#4287: Perbandingan Strategi Ketenteraan dalam Surah al-Fil dengan Zaman Moden

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya boleh nyatakan pada kami beberapa perbandingan berdasarkan strategi ketenteraan dalam surah al- Fil dengan zaman moden? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَابِ الْفِيلِ ‎

أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِي تَضْلِيلٍ

وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ

تَرْمِيهِم بِحِجَارَةٍ مِّن سِجِّيلٍ ‎

‏ فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَّأْكُولٍ

Maksudnya: Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?  Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan, – Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, – Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.

(Surah al-Fil 1-5)

Kaabah ialah rumah Allah SWT yang mulia. Ia menjadi tempat ibadat yang dikunjungi oleh orang mukmin bagi melakukan ibadah umrah dan haji. Kesucian dan kemuliaan Kaabah dipelihara oleh Allah SWT sebagaimana peristiwa kehancuran tentera bergajah Raja Abrahah. Umat Islam wajib sentiasa memuliakan Kaabah dan menjaga kesuciaannya.

Kehancuran tentera bergajah Raja Abrahah menunjukkan kekuasaan Allah SWT. Kekuasaannya mengatasi segala kekuatan makhluk. Justeru, keimanan dan keyakinan kepada kekuasaan Allah SWT sangat dituntut. Tawakal serta kebergantungan diri kepada-Nya merupakan sifat yang perlu ada dalam diri setiap Mukmin.

Kekuatan ketenteraan ialah keutamaan yang perlu diberikan oleh umat Islam. Ia boleh membebaskan kebergantungan umat Islam kepada senjata daripada kuasa besar dunia zaman kini. Ia penting agar umat Islam tidak terikat dengan mereka sehingga mereka boleh mencatur dan mempengaruhi kehidupan umat Islam.

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa Allah SWT menceritakan dalam Surah al-Fil tentang tentera burung-Nya yang menghancurkan tentera bergajah yang dipimpin oleh Raja Abrahah. Peristiwa yang berlaku ini jika dibuat perbandingan dengan strategi perang di zaman moden hari ini, ia mempunyai persamaan.

Raja Abrahah telah menggunakan tentera bergajah untuk meruntuhkan Kaabah. dan dia telah meletakkan gajah di barisan paling hadapan tenteranya. Gajah telah digunakan dalam peperangan lebih 4,000 tahun sebelum Masihi sehinggalah peperangan dunia pertama.

Gajah ialah senjata darat yang sangat besar dan berat pada zaman dahulu. Ia hampir menyerupai kereta kebal di zaman sekarang dalam banyak aspek seperti bentuk gajah yang menyamai bentuk kereta kebal. Adapun di atas belakang bahagian kepala gajah menyerupai menara (turret) kereta kebal dan terdapat pemanah di atasnya bersama dengan pemanah-pemanah lain yang truut berada di atas belakang gajah. Begitu juga kereta kebal, kebiasaannya terdapat penembak-penembak di atasnya.[1]

Tentera pejalan kaki bergerak biasanya di belakang gajah sebagaimana di zaman moden tentera pejalan kaki bergerak di belakang kereta kebal. Kulit gajah yang tebal seperti perisai kereta kebal. Ketebalan kulit gajah adalah 13 kali ganda daripada ketebalan kulit manusia. Antara peranan gajah ialah memecahkan kedudukan dan kubu musuh sebagaimana peranan kereta kebal. Belalai gajah digunakan untuk menyerang dan memukul sebagaimana meriam kereta kebal untuk menembak.

Kebiasaannya tentera udara mudah untuk mengatasi dan mengalahkan tentera darat. Sesiapa yang tidak memiliki tentera udara, maka tentera darat walaupun memiliki kereta kebal tidak akan mampu berdepan dengan tentera udara musuh yang mempunyai pelbagai jenis peluru berpandu.[2]

Allah SWT menyebut dalam Surah al-Fil tentang tentera burung-Nya yang mengalahkan tentera bergajah Raja Abrahah. Tentera burung yang datang secara berkumpulan melemparkan batu kepada sasaran yang telah ditetapkan untuk menghancurkan tentera bergajah. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 20/198)

Batu-batu tersebut ibarat roket dan peluru berpandu yang dilepaskan oleh pesawat pejuang kepada sasaran yang ditetapkan. Di samping itu, bentuk pesawat sama seperti bentuk seekor burung.

Selepas tentera bergajah dihancurkan, Allah SWT menggambarkan keadaan yang  berlaku seumpama daun-daun yang dimakan oleh ulat atau daun dan jerami yang dimakan oleh binatang hingga lumat. Ia adalah kesan kehancuran yang hampir sama dengan serangan roket dan peluru berpandu daripada pesawat pejuang yang menghancurkan manusia, bangunan, kenderaan dan lain-lain. [3]

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

Wallahu A’lam

Nota kaki:

[1] Taammulat ‘Askariyyah Istratijiyyah fi surah al-Fil (2017, Jun 11). Al-Jazeera dipetik daripada http://mubasher.aljazeera.net

[2] Ibid

[3] Taammulat ‘Askariyyah Istratijiyyah fi surah al-Fil. Op.cit