya adalah penerimaan jizyah atau mereka memeluk Islam dengan pilihan sendiri.

Sebenarnya Islam tersebar di seluruh dunia dengan hujah serta dakwah secara lisan serta hikmah, sama ada di negara Arab pada awalnya atau negara bukan Arab pada zaman pertengahan dan akhir.

Cukai jizyah yang dikutip daripada bukan Islam tidak boleh dijadikan alasan sebagai menindas kerana umat Islam juga membayarnya atas nama zakat. Selain itu, jizyah dikutip daripada rakyat bukan Islam bagi menampung perbelanjaan menjaga keselamatan nyawa dan harta benda mereka di bawah naungan kerajaan Islam yang memerintah.

Jika diteliti penyebaran Islam di Alam Melayu, para peneliti sejarah berpendapat penyebaran Islam adalah berpunca daripada kesederhanaan yang ada pada agama Islam itu sendiri. Faktor kesederhanaan, kesucian dan keluhuran agama Islam itu sendiri yang bertunjangkan kepada ketuhanan yang tunggal dan penyamaan taraf antara sesama Islam tidak sebagaimana agama lain seperti Hindu yang dianuti oleh penganut-penganut Melayu sebelum itu yang bertuhankan kepada berhala dan dewa. Agama Islam dianggap agama yang rasional dan praktikal, mudah difahami dan konsepnya sesuai dengan corak dan sistem hidup orang-orang Melayu Islam telah melahirkan nilai-nilai murni seperti hidup bantu-membantu, bersifat adil, jujur dan sebaga menjadi tarikan kepada orang-orang Melayu untuk menerima Islam. Akhirnya agama Hindu ditolak secara keseluruhannya oleh masyarakat Melayu. (Lihat Sejarah Islam, hlm.348,349)

Sebagai kesimpulannya kami katakan Islam datang dengan membawa keamanan yang penuh kasih sayang serta penggunaan hujah sama ada naqli mahu pun aqli . Hal ini boleh dilihat dalam nas-nas sama ada kitabullah atau pun sunnah Rasulullah SAW. begitu juga, bagaimana ulama menyampaikan risalah dakwah dengan penuh hikmah dan mau’izah hasanah, bkanlah secara kekerasan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Wallahu A’lam