Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya kenapa Nabi Musa AS memohon kehancuran firaun Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih. 394
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَا إِنَّكَ آتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُ زِينَةً وَأَمْوَالًا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا رَبَّنَا xلِيُضِلُّوا عَن سَبِيلِكَ ۖ رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَىٰ أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا حَتَّىٰ يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ
Maksudnya: Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.
قَالَ قَدْ أُجِيبَت دَّعْوَتُكُمَا فَاسْتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَانِّ سَبِيلَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)”.
(Surah yunus 88-89)
Peninggalan Firaun di Mesir telah diiktiraf dunia sebagai salah satu daripada tujuh perkara ajaib di dunia. Segala kemewahan dan harta benda Firaun masih dapat dilihat di Muzium Purbakala Mesir di Kaherah. Di muzium ini, terdapat barisan mumia raja-raja Mesir yang telah diawet dan kekal sehingga ke hari ini, termasuk jasad Firaun. Tiada seorang pun ahli kimia yang mengetahui ramuan apakah yang digunakan oleh orang Mesir purba untuk mengeraskan mayat hingga usianya melebihi 3000 tahun tetapi masih kekal utuh hingga kehari ini tanpa sebarang kerosakan. Jasad mereka tetap utuh dengan gigi, hidung dan jari-jemari yang lengkap. Para saintis seluruh dunia bertali arus datang ke Mesir bagi menjalankan kajian ke atas bekas peninggalan Firaun. Salah satu makam yang dijumpai ialah milik Ratu Tutankhmen yang diletakkan dalam keranda emas tujuh lapisan. Singgah sananya diperbuat daripada emas, barang perhiasan daripada batu permata yang bernilai tinggi. Di samping itu, dapat dilihat juga di makam raja dan permaisuri banyak bekas peninggalan yang disaluti kemewahan yang luar biasa. Begitu juga dengan apa yang terdapat pada para menteri dan orang-orang kanan di mana kesemuanya lengkap dengan perhiasan dan harta benda yang diletakkan di samping mayat mereka. Wajah-wajah mereka diukir di dinding-dinding piramid dan bangunan lain di Luxor, Aswan, Abu Simbel dan lain-lain bagi menunjukkan kekuasaan dan kemewahan harta-benda milik kerajaan Firaun. (Lihat Tafsir al-Azhar, 11/372-373)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa Doa yang dipanjatkan oleh Nabi Musa A.S pada ayat 88 termasuk dalam kategori mendoakan kehancuran Firaun, berbanding doa memohon hidayah kepada Firaun. Inilah puncak doa Nabi Musa A.S kepada Firaun dan para pengikutnya. Berdasarkan pandangan Ibn Kathir dalam tafsirnya, doa yang dipanjatkan Nabi Musa A.S adalah kemuncak daripada kemarahannya kepada Firaun kerana kejahatan dan kerosakan yang dilakukannya secara berterusan. Peringatan demi peringatan telah diturunkan seperti taufan, belalang, kutu, katak, darah, namun dengan bencana ini pun mereka tetap dengan kesombongannya. Sudah terbukti bagi Nabi Musa A.S bahawa tiada sebarang kebaikan dan manfaat pun yang dapat diharapkan daripada Firaun dan kaumnya. Hal yang sama juga berlaku kepada umat Nabi Nuh A.S. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim,4/253)
Menurut al-Sya‘rawi, doa sebegini dipanjatkan oleh Nabi Musa A.S kerana kebimbangan kesesatan dan kerosakan yang dibawa oleh Firaun akan berterusan zaman berzaman. Sekiranya hal ini tidak dibendung dari awal, ia boleh merosakkan generasi akan datang dengan mengikut kesesatan yang ditinggalkan oleh Firaun nanti. Justeru, doa memohon kehancuran Firaun adalah berdasarkan neraca timbangan iman dan akhirat, bukan mengikut kehendak hawa nafsu dan dunia semata-mata. (Lihat Tafsir al-Bayan,2/ 394)
Sebagai kesimpulannya kami katakan Allah telah menimpa Firaun dan tenteranya kerana dengan pengakhiran yang buruk kerana keengganan mereka menerima kebenaran, malah mereka tetap sombong dan angkuh atas segala bukti kebenaran yang ditunjukkan Nabi Musa A.S. Peringatan demi peringatan juga telah disampaikan kepada Firaun dan kaumnya menerusi lisan Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S. Namun, sikap Firaun dan kaumnya ibarat mencurah air ke daun keladi. Tiada satu pun peringatan dan amaran Allah SWT yang dapat menimbulkan keinsafan kepada Firaun dan kaumnya. Lalu, Allah SWT mengkhabarkan pada ayat 88 tentang doa Nabi Musa A.S yang memohon kehancuran Firaun dan para pengikutnya
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”
Wallahu A’lam